Friday, December 6, 2013

Banjir ..laporan ringkas

Rakan blogger saya Anim menghantar mesej melelaui telefon bertanyakan banjir di tempat saya. Sayangnya mesej itu saya tidak terima sebab...saya dah tak guna nombor itu! Saya tahu Anim baca blog ini, jadi entry ini khusus untuk Anim ...hehe. 

Untuk pengetahuan Anim, rumah saya tidak terlibat dengan banjir. Syukur alhamdulillah. Sekitar bandar Jerantut juga tidak banjir, tetapi daerah Jerantut memang ada mangsa banjir. Tahun ini banjir agak besar juga. Jalan ke Kuala Tahan, Hulu Tembeling, Taman Negara ditutup kepada semua kenderaan. Begitu juga jalan ke Kuala Lipis melalui Kuala Tembeling juga ditutup pada semua kenderaan. Akibatnya saya sekeluarga tidak dapat pulang menziarahi anak sepupu suami yang menjadi korban pertama banjir di Pahang tahun ini. Arwah merupakah anak sulung sebaya anak saya, masih belajar di USIM. Jatuh dalam air ketika menjaring ikan. Allahuakbar. Sudah tiga hari, jalan masih ditutup. Ibu bapa mertua sayapun gagal dihubungi melalui telefon. Rumah mak mertua saya atas bukit, juga terlibat banjir, hanya mereka ni terperangkap tak boleh keluar masuk ke tempat lain. Nak balik menjenguk, tak dapat. Semoga Allah melindungi mereka berdua selalu.

             Photo: Nak balik kg ziarah sepupu suami meninggal dunia korban banjir..tapi tak lepas...tgk la jln ni kat jambatan paya teh.
Jalan yang ditutup ini hanya 1km dari rumah saya. Sudah 3 hari begini. Pagar jambatan pun tenggelam tidak kelihatan. Air dari Sungai Pahang ini naik  mendadak tapi lambat pula surutnya. Walaupun rumah mak mertua saya hanya 15 minit dari rumah saya, tapi ada beberapa tempat lagi seumpama ini di laluan ini.

Banjir teruk di Kuantan, Kakak ipar saya sekeluarga yang tinggal di Taman Kasturi khabarnya menjadi mangsa banjir. Sungguh sedih, rumah, kereta semua tenggelam dalam air banjir. 

Nampaknya inilah saja laporan ringkas banjir, secara ekslusif dari pinggir Sg Pahang..hehe..

Baca lagi>>

Corat-coret Haji 1434H - 3

Beberapa hari di Madinah, rutin harian seperti biasa. Pukul 3 pagi kami dah ke Masjid Nabawi. Pukul 8.30 pagi balik ke hotel untuk sarapan. Pukul 11.00 pagi ke masjid semula untuk solat Zohor dan pukul 1.30 balik untuk makan tengah hari. Pukul 2.00 pergi lagi untuk solat Asar. Kadang-kadang terus sehingga lepas Isyak baru balik untuk makan malam dan tidur. Kalau kami puasa, lagi senang sebab tidak perlu fikirkan tentang makan lagi..hehe..

Hari ke-4 selepas selesai membaca quran saya masukkan telefon bimbit saya ke dalam poket seluar kemudian solat Isyak berjamaah. Selesai solat saya terus ambil beg dan  keluar tanpa menoleh ke belakang. Bila sampai hotel saya meraba-raba poket seluar..hah, tiada! Saya belek pula beg sandang yang dibekalkan oleh Tabung Haji, pun tiada! Saya amat yakin saya memang masukkan dalam poket tadi dan sah, ianya telah hilang! Subhanallah. Saya pasti telefon itu hilang kerana kecuaian saya. Poket seluar putih saya agak tohor dan tidak berzip. Telefon itu pula tidak ada cover, tentu mudah menggelongsor keluar.

Kehilangan telefon..bermakna kehilangan gambar-gambar berharga.  Saya tidak membawa kamera, dengan telefon itulah saya merakamkan apa sahaja yang menarik di mata saya. 

Memang sudah suratan takdirNya. Saya membuat kesimpulan sendiri tentang kehilangan telefon ini:

  • Allah memberi peringatan pada saya. Allah mahu saya fokus dan beri tumpuan  pada ibadah di Tanah Suci ini. Maklumlah, telefon saya ini walaupun tiada talian internet, tapi ada kamera walaupun gambarnya tidaklah cantik mana. Kadang-kadang saya baring di dalam masjid sebab sakit belakang duduk lama-lama. Di Masjid Nabawi agak selesa untuk berbaring kerana kawasan solat jemaah wanita berasingan dan tertutup dari pandangan kaum Adam. Sambil baring, kadang-kadang saya ambil gambar dalam masjid yang cantik ini. Ukiran dan rekaan yang penuh seni menarik hati saya untuk merakamkan dalam gambar, padahal di luar masjid sudah terpampang bahawa telefon berkamera adalah salah satu daripada barangan larangan yang dilarang dibawa masuk ke dalam masjid. Sebenarnya memang ramai pun jemaah yang bawa masuk Nah, sekarang inilah pengajaran berguna untuk saya.
  • Allah mahu membersihkan harta saya. Ya, telefon ini dibeli menggunakan duit gaji saya..tapi mungkin ada masanya saya cuai dalam pekerjaan saya..jadi, inilah caranya Allah mengingatkan saya. jadi saya perlu redha, semua milik Allah, bila-bila masa pun Allah boleh ambil dengan apa cara sekalipun.
  • Inilah ujian dari Allah. Dia mahu menguji kesabaran saya di saat kehilangan. Adakah kita akan mengeluh, marah-marah atau menyalahkan orang lain?
  • Allah mahu saya lebih berhati-hati. Sebab kehilangan ini memang kecuaian sendiri. Mungkin saya perlu bubuh zip pada poket seluar. Mungkin juga saya perlu pasang tali dan gayut di leher. Atau mungkin saya boleh bubuh dalam beg saja..
  • Allah mahu ganti dengan yang lebih baik. Wallahua'lam.                                                                                  
  •                  Inilah model telefon yang hilang itu..



Baca lagi>>

Wednesday, November 20, 2013

Corat-coret Haji 1434H-Episod 2

Ada sahabat bertanya, apa aktiviti di Madinah. Yang rasminya ada dua aktiviti utama iaitu ziarah luar dan ziarah dalam. Ziarah dalam ialah ziarah yang ke kawasan Taman Syurga atau Raudhah. Jemaah akan dibawa secara rasmi ke kawasan ini sekali sahaja, lepas itu pandai-pandai sendiri lah. Bagi jemaah lelaki tidaklah menjadi masalah kerana mereka boleh berziarah dalam ini pada bila-bila masa sahaja. Bagi jemaah wanita pula kenalah mengikut waktu-waktu yang telah ditetapkan iaitu selepas solat Subuh, selepas solat Zohor dan selepas solat Isyak. Tempoh menunggu untuk masuk ke kawasan Raudhah ada kalanya sampai 2 jam. Berasak-asak pula dengan jemaah yang berbadan besar dan gagah perkasa terutama dari Afrika, Pakistan dan negara-negara Arab lain. Kesabaran dan ketenangan sangatlah perlu di waktu-waktu begini.

Aktiviti lain ialah solat fardu berjamaah, solat-solat sunat, baca quran, zikir dan lain-lain mengikut hati masing-masing. Ada sahabat saya pergi Masjid Nabawi dari sebelum Subuh dan hanya akan balik ke bilik selepas Isyak. Seharian beramal di masjid. Ada pula sekadar beramal yang wajib sahaja, kemudian menghabiskan masa yang selebihnya menjana ekonomi penduduk Madinah. Saya dan suami sentiasa bersama ke masjid bersama-sama. Selalunya kami ke masjid sekitar pukul 3.00 pagi. MasyaAllah, rupa-rupanya waktu itu sudah ramai jemaah. Di dataran penuh jemaah berbaring dan tidur. Mulanya saya rasa pelik, tetapi kemudiannya saya faham mereka merupakan jemaah yang berkampung di situ. Mereka tidak mempunyai hotel atau tempat penginapan yang khusus. Di dataran itulah mereka tidur, makan mahupun solat! Nasihat kepada sesiapa yang belum pernah ke Masjid Nabawi, silalah ke masjid sekuarang-kurangnya sejam sebelum masuk waktu, kerana jika anda lewat bermakna anda tidak lagi dibenarkan masuk ke dalam masjid kerana sudah dipenuhi jemaah. Pukul 6.30 pagi kami keluar dari masjid. Di luar pagar penuh dengan peniaga yang menjual pelbagai barangan. Di situlah kami membeli cenderahati atau keperluan diri sebelum balik ke hotel. Membeli di awal pagi atau selepas Isyak  lebih selesa kerana cuacanya lebih nyaman.

Oleh kerana saya ke mana-mana dengan suami, tentulah saya berseorangan ke kawasan jemaah wanita. Jadi, tidak susah untuk saya menyelit di mana-mana saf. Selalu saya masuk jauh ke dalam, kerana lebih lapang dan tidak bersesak-sesak dengan jemaah lain. Hanya satu, tidak ramai jemaah haji Malaysia di kawasan itu. Tidak mengapa, jemaah lain itu saudara kita jugakan. Saya selalu mengambil kesempatan untuk membaca al-quran setelah selesai solat. Saya tidak baca dengan suara berbisik dan tidak pula dengan suara yang kuat. Maklum, dalam masjid ada ramai jemaah bersolat sunat, membaca al-quran mahupun berbaring atau tidur melepaskan lelah. Tentulah bacaan yang kuat akan mengganggu ibadah orang lain. Jadi, saya baca dengan nada yang sederhana saja namun masih dapat didengar oleh jemaah yang berhampiran. Namun ada beberapa kisah berkaitan dengan bacaan al quran saya ini.

Pertama, ketika saya sedang membaca al-quran, tiba-tiba saya dapati sekumpulan jemaah haji dari China mengelilingi saya dengan al-quran masing-masing. Mereka buka muka surat yang sama dengan yang saya baca. Mereka meneliti bacaan saya, kemudian bercakap dan bertanya dalam bahasa yang saya tidak faham. Bahasa China, mana saya tau! Kemudian dengan gaya ayam itik berkomunikasi, seorang mak cik China tadi minta saya baca al-quran di muka surat yang mereka telah pilih lalu merakam bacaan saya di dalam telefon. Saya dapat lihat air muka gembira di wajah mereka. Mak cik-mak cik China itu kemudian memberikan saya apa-apa saja yang ada dalam beg mereka, biskut, gula-gula, roti, epal dan lain-lain. Saya memberikan mereka botol spray yang saya gunakan untuk berwuduk apabila melihat mereka sangat berminat dengan botol yang sentiasa diisi dengan air zam-zam itu...siap buat demontrasi wuduk menggunakan spray lagi..hehe.

Kedua, saya sedang membaca al-quran di saf belakang. Tiba-tiba 2 orang jemaah Afrika yang duduk di saf hadapan saya berpusing mengadap saya. Mereka meniarap di hadapan saya sambil menongkat dagu. Saya teruskan bacaan dengan harapan mereka turut mendapat pahala mendengar bacaan al-quran. 

Ketiga, saya sedang membaca al-quran berhampiran sebatang tiang. Tiba-tiba datang seorang jemaah bercakap dalam bahasa Arab. Saya hanya faham 'arabic, arabic' sahaja. Tidak lama kemudian datang rakan-rakan jemaah tadi lalu beliaupun bercerita dengan rakan-rakannya tentang saya. Mujur ada yang agak muda boleh berbahasa Inggeris broken-broken macam saya. Mereka ini rupanya jemaah dari Mesir. Saya disuruh membaca al-quran dan mereka mendengarnya."MasyaAllah..masyaAllah".Kata mereka. Seorang lagi minta saya membaca al-Fatihah. Yang agak muda berkata, dia pelik sebab saya boleh membaca al-quran dengan baik mengikut lajnah Arab tetapi saya tidak boleh berbahasa Arab. Dicubit-cubitnya pipi saya yang gebu ini..hehe. Dia tanya nama saya, bila saya beritahu nama saya Najmiah, dia berkata,"Najmiah? Star?" . Saya mengangguk lalu dijawab "MasyaAllah..MasyaAllah".

Keempat, seorang jemaah Indonesia yang duduk bersebelahan saya tidak mahu berganjak walaupun dipanggil rakan-rakannya." Ibu, yuk kita pulang" lalu dijawab,"Sebentar, adik ini bacanya enak sekali." Akhirnya dia ditinggalkan kerana terus duduk di sebelah saya sehingga saya selesai membaca al-quran.

Allah..Allah. Suami mengingatkan saya agar membetulkan niat kita membaca al-quran. Ya, saya tahu dan sentiasa sedar tentang itu. Saya teringat satu buku yang saya baca. Allah Ta’ala memerintahkan kepada orang mukmin untuk mendengarkan Al-Qur’an dan memperhatikan dengan tenang. Allah subhanahu berfirman:
( وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ) الأعراف/204
Dan apabila dibacakan Al Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat.” SQ. Al-A’raf: 204.

Saya berdoa," Ya Allah, engkau buanglah segala sifat megah dan sombongku ya Allah. Engkau buang rasa riak dalam diriku ya Allah. Engkau jadikan orang-orang yang mendengar bacaanku ini dapat merasa keindahan al-quran. Engkau berikan pahala kepada mereka ya Allah. Ya Allah, berikan mereka kebaikan , ketenangan dan ilmu yang luas,........"

...bersambung..


Baca lagi>>

Tuesday, November 19, 2013

Corat-coret Haji 1434H-Episod 1

Genap 20 hari saya kembali ke tanah air setelah selesai menunaikan rukun Islam ke-5. Setiap hari saya merancang untuk menulis di blog yang hampir berkulat ini...namun sentiasa ada kekangan  tugas dan waktu. Bila rakan taulan, sanak saudara sibuk minta saya bercerita kisah-kisah di tanah suci, saya jadi bersemangat semula. Kat mana harus bermula?...ah..tulis sajalah. Blog sendiri..ikut suka sendiri la..hehe..

Saya dan suami bertolak ke tanah suci pada 17 September 2013 dengan penerbangan KT30 dengan pesawat Saudi Air. Kebetulan, tarikh tersebut adalah sama dengan tarikh lahir anak sulung saya dan bersamaan juga dengan usia suami saya 30 tahun ketika menjadi seorang ayah. Tarikh yang cantik. Mudah-mudahan semua amal ibadat kami juga cantik di mata Allah.

Penerbangan KT30 merupakan penerbangan terus dari KLIA ke KAAA Madinah. Jadi, kami akan terus ke Madinah dahulu selama 8 hari sebelum Makkah pula. Kami check in ke Hotel Al-Haram yang berjarak hanya 50 meter dari Masjid Nabawi ketika hampir pukul 11.00 pagi. Oleh kerana Masjid Nabawi sudah nampak tersergam di depan mata, sebaik meletakkan bagasi ke bilik, saya dan suami terus ke masjid memandangkan waktu zohor hampir tiba.

Subhanallah, menitik air mata melihat Masjid Nabi yang indah itu. Rasa macam tidak percaya kami insan terpilih untuk berada di sini. Di sini jemaah diasingkan mengikut jantina. Di pintu masuk jemaah wanita perlu diperiksa oleh petugas masjid yang berpurdah serba hitam. Jemaah tidak dibenarkan membawa masuk kamera, telefon berkamera dan makanan. Sebaik melangkah masuk kelihatan deretan tong air zam-zam beserta cawan plastik pakai buang. Selepas memberi salam kepada Rasulullah, saya terus menadah air zam-zam dan terus meminumnya dengan penuh nikmat.Kemudian terus melangkah ke dalam lagi untuk bersolat tahiyyatul masjid. Walaupun ini kali pertama saya ke sini, berseorangan pula kerana suami telahpun ke bahagian lelaki, saya tidak rasa bersendirian. Saya terasa bersama dengan sanak saudara seluruh dunia, saling berbalas senyuman..hendak berbicara masalah bahasa pula.

Allahuakbar, perasaan saya waktu ini tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Selesai bersolat jamaah Zohor, saya bertanya kepada seorang jemaah  di manakah Raudhah? Jemaah Malaysia itu berkata," Kalau adik nak pergi, sekejap lagi petugas akan panggil." Benar, tidak lama kemudian, terdengar panggilan,"Raudhah..Raudhah". Jemaah yang berhajat ke Raudhah diasingkan mengikut kawasan dan bahasa. Jemaah Malaysia akan duduk di kawasan Bahasa Melayu bersama dengan jemaah Indonesia, Singapura, Brunai, Thailand dan lain-lain negara asia tenggara. Sementara menunggu pintu dibuka, satu ceramah disampaikan dalam Bahasa Indonesia. Setelah sejam menunggu, tiba-tiba pintu ke Raudhah dibuka. Saya terkejut, semua orang berlari dan menyerbu masuk. Sayapun ikut berlari..tetapi kemudiaannya saya berjalan sahaja. Saya teringat buku yang pernah saya baca, kenapa perlu berlari? Beginikah adab kita dengan Rasulullah? Bukankah dalam bumi Madinah ini bersemadinya jasad Rasulullah? 

Bila sampai ke Raudhah dan sekitar makam Rasulullah, air mata merembas keluar. Semua orang bertolak-tolak untuk mengerjakan solat sunat di tempat terbaik. Kita hendaklah memperbanyakkan doa di sini kerana di kawasan raudhah ini merupakan antara tempat mustajab doa. 

Gambar Raudah ini saya copy paste dari album Pak cik Google. Nanti saya cerita kenapa saya tak ada satupun gambar kenangan di Madinah.

....bersambung...
Baca lagi>>

Saturday, July 20, 2013

Tong dan Gas

Kita berada di bulan Ramadhan yang mulia, bulan rezeki melimpah ruah. Allah yang maha adil sentiasa memberikan rezeki kepada kita. Rezeki Allah sangat luas, bukan hanya terhad kepada wang dan harta. Jangkauan rezeki yang disebut oleh Allah ta'ala dan Rasulullah terlalu amat luas meliputi rezeki yang rencam dan pelbagai, penglihatan, kesihatan, iman bahkan ketenangan juga adalah rezeki. 

Allah yang memberi rezeki, kadang-kadang Allah ambil semula rezeki yang diberi. Mungkin Allah ingin memberi peringatan atas dosa dan maksiat yang kita lakukan. Maka, redhalah andai apa yang kita sayang kembali semula kepadaNya.


Memandangkan bulan Ramadhan yang mulia ini, saya banyak memasak untuk berbuka dan bersahur, maka banyaklah gas yang dah digunakan untuk aktiviti masak-memasak ni. Justeru, sayapun meminta anak sulung saya untuk ke kedai menukar tong gas baru. Ini sebagai persediaan jika terputus gas pada masa yang tidak diduga.

Sebagai anak yang taat, maka sianak inipun segeralah ke kedai runcit berhampiran. Anak muda gagah perkasa itu sungguh mudah memikul tong gas yang diminta oleh ibunya ini . Ketika saya mahu memulakan aktiviti masak-memasak saya terpandang tong gas yang saya minta anak saya tukar tadi di belakang pintu. Eh...kenapa tong gas nampak buruk saja..macam yang sebelum ni saja. 

Lantas, saya panggil anak saya. " Tadi mak suruh awak beli gas, awak tukar tong gas man?". "Tuuuu" jawabnya sambil menghalakan telunjuknya ke arah kabinet dapur. "Laaa..." Saya menepuk kepala sendiri. Rupa-rupanya ditukarkan gas yang masih banyak yang saya gunakan hari-hari. Anak..anak..

Dia pantas menyalahkan saya yang tidak memberi arahan yang jelas. Dia tidak tahu ada 2 tong gas kat rumah ni..peliknya si adiknya yang membantu saya memasak pun tidak tahu ada tong gas kedua! " Patutlah tong tu berat je masa abang pikul tadi!" Aduhai...kenapalah awak tak tanya tong gas mana? Kenapalah awak ni cerdik sangat tukar tong yang masih berisi? Awakkan tahu gas tu belum habis lagi?

....dan begitulah, kesilapan dalam berkomunikasi. Allah tarik balik rezeki yang sudah ada..sama juga kadang-kadang makanan dah sampai ke mulut namun jatuh ke tanah..atau kadang-kadang dah masuk ke perut, keluar semula. Allah maha besar. Allah mahu saya muhasabah diri....apalah sangat dengan gas yang sedikit itu. Banyak lagi rezeki Allah bagi tak terhitung jumlahnya. 

So, marilah teruskan kegiatan masak-masak di petang berbahagia ini dengan gas baru.


Baca lagi>>

Saturday, June 15, 2013

Mangga

Mangga...saya percaya ramai orang suka makan buah mangga. Mangga, atau nama lainnya mempelam, pauh  dan sebagainya boleh dimakan ketika masih muda ataupun apabila sudah masak ranum. Yang muda rasanya masam, namun bila dicolek dengan kicap berlada atau asam boi atau colek lain..sedar tak sedar sebesen sekali hadap saja..kalau rajin buat pula kerabu mangga..fuh, sah makan bertambah! Mangga yang dah masak tentulah enak dimakan begitu saja, dibuat jus, dimakan dengan pulut bersantan atau bubuh dalam sambal belacan. 

Namun hati-hati dengan getah mangga. Suatu masa dulu ketika mengandung anak sulung saya teringin nak makan mangga muda yang ada kat sekolah saya. Pokok mangga tu rendah saja, jadi saya dapat mencapai buahnya dengan mudah. Bila saya tarik buah mangga itu, getah pada tangkainya telah terpercik ke muka saya. Ambik kau...beberapa hari kemudian pipi saya yang bak pauh dilayang tu telah berkudis! Mujurlah dengan rawatan rapi kudis tu segera hilang beberapa hari kemudian. 

Itulah sedikit cerita tentang buah mangga. Yang sebenarnya saya nak cerita tentang mangga kat bawah ni.
Beza mangga ini dengan buah mangga banyak..senaraikanlah sendiri. Yang pasti mangga ini tidak boleh dimakan! Sebelum ini mangga ini saya tidak berapa endah sangat. Pagar rumah sayapun jarang bermangga dek kerana malas dan rasa selamat...kadang-kadang pagar langsung tak tutup.

Selepas peristiwa percubaan mencuri kereta suami menjelang PRU13, kami sekeluarga telah menjadi sahabat karib dengan si mangga ini. Kalau dulu pintu rumah dan pintu pagar sentiasa terbuka seperti terbukanya hati kami menerima tetamu yang datang, sekarang tidak lagi. Pintu pagar akan dipastikan sentiasa bermangga. Bukan mangga kat atas ni..en suami beli mangga berharga RM50! Katanya inilah dinamakan ikhtiar. Mangga tu pula bukannya satu bahkan lebih. Kalau barang yang kita sayang diambil orang juga apa boleh buat..kita telah berusaha. Selebihnya berserah sahajalah kepada Allah.

Sebenarnya saya suka rumah yang sentiasa terbuka pintu dan tingkapnya. Rumah lama saya dulu langsung tak bergrill pun. Saya rasa grill akan menjadikan saya seperti dipenjara. Saya mahu rumah saya seperti rumah kat kampung dulu-dulu..bangun pagi buka pintu dan tingkap, jemur tilam bantal dijendela saja. Rumah cerah dan lapang. Namun demi keselamatan rumah saya terpaksa juga dipasang grill..dan sudah tentu disangkut mangga juga. Tak mengapalah, saya masih boleh buka tingkap dan pintu seluas-luasnya. Grill dan mangga sekarang bukan lagi penjara, ianya telah memberi keyakinan dan keselamatan pula.

---tiba-tiba rasa nak pasang pagar elektrik yang pakai remote pulak, malas betul nak buka dan tutup pagar manual ni---

Baca lagi>>

Wednesday, May 15, 2013

Hari Guru

Saya tidak begitu ingat sejak bila saya mula menyambut hari guru. Seingat saya cuma ada jamuan masa sekolah rendah. Kuih bawak sendiri dari rumah sepinggan seorang. Kuih bubuh dalam pinggan, kemudian dibungkus dengan sapu tangan. Ada bawa agar-agar, karipap, pulut lepa dsb. Saya pula selalunya bawak biskut kering seperti biskut marie ataupun biskut jagung saja.Air pun bawak sendiri. Selalunya aiskrim soda dalam botol kaca. Lepas  minum, balik sekolah pulangkan semula botol kat kedai. Bagi-bagi hadiah tak ada, cuma kalau musim buah bawaklah buah jambu ke, buah rambutan ke seikat dua untuk cikgu. 

1980, bila saya mula bersekolah menengah di SMTI barulah ada sambutan. Selalunya sambutan dimulakan dengan perhimpunan khas, nyanyian lagu 'Guru Malaysia' dan bacaan perutusan dari Menteri Pelajaran dll. 
Kemudian, acara sukan cikgu lawan murid. Selalunya saya jadi penonton saja..maklumlah si kaki bangku. Lepas rehat acara makan-makan. Tiap-tiap kelas ada jamuan. Cikgu-cikgu akan round dari kelas ke kelas menikmati jamuan yang disediakan. Masa tu semua kelas berlawan-lawan menghias kelas dan memilih menu yang terbaik! Hadiah pulak kongsi sikit-sikit, bagi satu hadiah saja untuk guru kelas.

Bila saya mula jadi guru pada 1989, sambutan hari guru jadi semakin meriah. Budaya memberi hadiah pada guru semakin berkembang. Waktu itu hadiah-hadiah berbentuk sabun mandi, tisu, pen, buku tulis dan sebagainya. Maklum saja murid-murid saya kebanyakannya anak-anak orang kampung dan anak-anak peneroka saja. Bila saya mula bertukar ke kawasan bandar, pemberian hadiah-hadiah mula mengalami transformasi. Menjelang 16 Mei, kedai-kedai buku dan alat tulis, pasaraya penuh dengan anak-anak membeli hadiah untuk guru-guru. Nilai hadiah pun meningkat seiring dengan kawasan dan taraf ekonomi penjaga. Era milenium hampir tiada lagi yang memberi sabun mandi pada cikgu. Hadiah simple pun dibungkus dengan cantik untuk memberi nilai tambah pada hadiah tersebut.

Sebagai guru, saya tidak pernah mewar-warkan tentang budaya memberi hadiah kepada guru. Saya sedar bukan semua ibu bapa mampu membeli hadiah untuk guru, sementelahan pula hari guru jatuh tengah bulan. Kalau dulu hadiah cuma untuk guru kelas, sebab guru kelas ajar semua mata pelajaran kecuali PAI dan  BI, namun sekarang banyak hadiah perlu dibeli sebab banyak guru mengajar dalam satu kelas. Guru PSV la, Sivik la, PJ lagi dll. Namun, walaupun tidak diberitahu kebanyakan murid memang telah bersedia dengan hadiah-hadiah mereka. Hari inipun sudah ada murid prasekolah saya yang bawak hadiah, disorok bawah meja sebab tak mahu cikgu tahu. Nak bagi cikgu esok, tapi budak-budak lain sibuk mengadu domba..dan saya buat-buat tak tahu saja..hehe.

Masa anak-anak kecik dulu, diaorang la yang paling seronok buka hadiah. Sekarang semua dah besar-besar, murid saya pula semakin kecik. Pada hari guru semua seronok memberi hadiah. Ada seorang murid perempuan tahun 1 moyok saja..tentu dia sedih sebab tidak dapat memberikan sesuatu untuk cikgu. Namun, agak lama kemudian dia datang pada saya dan memberikan satu kerongsang yang sudah berkarat! Entah kat manalah dia jumpa. Saya ambil dan ucap terima kasih lalu terus memakai pada tudung saya. Budak itu kelihatan sangat gembira. Itulah satu kenangan yang sangat menyentuh hati saya.

Budaya memberi hadiah baik untuk mendidik murid menghargai guru. Namun saya selalu beritahu murid saya hadiah yang paling bernilai bagi seorang guru ialah doa. Doakanlah guru..dan kitapun jangan lupa doakan guru yang telah mengajar kita. Bukan saja guru di sekolah, bahkan guru-guru mengaji, guru memasak, guru menjahit dsb...

Selamat Hari Guru 2013.

GURU MALAYSIA: 1 ASPIRASI, 1 AGENDA




Baca lagi>>

Hari Jadi lagi....

15 Mei 2013. Hari ini saya genap berusia 46 tahun. Sudah senior. 10 tahun lagi saya akan bersara wajib, insyaAllah...itupun jika saya masih ada di atas bumi Allah ini.

Saya mengisi rutin harian saya seperti biasa. Ke sekolah seperti biasa. Minum di kantin sekolahpun menu biasa, nescafe panas dan nasi lemak (khusus utk menambah lemak..haha). PdP sayapun macam biasa, ajar murid macam biasa. Hari ini murid saya buat kad sempena hari guru yang akan disambut esok. 

Menjelang tengah hari, satu perjumpaan diadakan khusus untuk acara hari esok. Saya dikhabarkan akan diadakan latihan bagi acara pentas. Senyap-senyap saya berlalu sebab pada sebelah petang saya akan menghadiri bengkel Verifikasi Sistem Kualiti Prasekolah Kebangsaan di PPD Jerantut.

Sekarang, 3.53 petang...saya sedang berbengkel di PPD. Oleh kerana semua urusan bengkel saya telah selesai, saya pun mengarutlah kat blog ni. Sambil tu saya bayangkan masa hari jadi saya yang masih berbaki beberapa jam lagi. Rasa-rasanya tiada apa-apa yang istimewa.

Tahun lepas en.suami belikan kek Hello Kitty ala-ala ini lah untuk saya sempena hari jadi ke-45. Tapi saya punya lagi best sebab ada payung kecik, bola, gula-gula..hehe.

Okeylah..entry mengarut kali ni saya tamatkan di sini. Sesiapa tersinggah di sini, tolong doakan Allah memberkati hidup saya yang sudah semakin singkat ini. Amin


Baca lagi>>

Saturday, May 4, 2013

PRU 13...

Saya tidak tahu di mana mahu bermula...yang pasti saya memasang impian ini sejak lima tahun dulu! 

Saya menunggu detik-detik indah itu datang kembali. Saya merangka rancangan dalam akal saya..saya  menyusun strategi dan pelan. Nampak semuanya begitu cantik dan tersusun..namun, perancangan kita kadang-kadang tidak sama dengan perancangan Allah, kita merancang, Dia menentukan.

Sebaik sahaja PM membubarkan parlimen, saya sudah terbayangkan saya sedang berbaris di Saluran 2 SKKR. Ah, saya ternampak-nampak sekolah tempat saya mula bersekolah sejak 1974-1979. Saya termimpi-mimpi bertemu rakan-rakan sebaya yang sama-sama berbaris di Saluran 2 itu..tentu mereka juga rindukan saya sebagaimana saya juga merindukan mereka. Kami pasti sibuk bertanyakan tentang diri dan keluarga masing-masing, tentu petugas pilihan raya akan bagi isyarat agar kami tidak berbuat bising..
"Weh, mu ni maintain macam dulu."
" Bakpo mu gemuk gini semo ni?"
 "Anak dah berapa?"
"Kerja kat mana sekarang?"
Soalan-soalan ramalan telah berlegar-legar di fikiran saya. Angan-angan ini terkadang membuatkan saya tersenyum sendiri. Beberapa orang sahabat yang sepatutnya berada di barisan Saluran 2 telah pergi menemui Ilahi, antaranya Arwah Sarimah, Fadzilah, Malik, Mat Ropi dan Za, adik saya sendiri. Saya bercadang lepas mengundi saya akan menziarahi pusaranya yang terletak di atas bukit, belakang SKKR.

Kemudian, saya bagai ternampak rakan saya, Siti Hajar di pondok panas parti bulan..pasti pula kelibat jiran saya si Ani dan Mok Jang di pondok dacing. Saya juga hampir pasti menolak kerusi roda emak saya masuk ke Saluran 1 pusat mengundi yang sama.

Bila SPR mula menetapkan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi impian saya semakin hampir jadi nyata. Saya lega..sangat lega bila en.suami memberikan keizinan untuk saya balik menunaikan tanggungjawab  memilih kerajaan di tempat tumpah darah saya..dek kesibukan kerja, saya terlambat untuk mendapatkan tiket bas mahupun kereta api. Harapan agak kelabu, namun kembali cerah bila en.suami mengizinkan saya memandu kereta balik ke kampung halaman. Kebetulan anak bongsu saya juga akan balik asramanya di Kelantan, jadi saya akan bawa dia terus balik ke kampung saya sebelum saya hantar dia naik bas ke Kota Bharu. 

Sambil balik mengundi, saya dapat jenguk emak saya. Emak tidak sihat akhir-akhir ini, bahkan terpaksa berkerusi roda di dalam rumah. Dapat pula jumpa anak saya yang belajar kat sana. Jumpa adik-adik, abang dan kakak serta anak-anak saudara yang turut balik mengundi. Wah, meriahnya! Kiranya sambil mengundi dapat jumpa mak dan waris warah..

Saya dan Idris sangat gembira. Hati saya berbunga riang. Saya orang pertama menghantar borang cuti  pada majikan saya. Saya dijadualkan bercuti sehari saja sebelum menyambung sehari lagi cuti umum negeri Pahang, Hari Hol. Saya bayangkan perjalanan kami dua beranak selama lebih kurang 5/6 jam. Tentu banyak yang dapat kami bualkan. Kami boleh berbual tentang poster dan bendera di kiri kanan jalan. Tentu banyak yang menarik dan kreatif. Saya lebih teruja bila Idris kata kat Jerantut tak banyak bendera. Kat Pasir Mas sampai tak nampak rumah kerana banyaknya poster. Agaknya kalau nak tengok rumah kena selak poster dan bendera dulu. Tak sabar rasanya menunggu Sabtu. En. suami cadangkan kami balik hari Sabtu pagi supaya tidak terperangkap dalam kesesakan. 

Jumaat pagi, Idris dengan penuh semangat mencuci kereta. Saya pula siapkan kerja-kerja di sekolah sebelum bercuti. Namun, separuh Jumaat itu impian yang telah dipasang sekian lama hancur berkecai.... Saya tidak jadi balik, saya tidak jadi balik...hati saya luluh. Saya tidak pernah gagal mengundi sejak PRU 8 tahun 1990..dan di PRU 13 ini saya gagal balik. Hati saya pilu, bertambah pilu bila calon-calon DUN tempat saya mengundi menghantar sms merayu undi.mana la diaorang dapat nombor telefon saya...maaflah tuan-tuan, saya tak balik mengundipun!

Sabtu, saya keluar ke bandar Jerantut. Wah, banyak juga konvoi pilihan raya ke sana-sini.maklum pertandingan 4 penjuru.,.siap bunyikan hon. Meriah dan membingitkan, serta melambatkan orang-orang yang banyak urusan di jalanan. Wajah-wajah penuh pengharapan agar parti sokongan mereka beroleh kemenangan, sedang saya bermonolog sendiri..berkempenlah kalian..saya tak balik mengundi..

Malam ini saya akan menempek inai di jari..kelak bila rakan-rakan ada kesan calitan dakwat kekal di jari telunjuk..saya juga akan tunjukkan calitan di jari saya. Bukan 1, tapi sepuluh jari! ..dan pasti kekal berminggu-minggu!

Tap..tap..la, mata saya basah!


Baca lagi>>

Saturday, February 9, 2013

Si Manis 17

Anak saya Aimi menyambut hari jadi yang ke 17 hari ini. Sungguh cepat masa berlalu. Rasa masih baru lagi melahirkannya di bulan Ramadhan yang berkat...dan sekarang genap berusia 17 tahun. Kerana ingin menyambut hari jadi bersama keluarga Aimi yang pada asalnya merancang tidak balik bercuti Tahun Baru Cina tiba-tiba bersuara ingin balik ke rumah."Mak, Aimi nak balik! Aimi nak balik!"Sayangnya semua tiket balik telahpun habis. Saya dan suami pula mempunyai program lain yang menyukarkan kami untuk mengambilnya di asrama, nun di Terengganu Darul Iman.

Khamis, Aimi ke rumah rakan sekolahnya di Kertih. Jangkanya dia akan naik bas dari Kemaman ke Temerloh, malangnya tiket bas juga sudah habis. Saya minta dia naik bas ke Kuantan, dan saya akan mengambilnya di Kuantan..sayangnya tiket ke Kuantan juga kehabisan. Mujurlah keluarga rakannya telah bermurah hati untuk menghantar Aimi ke Kuantan, 2 jam perjalanan dari Kertih. Aimi diambil pula oleh sepupunya Wawa. Menjelang malam barulah saya sampai di Kuantan dan membawa Aimi pulang ke rumah dengan selamatnya. Terima kasih pada rakan Aimi, Izni dan keluarganya yang banyak membantu Aimi. Budi baik kalian sekeluarga hanya Allah sahajalah yang dapat membalasnya.

Inilah anak nombor 3 saya. Manja kededek sikit berbanding adik-beradik yang lain. Nak tau lagi pasal Aimi boleh tengok di sini, sini, sini dan sini. Abang dia pun ada tulis pasal Aimi. Tengok pula kat sini.

Selamat hari jadi Aimi. Semoga menjadi anak yang soleh dan wanita solehah. Semoga Aimi cemerlang dalam SPM dan cemerlang dalam apa jua diceburi. Semoga Aimi cemerlang di dunia dan cemerlang di akhirat. Emak, ayah dan semua orang sayangkan Aimi.
Baca lagi>>

Friday, February 8, 2013

Sudah tertulis..

Masih ingatkah Merah yang pernah saya ceritakan dulu? Hensemkan? Tengok bojeng dia..kalah bojeng pemain bola sepak Eropah mahupun Afrika. Kisah Merah (sikit je..) boleh baca kat sini. Sayangnya janji Allah sangat benar. Tiap-tiap yang hidup pasti merasai mati. Beberapa hari lepas saya dimaklumkan oleh anak saudara saya, bahawa Merah yang disayangi ini telahpun pergi buat selama-lamanya pada pertengahan bulan Januari lalu. Kematian Merah inipun sangat tragis. Dia ditemui mati tergantung atas pokok kelapa, namun disyakki tiada unsur-unsur jenayah. Merak mungkin berpusing-pusing atas pokok kelapa sehingga rantai besi menjerut lehernya. Sungguh kasihan. Nampaknya selepas ini tak dapatla lagi menikmati air kelapa muda di halaman rumah Kak Nik saya di Sg Dua, Bachok tu...

Selamat bersemadi Merah. Kenangan bersamamu akan dikenang selalu.

Baca lagi>>

Wednesday, February 6, 2013

Sesekali berehat di wad hospital (Bhg 2)

Hospital Jerantut merupakan sebuah hospital lama. Ianya terdiri daripada beberapa blok bangunan setingkat.  Kebanyakan kes2 yang dirawat di sini adalah kes-kes biasa, jika perlu rawatan lebih lanjut akan dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh atau ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAAA) di Kuantan.

Maklumat pesakit ada kat gelang plastik ni.

Saya ditempatkan di katil F10, terletak di hujung deretan katil di Wad 3, wad khusus untuk wanita..dan semestinya kelas 3. Jangan berangan nak masuk kelas 1 dan 2, sebab hanya ada kelas 3. Bagi pesakit macam saya, tak kisah sangat bab kelas-kelas ni. Yang penting rawatan untuk penyakit saya ni.

Sepanjang berada di wad saya tidaklah kesunyian. Meskipun jauh dari keluarga dan adik-beradik saya sentiasa dikunjungi oleh sahabat handai . Bila tiba waktu melawat, pasti ada yang singgah bertanya khabar. Alhamdulillah, rasa agak terharu kerana tidak dilupakan ketika saat-saat begini.

Setiap yang datang pula pasti bertanya soalan sama, "awak sakit apa?". Nampak badan sihat-sihat saja, langsung tak susut pun. Boleh jalan sana-sini, sentiasa berselera makan pulak tu. Maka sayapun beritahu bahawa saya anemia, kekurangan darah. Saya cuma lebih lemak dan daging, yang tak cukup darah sahaja!

Saya dirawat oleh seorang doktor yang masih muda belia, Dr Aliah. Orangnya kecil molek, mesra tapi nampak tegas. Beliau memaklumkan bahawa saya perlu dimasukkan darah. Malangnya setelah menunggu berhari-hari, darah yang dinanti tak kunjung tiba. Saya berdarah O+, suami saya AB dan tiada seorangpun anak saya yang berdarah O! HOSHAS tidak membekalkan darah untuk Hospital Jerantut, stok hanya cukup untuk kes2 kecemasan di hospital itu sahaja. Bekalan dinanti dari HTAAA, tapi HTAAA pun kekurangan bekalan darah O.

Setelah 5 hari, pemeriksaan hb darah saya menunjukkan peningkatan. Jadi, Dr Aliah memaklumkan saya tidak perlu dimasukkan darah lagi...dan yang lebih bestnya saya dibenarkan pulang ke rumah. Yeay..merdeka!

Terima kasih kepada Dr Aliah dan semua staff di Wad 3 Hospital Jerantut yang telah memberikan rawatan dan layanan terbaik untuk saya sepanjang berada di sana dari 28.1.2013-1.2.2013. Terima kasih juga untuk rakan2 yang sudi menjenguk dan mendoakan kesihatan saya. Semoga Allah merahmati kalian semua.
Baca lagi>>

Mekap sikit-sikit....

Bermula semalam blog saya sudah ada penambahbaikan. Tambah gincu dan bedak sikit-sikit..barulah lebih mengancam, selaras peredaran masa gitu..hehe. Namun, mekap-mekap ini bukan saya buat sendiri..terpaksa guna khidmat mak andam jemputan. Semua ini hasil kerajinan sahabat saya Nor Salmi. Sudahlah dah dimekap2, dia juga la yang ajar saya bagaimana nak link blog orang lain ke blog kita

Sahabat saya ni memang rajin...sudahlah rajin, kreatif pula..dan sangat bermurah hati memberi khidmat nasihat dan khidmat bantu dalam apa jua bidang, kira-kiranya beliau seorang yang sangat baik. Dia rajin menulis. Selalu saya tahu pasal anak2 beliau dari coretan di blognya.Kalau pasal sekolah ibu yang diceritakan dalam blog beliau, maknanya sekolah saya la tu. Walaupun satu sekolah, jarang juga dapat bermesra dengannya, sebab dia ajar budak Tahun 6, saya lak ajar budak 6 tahun!

Terima kasih Mi..terima kasih daun keladi. Ada masa, mekaplah lagi..hehe. Budi baikmu Allah sajalah yang dapat membalasnya. 
Baca lagi>>

Friday, February 1, 2013

Sesekali berehat di Wad Hospital..(Bhg 1)

Assamualaikum,..hello..hello..saya bersiaran lagi setelah berbulan-bulan menyepi.  Selamat tahun baru 2013 untuk semua. Errr..kira baru lagilah kan sebab baru sebulan berlalu....hehe..

Awal 2013 masalah kesihatan mula mengganggu. Namun saya abaikan saja, lebih2 lagi kami di SKT sibuk membuat persiapan menjelang keberangkatan para nazir. Sekolah saya sekali lagi tercalon untuk tahun ketiga bagi anugerah New Deal. 2 tahun berturut kami berjaya menempatkan diri sebagai salah sebuah sekolah yang berjaya menerima New Deal tersebut, sekarang kami dinilai lagi sama ada layak atau tidak untuk menerimanya buat kali ke-3 berturut-turut. Setelah nazir selesai memantau, saya mula memikirkan diri sendiri. Jadi,hari Isnin 28 Januari 2013 sayapun meminta izin pentadbir sekolah untuk ke klinik. 

11.30 pagi saya mula memandu ke klinik. Sepanjang jalan saya berkira-kira sama ada nak ke klinik swasta atau ke hospital. Akhirnya Allah gerakkan hati saya untuk ke hospital. Jam 1.00 tengah hari baru saya dipanggil ke bilik  doktor. Doktor muda tersebut mengarahkan saya menjalani pemeriksaan darah di makmal dan sekarang adalah waktu rehat. Maka sayapun pulanglah ke rumah menunggu petang untuk ke hospital semula.  Pukul 3.00 petang saya ke hospital semula dan menjalani penantian yang lama sebelum bertemu doktor. Akhirnya hampir jam 5.00 doktor memberitahu saya perlu ditahan di wad untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Seorang jururawat membawa sebuah kerusi roda untuk saya."Tak apa, saya boleh jalan sendiri." Kata saya. Beberapa langkah menapak sayapun sampai ke wad 3. Saya datang lagi setelah kali terakhir menghuninya September 2008, 5 tahun lalu. Tidak banyak yang berubah. Rata-rata pesakit sudah berumur 50 tahun ke atas. Kebanyakannya sakit kencing manis, darah tinggi dan asma. Hanya saya, sakit istimewa! Prosedur biasa masuk wad, tangan saya mula dipasang jarum. Seksa juga sebab urat darah saya ni tenggelam dalam daging dan lelemak yang banyak.

....................................................................bersambung..........................
Baca lagi>>
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH