Tuesday, November 19, 2013

Corat-coret Haji 1434H-Episod 1

Genap 20 hari saya kembali ke tanah air setelah selesai menunaikan rukun Islam ke-5. Setiap hari saya merancang untuk menulis di blog yang hampir berkulat ini...namun sentiasa ada kekangan  tugas dan waktu. Bila rakan taulan, sanak saudara sibuk minta saya bercerita kisah-kisah di tanah suci, saya jadi bersemangat semula. Kat mana harus bermula?...ah..tulis sajalah. Blog sendiri..ikut suka sendiri la..hehe..

Saya dan suami bertolak ke tanah suci pada 17 September 2013 dengan penerbangan KT30 dengan pesawat Saudi Air. Kebetulan, tarikh tersebut adalah sama dengan tarikh lahir anak sulung saya dan bersamaan juga dengan usia suami saya 30 tahun ketika menjadi seorang ayah. Tarikh yang cantik. Mudah-mudahan semua amal ibadat kami juga cantik di mata Allah.

Penerbangan KT30 merupakan penerbangan terus dari KLIA ke KAAA Madinah. Jadi, kami akan terus ke Madinah dahulu selama 8 hari sebelum Makkah pula. Kami check in ke Hotel Al-Haram yang berjarak hanya 50 meter dari Masjid Nabawi ketika hampir pukul 11.00 pagi. Oleh kerana Masjid Nabawi sudah nampak tersergam di depan mata, sebaik meletakkan bagasi ke bilik, saya dan suami terus ke masjid memandangkan waktu zohor hampir tiba.

Subhanallah, menitik air mata melihat Masjid Nabi yang indah itu. Rasa macam tidak percaya kami insan terpilih untuk berada di sini. Di sini jemaah diasingkan mengikut jantina. Di pintu masuk jemaah wanita perlu diperiksa oleh petugas masjid yang berpurdah serba hitam. Jemaah tidak dibenarkan membawa masuk kamera, telefon berkamera dan makanan. Sebaik melangkah masuk kelihatan deretan tong air zam-zam beserta cawan plastik pakai buang. Selepas memberi salam kepada Rasulullah, saya terus menadah air zam-zam dan terus meminumnya dengan penuh nikmat.Kemudian terus melangkah ke dalam lagi untuk bersolat tahiyyatul masjid. Walaupun ini kali pertama saya ke sini, berseorangan pula kerana suami telahpun ke bahagian lelaki, saya tidak rasa bersendirian. Saya terasa bersama dengan sanak saudara seluruh dunia, saling berbalas senyuman..hendak berbicara masalah bahasa pula.

Allahuakbar, perasaan saya waktu ini tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Selesai bersolat jamaah Zohor, saya bertanya kepada seorang jemaah  di manakah Raudhah? Jemaah Malaysia itu berkata," Kalau adik nak pergi, sekejap lagi petugas akan panggil." Benar, tidak lama kemudian, terdengar panggilan,"Raudhah..Raudhah". Jemaah yang berhajat ke Raudhah diasingkan mengikut kawasan dan bahasa. Jemaah Malaysia akan duduk di kawasan Bahasa Melayu bersama dengan jemaah Indonesia, Singapura, Brunai, Thailand dan lain-lain negara asia tenggara. Sementara menunggu pintu dibuka, satu ceramah disampaikan dalam Bahasa Indonesia. Setelah sejam menunggu, tiba-tiba pintu ke Raudhah dibuka. Saya terkejut, semua orang berlari dan menyerbu masuk. Sayapun ikut berlari..tetapi kemudiaannya saya berjalan sahaja. Saya teringat buku yang pernah saya baca, kenapa perlu berlari? Beginikah adab kita dengan Rasulullah? Bukankah dalam bumi Madinah ini bersemadinya jasad Rasulullah? 

Bila sampai ke Raudhah dan sekitar makam Rasulullah, air mata merembas keluar. Semua orang bertolak-tolak untuk mengerjakan solat sunat di tempat terbaik. Kita hendaklah memperbanyakkan doa di sini kerana di kawasan raudhah ini merupakan antara tempat mustajab doa. 

Gambar Raudah ini saya copy paste dari album Pak cik Google. Nanti saya cerita kenapa saya tak ada satupun gambar kenangan di Madinah.

....bersambung...

2 comments:

  1. saya ternanti2 cerita najmiah tau. iyalah..pengalaman seseorang tetap berbeza.
    tiba-tiba hati saya meruntun-runtun nak ke sana lagi..walhal sejak kebelakangan ni tak teringat langsung kerana sibuk packing barang..

    ReplyDelete
    Replies
    1. mudah-mudahan perkongsian yang sedikit ini memberikan sedikit panduan untuk rakan2 semua. Biasalah Anim, berkat doa Nabi Ibrahim, Allah sentiasa menumbuhkan rasa rindu pada tanah suci. Harap kita x jadi macam sesetengah orang yang dah serik untuk ke sana. Nauzubillah.

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH