Saturday, November 3, 2012

Aktiviti Membakar Lemak..

Pagi-pagi lagi, encik suami ajak pergi Temerloh untuk servis kereta. Kan dekat nak cuti ni. Keluarga besar saya bercadang nak buat percutian keluarga ke Taiping. Wah, semua orang teruja dan tidak sabar. Jadi, untuk memastikan rancangan kami berjalan lancar, kereta perlu diservis supaya ia dapat memberikan khidmat yang terbaik untuk kami.

Namun, saya tidak mahu ke sana (Temerloh). Tentu bosan menunggu kereta diservis, lebih baik saya duduk di rumah saja, banyak lagi urusan rumah tangga yang belum beres. Oleh kerana anak dara saya ada bercuti di rumah, dia saya amanahkan untuk menyapu, membasuh dan menjemur kain dan kemas apa2 yang patut. Saya pula memikul tangga dan disandarkan di tingkap rumah. Berbekalkan sebilah parang panjang yang boleh tahan jugala tajamnya saya melangkah berhati-hati ke kawasan 'hutan dara' belakang rumah.

Saya turun melalui tingkap yang muat-muat badan saya. Dengan bakat menebas hasil pengalaman lalu, saya menghayun parang dengan penuh semangat. Beberapa perdu pokok senduduk dan kapal terbang yang bersaiz besar rebah ke bumi. Aroma semak-samun yang terbit dari hasil tebasan saya tadi membangkitkan nostalgia yang indah.  Saya teringat aroma yang sama bila saya dan adik-adik..arwah Za & Judin membersihkan kebun kelapa sawit bersama-sama emak. Emak, (dah balu masa tu) mengarahkan kami mencabut anak-anak pokok kayu. Kata emak, kalau tebas sekejap saja pokok akan bertunas semula. Jadi kamipun menggunakan semua kudrat yang ada mencabut anak-anak pokok sampai melelas tapak tangan...saya tak pasti adakah anak-anak saya boleh buat apa yang saya dan adik2 dulu buat dengan rela dan senyuman. 

Lega rasanya melihat kawasan belakang rumah sudah terang.Sebelum ni Encik suami sibuk nak upah orang  orang..ha, tengok..dengan tenaga wanita yang dah berumur ni, pokok-pokok semak itu telah tumbang menyembah bumi. Peluh keluar mencurah-curah.

Harap-harap selepas ini saya boleh menebas dengan kawasan yang lebih luar lagi dan dengan itu lebih banyak lagi lemak yang cair...ringan sikit badan.
Baca lagi>>

Saya & Kg. Mela

Selalu saya bercerita tentang kampung halaman saya, tanah tumpah darah saya di Terengganu..tapi hari ini saya ingin bercerita tentang saya dan Kg. Mela.

Pada suatu hari yang tenang, komputer saya baharu saja diperbaiki setelah diserang virus yang menyebabkan ianya langsung tidak dapat dibuka..saya dengan rasa teruja melayari internet. Tiba-tiba mata saya 'tertangkap' satu laman facebook Anak Mela di Perantauan.

Eh, blog saya dilinkkan ke situ! Selama ini saya menyangka tidak ada yang membaca blog saya kecuali adik-adik saya saja. Anak-anak saya selalu bertanya," Mak, ada orang baca ke blog mak ni?" dan saya jawab," Mak tulis blog bukan untuk dibaca oleh orang lain..ia adalah catatan2 kenangan dan peristiwa yang terlintas di fikiran untuk syok sendiri saja."...dan sudah menjadi kebiasaan pula untuk saya mengulang-ngulang kembali membaca catatan yang telah saya buat..hehe, kiranya saya yang tulis dan sayalah yang membacanya! Menulis untuk diri sendiri!

Kg.Mela (lebih dikenali sebagai Mela), sebuah perkampungan tradisi yang terletak dalam daerah Kuala Lipis tetapi bersempadan dengan daerah Jerantut, bahkan bandar Jerantut lebih dekat berbanding Kuala Lipis. Saya mula kenal Mela bila saya menjadi menantu orang Pahang. Ibu mertua saya merupakan anak jati Mela, tetapi berhijrah ke Kg.Sepial yang juga merupakan jiran Mela apabila berkahwin dengan bapa mertua saya. Walaupun tinggal di Kg.Sepial, mertua saya menyekolahkan beberapa orang anaknya di Mela kerana kesukaran ke sekolah di Kuala Tembeling, maklum sajalah sekitar tahun 60an dan 70an, tiada kemudahan pengangkutan dan jalanraya yang baik.

Mela, kampung yang agak 'happening' dan juga pusat aktiviti masyarakat setempat. Pekan seharinya pada setiap Sabtu sangat meriah. Ketika saya berulang alik belajar di Kuala Lipis beberapa tahun lepas, saya dapati sepanjang jalan dari Lipis ke Mela sentiasa ada warga tua menunggu bas untuk ke pekan sari tersebut seawal jam 7.00 pagi lagi..ada juga sesekali saya menumpangkan beberapa orang dari Kg.Serdang ke Mela.

Hampir semua warga Mela ada pertalian darah sama ada jauh atau sekadar bau-bau bacang. Maklumlah zaman dahulu penduduk lebih senang mengahwinkan anak mereka dengan masyarakat setempat. Hanya pada era globalisasi ini barulah orang Mela mula melebarkan tali silaturrahim dengan orang-orang jauh. Ramai anak-anak orang Mela tinggal di luar dan menyandang jawatan tinggi dan bergaji besar .

Nota: Maaf, cerita saya tergantung. Saya dah tulis post ni lebih 2 tahun lalu..lama kan? Dah agak basi dan berkulat..alah, kalau berkulatpun x mengapa. Tiba2 hari ni baru rasa nak publish draf yang tersimpan lama ni..
Baca lagi>>

Wednesday, October 31, 2012

..terlupa..

Saya percaya semua orang pernak terlupa. Maklum sajalah terlupa itu sifat manusia selaku hambaNya  yang lemah. Beruntunglah seseorang yang diberikan ingatan yang kuat..namun sifat terlupa bukanlah bererti lemah kerana ada ketikanya kelupaan itu menjadi semangat dan titik mula kehidupan baharu. Contohnya lupa pada sesuatu peristiwa hitam, trauma, sedih atau jenayah. Dengan sebab terlupa seseorang boleh bangkit semula dan tidak terus-menerus mengingat peristiwa itu.
Photo: En.Google

Dua tahun lalu seseorang menghubungi saya melalui facebook. Katanya dia rakan sekelas saya semasa di SMTI dulu. Puas saya cuba mengingatinya, namun saya tidak dapat mengecamnya. Katanya dia orang paling tinggi dalam kelas. Dia turut menyenaraikan nama rakan-rakan saya yang lain dan apa aktiviti kami dalam kelas semasa bersekolah dulu. Masya-Allah, Denan, Mail, Hasmat, Kuri, Asri, Aminuddin, Tahyuddin, Kamal, Maznah, Che Abdu Fatah, Mokhtar, Azmi, Luzi, Syukri, Wan Ikmal, Zulhairi dan beberapa orang lagi saya ingat. Semasa saya di Tingkatan 4 & 5, rakan sekelas saya bukanlah ramai sangat, kami cuma seramai 20 orang sahaja...namun nama Azuwi ini tiada dalam pita memori saya. Saya meminta maaf kerana saya memang langsung tidak ingat. Akhirnya kata Azuwi,"Tak.apalah awak tak ingat saya. Yang penting awak kawan saya dan saya tetap kawan awak." Ayat ini sungguh menyentuh hati saya...sehinggalah pada satu hari seorang sahabat saya yang lain mengupload gambar-gambar semasa kami bersekolah dulu. Allahuakbar, baru saya ingat semula siapa Azuwi ini. Barulah saya teringat Azuwi dan set pata inilah selalu bawa 'anak kalei' ke sekolah , manakala saya dan Hasmat bawa colek untuk dicicah dengan anak kalei tadi. Ya, dia memang paling tinggi dalam kelas, kami selalu berbual @ berborak dalam kelas. Dia dengan loghat Setiunya yang pekat manakala majoriti kami bercakap dialek Besut.

Bulan lepas, saya dan suami dikunjungi oleh beberapa orang saudara. Gembiranya kami menerima tetamu datang bertandang ke rumah. Sayapun buatla minuman dan menggoreng apa-apa yang patut. Setelah menghidang juadah sayapun duduklah bersama-sama tetamu di ruang tamu rumah saya. Sedang seronok berbual tiba-tiba asap kelam sampai ke ruang tamu. Saya terus berlari ke dapur dan mendapati   
api dapur saya masih menyala..bahkan telah menyambar minyak di dalam kuali tersebut. Para tetamu turut bergerak ke dapur...huwaa..saya terlupa padamkan api! Apa lagi, dapat ceramah freelah lepas tu..namun hal ini bukanlah disengajakan..saya TERLUPA.

..terbaru, saya membelikan 2 tiket kereta api untuk anak saya pergi dan balik dari Pasir Mas ke Jerantut sempena cuti Hari Raya Adil Adha. Malangnya saya terlupa di mana saya letakkan tiket tersebut. Puas dicari, tidak juga berjumpa. Akhirnya saya terpaksa beli tiket lain kerana tidak mahu anak saya tiada tempat duduk dalam kereta api. Tak pasal-pasal tambang balik sudah meningkat sekali ganda. Apa boleh buat..saya TERLUPA.

Banyak lagi kisah-kisah 'kelupaan' saya...namun biarlah ia menjadi kenangan dan peringatan untuk saya. Ya Allah, jauhkanlah sifat lupa dariku. Jadikan aku orang yang sentiasa taat dan mengingatiMu selalu selalu. Amin.

Glosari:  1. set pata   sekumpulan rakan yang datang dari kawasan pantai, cth: anak nelayan dll. 
              2. anak kalei : Anak ikan yang bersaiz kecil yang telah direbus dan dijemur seumpama ikan bilis,
                                                cth anak ikan selayang, kembung, tamban dll.
              3. colek        : campuran cuka, garam, gula, belacan dan lada kecil.

Baca lagi>>

Sunday, October 14, 2012

Sesekali berkursus....


Julung-julung kali tahun ini, saya menerima surat panggilan berkursus. Bagus juga, sesekali kita perlu berkursus untuk mendapat input baru..maklum, lama-lama mengajar hampir ketandusan idea. Nama kursus pun agak seronok, Kursus Pengajaran dan Pembelajaran Yang Menyeronokkan Bagi Peningkatan Profesionalisme Guru-guru Prasekolah Jabatan Pelajaran Negeri Pahang 2012. Tu dia, panjang nama kursusnya. Setahun dua ini tidak banyak kursus diadakan. Kalau adapun taklimat ringkas peringkat PPD. Jadi, sayapun hadirlah ke kursus tersebut yang diadakan di Hotel Puteri Park, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. JPNP menyediakan 2 buah bas khusus untuk mengangkut peserta kursus yang datangnya dari dari 7 buah daerah di negeri Pahang ini iaitu Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Pekan, Rompin dan Cameron Highlands.

Jadual kursus seperti biasa. Malam pertama lagi dah ada slot untuk Tunjang Kemanusiaan iaitu salah satu tunjang matapelajaran yang terdapat di dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK), kemudian disambung lagi tunjang-tunjang yang lain keesokan harinya. Macam biasa, mesti ada sesi perbengkelan dan pembentangan. Jom, layan gambar pulak.

Photo: kusyukkkkkkkkknye deme ni....
Semua nampak tekun dan khusyuk..


Inilah kumpulan saya, kumpulan Tunjang Kemanusiaan. Kami sedang membincangkan aktiviti yang sesuai dan menyeronokkan untuk PdP tunjang tersebut.

Dari meja besar. kami turun pulak atas lantai. Cikgu pra pun macam budak pra jugak, mana boleh dudk setempat saja...haha..cuma kami ni tidaklah sampai meniarap macam murid pra dalam kelas. Macam ni lah cikgu pra, gunting, warna, marker, kad tak dapat dipisahkan.
Photo
Ini pula group lain. Lupa dah kumpulan apa.
Photo: Team 1 PAMP Siri 1/2012...sesi perbengkelan
Gambar-gambar ni saya copy dari FB Akademik Prasekolah Pahang. TQ ya..




Sesi pembentangan. Seronok tengok cikgu-cikgu pra membentangkan hasil kerja kumpulan masing-masing..sangat kreatif! Kita seronok, kalau dilaksanakan dalam kelas, budak pra tentu lagi seronok.


Alahai, mak cik-mak cik n kakak-kakak sedang menyanyi lagu 'Tanya Sama Kawan'...mana pergi dua orang lelaki kumpulan kami ni?

Ini pula salah satu persembahan daripada  kumpulan Tunjang Kerohanian, Nilai dan Sikap.
Photo: tunjang fizikal estetikaPhoto: tunjang kerohanian sikap & nilai
Sebahagian ABM yang berjaya dihasilkan.

Photo: barisan penceramah bebas.... :)) 
Pelbagai gelagat peserta, juru latih utama (JU) dan urus setia kursus.


Selesai slot pembentangan, sesi penutupan pula. Ini pengacara majlis, Pn. Dasimah Yahia, pegawai dari PPD Bera. Beliau juga salah seorang JU...Pn. Dasimah ni kecil molek orangnya dan suaranya ketika mengendalikan majlis penutupan kursus sungguh lemak merdu dan berjaya menguruskan majlis dengan baik dari mula hingga akhir.


Ketua Sektor, Tuan Haji Jailani sudi datang merasmikan majlis penutupan. Yang sedang berucap tu En. Saidi Embong, orang kuat prasekolah Pahang.



Sesi bergambar mengikut kumpulan bersama KS, En.Saidi, barisan JU dan urus setia kursus.

Sudah tamat. Semoga saya dan rakan-rakan dapat mengadaptasikan segala yang kami perolehi sepanjang kursus ini ke dalam kelas prasekolah kami. Semoga JPNP dapat mengadakan lagi kursus-kursus yang bermanfaat seperti ini di masa akan datang.

* Sumber foto :Suhazli Rahim &; Nadiah Syafiqah Abdul Rahim . Terima kasih banyak-banyak.
Baca lagi>>

Tuesday, September 4, 2012

Kehilangan Lagi...

Keluarga saya  menempuh detik-detik sedih lagi hari ini. Abang ipar  saya, Abang Mud telah kembali ke Rahmatullah petang tadi di Hospital Kota Bharu. Jenazahnya sudahpun dibawa balik ke rumahnya di Kg.Wakaf Aik, Bachok dan akan insya-Allah akan dikebumikan pukul 10.00 pagi esok. Semua anak-anaknya sudahpun pulang kecuali Naim, anak sulungnya sedang dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang.
 Inilah Abang Mud yang berbaju pagoda putih. Nampak sihat-sihat saja masa kami menziarahi beliau sekeluarga pada 2 Syawal lalu...namun janji Allah tetap datang tidak terlewat mahupun tercepat, arwah Abang Mud  pergi meninggalkan seorang isteri dan  5 orang anak serta beberapa orang cucu. Abang Mud yang saya kenali adalah seorang lelaki yang sangat cool, tenang dan sentiasa tersenyum. Dia tidak pernah meninggikan suara, selalu panggil saya adik.

Ya Allah..Engkau tempatkanlah roh abang iparku ini bersama-sama roh hamba-hambaMu yang soleh. Engkau tabahkanlah hati kakakku Remalah dan anak-anaknya dalam menempuh detik-detik sukar ini. Hanya padaMu lah hambaMu berserah. Amin.
Baca lagi>>

Saturday, September 1, 2012

Surat Terbuka Untuk Sahabat

Assalamualaikum. Selamat Hari Raya dan selamat bergembira. Sahabatku Rosniah yang selalu diingati.  Catatan ini aku dedikasikan khusus untukmu. Harapkan agar dirimu sudilah membacanya sehingga noktah terakhir.

Rosniah, sebenarnya beberapa hari lepas aku mimpikan mu..mungkin sebab aku asyik teringat ke mu..dan aku rasa sangat ralat sebab tidak dapat hadir di majlis rumah terbuka dan naik rumah barumu. Maafkan aku..insyaAllah aku akan sampai juga ke rumah barumu nanti, dan waktu itu harap mu x lupa hidangkan aku apam berkuahmu yang sangat sedap itu.

Gambar ni aku ambil dari fb mu. Harap mu tak marah padaku.

Rosniah, kita mula berkawan sejak dari tadika lagi. Kemudian kita belajar lagi dalam kelas yang sama dari darjah 1 sampailah darjah 6. Ramai orang suka berkawan denganmu sebab mu ni ramah tamah, suka ketawa, sentiasa gembira dan comel! Bila bergambar kelas mesti mu selalu duduk sebelah cikgu. 
Tentu mu masih ingat masa bulan puasa sekolah rendah, sekitar 1978/1979 kita mesti balik sekolah sama-sama dan singgah di pasar dulu, beli koleh kacang. Masa mu darjah 1 dan 2, mu jarang jalan kaki sebab selalu diambil oleh Pok Teh Che Ali dengan vespanya.

Ingat lagikan bila balik dari sekolah kita selalu singgah di kedai Raja Nab beli Utusan Pelajar atau majalah Bujal. Kadang-kadang singgah kedai Wan Aidi, kawan sekelas kita beli air batu nnisan. (Siapa sangka akhirnya mu berjodoh ngan Wan Aidi tu..) Kadang-kadang kita singgah di mini pos depan Pintu Gerbang tengok surat-surat. Selalu mu tunggu surat dari Rashidah Arshad..kawan kita yang dah bertukar ke sekolah lain. Pastu kita beli pisang nangka goreng yang sedap di kedai sebelah mini pos tu.

Lepas tu baru kita sambung perjalanan balik ke rumah. Selalunya bersama kita tu Sarimah Harun dan Kamarul Azman Pok Soh Siti. Ada lagi 2,3 orang kawan kita, sayangnya aku sudah lupa.. Kadang-kadang kita singgah lagi rumah Mak Wan Nab, mak Zaleha minta buah jambu butir banyak yang banyak kat rumahnya tu...nostalgiakan?

!980, kita ke SMTI pula. Sejak itu kita tidak lagi sekelas kerana berlainan aliran. Mu ambik SRT yang sangat sesuai denganmu..sampai sekarang mu tak perlu upah orang untuk jahit bajumu dan keluarga..semua mu boleh buat sendiri. Masakan apa yang mu x tau buat..tradisional? Moden? Mu jadi contoh isteri dan ibu yang sempurna! Walaupun kita tidak sekelas, persahabatan kita masih lagi utuh. Kita masih bersarapan sama-sama di kantin SMTI, makan nasi dagang yang kita beli dari kedai Tok Songkok atau roti canai atau nasi berlauk yang kita beli dari kedai Nordin. Kadang-kadang mu bawa pulut lepa yang dibuat sendiri..sedap!

Masih ingatkah tempat menunggu bas kita dalam kebun getah Gholan? Rakan-rakan kita naik bas biru, kita berdua naik bas Pok Man Guntong, sebab tu kita tunggu kat tempat lain. Masa tu kita tak fikir bahaya apapun, padahal bukan ada rumah orangpun kat situ. Kalau la zaman sekarang ni rasanya mesti kita tak benarkan anak-anak kita menunggu bas kat tempat yang sunyi macam tu..ala, diaorang pun bukan naik baspun..sana-sini dihantar..

Rosniah, paling tak lupa kitalah orang yang paling rajin sekali pergi kelas tambahan anjuran Felda kat kampung kita. Kadang-kadang kita berdua saja gi kelas tambahan tu, cikgupun tak ada..akadang-kadang kawan-kawan kita Zamri, Mat Hatta, Luzi tolong gi cari cikgu kat rumah! Walaupun begitu kita tetap tak jemu, esok kita pergi lagi kelas tambahan tu..Sebenarnya kita bukan rajin sangat belajar, kita suka gi kelas tambahan sebab aku tak payah tolong mak aku buat kerja rumah, mu pula tak payah tolong mok teh mu buat kuih penganan yang selalu ditempah orang tu..haha..teruk kita kan? Kita habiskan masa borak-borak kat taman tadika dekat pejabat..kadang-kadang kita main buai besi kat situ. Cukup masa kitapun balik ke rumah.


Ini pokok semarak api yang sangat cantik kat pejabat Felda kampung kita dulu. Masa cuti raya baru ni aku pergi kat pejabat tu, rasa aneh..semua sudah berubah..pokok semarak api ni pun sudah tidak berbangkai lagi.

Rosniah, masa mengubah segalanya. Tamat SPM kita bawa haluan masing-masing. Aku berhijrah ke Pahang, mu pun ke sana-sini, akhirnya sekarang menetap kat Batu Rakit. Rumah kita tidak jauh mana, namun kerana beberapa kekangan,kita jarang berjumpa, namun kemesraan kita selalu hidup di hatiku. Aku sentiasa teringat bunga mawar merah kat rumahmu yang selalu mu bagi padaku. Kadang-kadang telaga kat rumah pok tehmu pun aku tak lupa..bekas air teh mu darjah 6 dulu pun masih segar diingatanku..kasut sekolahmu yang biru ketu kerana terlebih nila dan sebagainya..

Semoga kita dapat merapatkan semula jalinan persahabatan ini. Kenang daku dalam doamu....

Baca lagi>>

..indahnya beraya di desa..

Hari ini 13 Syawal..masih dalam suasana raya, walaupun mood raya sudah berlalu..kuih rayapun sudah tidak bersisa lagi. Jemputan untuk rumah terbuka hampir tiada,,Bagi membangkitkan semula mood raya maka saya upload kat sini gambar-gambar sepanjang 1 dan 2 Syawal lalu.

Tahun ini saya sekeluarga balik berhari raya di kampung saya, Kg.Rahmat, Setiu, Terengganu. Saya dan anak-anak sangat teruja dapat beraya bersama emak dan saudara mara di kampung kelahiran saya. Tahun ini kali pertama kami beraya tanpa Za yang telah kembali ke rahmatullah awal tahun ini. Raya tahun ini agak meriah, hanya adik bongsu saya Imah yang tiada kerana berhari raya di rumah ibu mertuanya di Kuala Lumpur.

Menu raya kami biasa-biasa saja. Hampir senua kuih muih kering merupakan hasil ' tunjuk-tunjuk' termasuklah ketupat palas pun..hanya tapai pulut saja dibuat sendiri, sayangnya tapai tahun ini kurang menjadi kerana agak masam..mungkin sebab ragi. Namun saya puas juga makan tapai kerana hampir semua rumah yang kami kunjungi menyediakan menu wajib itu..tapai daun getah. Kami masak nasi dagang dan gulai ikan aya..tak lupa juga laksa lemak sebagai hidangan berat di hari raya itu.

Ini gambar di pagi raya pertama. Ini emak saya, adik ipar saya Azhar dan anak Kak Long saya, Izzuddin.

Bergaya di pagi raya bersama anak no.2, Atiqah Nadzirah.

Sebelum ke masjid sunat bersarapan dulu. Apa lagi, jemput makan la ya..

Kak Long dan anaknya Nur Haziah beserta sepupu saya Kak Ti di rumah arwah Ayah Lah.

Kami turut mengunjungi beberapa rumah lagi termasuklah ke rumah bapa sepupu saya di Felda Chalok Barat, Pak Teh Latif. Lamanya saya tak ke sana. Kali terakhir saya ke rumahnya pada tahun 1979, masa tu saya dalam Darjah 6. Saya ke sana kerana menyertai Musabaqah Membaca Al Quran Felda Wilayah Terengganu/Kalantan.Punyalah lama..dari zaman budak sampailah sekarang baru berpeluang ke sana semula padahal Chalok Barat tu hanya 10-15 minit berkereta sahaja dari rumah emak saya. Punya seronok sampai lupa nak ambil gambar.

Raya kedua..saya, Kak Long, Abang Li, Judin, Na dan keluarga masing-masing berkonvoi pula ke rumah saudara mara kami di Kelantan. Destinasi pertama rumah kakak saya, Kak Lah  di Kg.Wakaf Aik, Bachok. Kak Lah saya suri rumah sepenuh masa, manakala suaminya Abang Mud bekerja sendiri. Kadang-kadang  bertukang rumah, kadang-kadang tangkap ikan, ketam nipah untuk jualan dan macam-macam lagi. Sekarang Abang Mud berehat saja di rumah kerana masalah kesihatan.

 Tengoklah gelagat orang yang tak pernah jumpa perahu. Orang sibuk beramah mesra, mereka ni sibuk duk mengayuh perahu. Yang lawaknya berlagak macam bawak kereta je, pemandu duduk depan! Padahal sepatutnya orang yang mengayuh perahu tu duk kat balakang, penumpang kat depan! Yang berbaju putih tu anak Kak Long, Ikhwan manakala kat belakang tu anak bongsu saya, Idris.

Ini pula anak adik saya Na, Azri. Sibuk mengusung tukul besi bapa saudaranya..


Dua beradik, Idris dan Aimi sangat seronok berbasikal tua.
Dah makan kenyang-kenyang, tiba saat berpisah. Masih gamat dan kecoh, maklum sekali sekala berkumpul anak beranak.

Destinasi ke-2, rumah kakak saya juga, Kak Nik Jah di Sg Dua, Bachok. Kak Nik Jah suami isteri juga kerja kampung. Dulu-dulu bertanam tembakau, labu, tembikai, keledek dan sebagainya. Sekarang saya tengok kebun tempat tanam-tanaman tu semua dah ditanam kelapa sawit. Elok lah tu, Kak Nik dan Abang Well pun sudah tidak berdaya nak uruskan tanaman macam dulu-dulu.

Dah namanya kampung, adalah binatang seperti kat atas ni. Seronoknya anak-anak dan orang-orang tua macam kami ni tengok beruk yang namanya Merah ni.Bagi meraikan kami yang datang dari negeri jiran ni, maka Merahpun ditugaskan untuk membuat demonstrasi memetik kelapa muda dan seterusnya menikmati air kelapa muda.

Rasa macam pelancong lak tengok Merah memetik kelapa tu. Lebih seronok bila saja si Merah berjaya  menjatuhkan kelapa muda penonton-penonton ini bersorak dan bertepuk tangan...hehe..memang macam pelancong! 


Beranda baru rumah Kak Nik Jah sangat luas dan selesa untuk kami melepak-lepak. 


Sedap dan segar air kelapa muda ni. Tengoklah Ayah De dan Azri yang tersenyum lebar tu..


Inilah pemandangan biasa di Jajahan Bachok, Kelantan. Tembakau, kelapa sepanjang jalan..
Destinasi ke-3, rumah Pak Muda Noh di Kg. Aur, Bachok. Tak taulah apa sebab, gambar yang molek ni jadi begini bila di upload. Sila sengetkan kepala untuk melihat dengan lebih jelas. Pak Muda Noh ini ialah adik arwah che saya, satu-satunya bapa saudara yang masih ada. Pak Muda ni pun agak uzur juga. Bila bersalam kena perkenalkan diri dulu, kalau tak dia memang tak kenal pun kami ni...maklum, jarang jumpa.

Saya suka latar belakang gambar ni...pepohon kelapa yang mendamaikan. 


Destinasi ke-4 kami, rumah sepupu saya Che Minah  dan psangannya Abang Hassan, juga sepupu saya..walaubagaimanapun Che Minah ini bukanlah sepupu Abang Hassan ya.. Rumah Abang Hassan dan Che Minah ni tak jauh dari rumah Pak Muda. Halaman rumahnya berpasih putih yang halus maklum kawasan beris, apalagi si Aiman menggali pasir la bersama adik-beradiknya yang lain.
Sebahagian daripada anak-anak Abang Hassan..saya dah lupa bilangan anaknya, 8 kot! Yang kat tengah tu masih dara, ustazah J-QaF kat Johor. Yang kiri kanan tu semua dan jadi isteri orang. Saya suka anak-anak ni..bila saya ke rumah mereka dulu-dulu selalu saya dapati mereka ini nampak gembira dan murah dengan senyuman. Tidak nampak resah gelisah di wajah mereka, padahal mereka bukanlah orang senang..dan mereka ini selalu berbaju kurung lengkap sepasang dan bertudung! Kagum saya  dengan abang Hassan dan Che Minah yang walaupun tidak berpendidikan tinggi, tapi berjaya mendidik anak mereka dengan ilmu agama dan  duniawi dengan seimbang.  
Destinasi ke-5, rumah ibu saudara saya, Mak Dah dan tuk saya yang saya panggil Mak Adik di Kg. Kerandang, Besut, Terengganu. Wajah kekenyangan adik saya Na setelah menghabiskan sepinggan nasi berlauk daging kambing.
Kat tengah-tengah nilah Mak Adik yang rasa saya dah berusia lebih 90 tahun. Mata Mak Adik dah tak berapa nampak. Walaupun selalu jumpa, mesti kenalkan diri bila bersalam sebab Mak Adik ni sudah agak kurang ingatan. Bila jumpa saya suka pegang lengan dia, tangan dia yang dah tinggal kulit dan tulsng saja...dalam hati saya berfikir, sempatkan saya menjadi setua itu?

Pokok apa ni? Heran sungguh budak-budak bila tengok pokok begini kat rumah Mak Dah.


Eh, gambar pagi raya kat sini pulak..x kisah la..malas nak edik dah. Kak Long sedang mengagikan duit raya kat anak-anak buahnya.

Ni pulak tangan anak-anak dara yang tengah perisi ikan untuk buat laksa lemak.


Gambar ni patut kat atas tadi..kat rumah Kak Lah. Budak-budak ni  ambik gambar ayam sedang mengeram..kitakan tak bela ayam..mana pernah tengok ayam mengeram. 

Nampaknya inilah saja coretan sepanjang Syawal 1 dan 2 lalu. Ada banyak gambar, tak larat nak upload je. Harap terhiburlah dengan catatan merapu ni.

Di akhiri dengan ucapan Selamat Hari Raya Aidil Fitri,Maaf zahir batin.


Baca lagi>>

Sunday, July 29, 2012

Wedding Anniversary

Perkahwinan saya  menginjak 23 tahun hari ini. Pada hari ini, 23 tahun yang lalu saya telah diijabkabulkan dengan suami saya dalam satu majlis akad nikah yang serba sederhana. Dengan sekali lafaz dan berwalikan adik lelaki saya, saya telah selamat menjadi seorang isteri pada usia 22 tahun.

Indahnya saat itu..terasa masih sangat baru..saya terasa baru berkenalan, bertunang dan baru berkahwin...tapi bila melihat barisan anak2 yang seramai 4 orang itu bertambah dewasa, maka sedarlah saya bahawa saya telah beransur2 tua. Inilah buat pertama kali setelah 23 tahun gambar perkahwinan saya dipaparkan. Tiada yang menarik, tapi punya sentimental value buat saya. Majlis perkahwinan saya sederhana  tetapi meriah. Tiada kompang, tiada majlis persandingan. Memang itu yang saya mahukan..dan alhamdulillah, kami masih sayang menyayangi seperti dulu dan semoga Allah terus mencambahkan perasaan itu dalam hati kami buat selama-lamanya.

...dan setelah 23 tahun, dari berdua kami jadi berenam. Anak sulung saya pun telah berusia 22 tahun dan anak bongsu pula 14 tahun. 2 puteri dan 2 putera telah melengkapkan kehidupan berkeluarga saya. Semoga mereka yang hadir dalam perkahwinan ini menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, cemerlang di dunia dan cemerlang juga di akhirat.

Gambar aidilfitri 2009.
Baca lagi>>

Saturday, July 28, 2012

Bubur Lambuk

Sudah lama tidak makan bubur lambuk. Kali terakhir makan bubuk lambuk pada bulan puasa tahun lepas, beli dari bazaar Ramadhan Jerantut. Diam tak diam dah dekat setahun tak makan bubur lambuk. Bubur lambuk tahun lepas itu pun tak sesedap mana..rasa 'lecah leweh' dan serba tak kena. Jadi, bila encik suami membawa pulang 2 ikat pucuk nniding dari pasar pagi tadi saya tidak melepaskan peluang buat bubur lambuk. Bubur lambuk yang saya buat adalah bubur lambuk versi Terengganu yang sangat saya gemari sejak kecil lagi. Ianya langsung tidak sama dengan bubur lambuk yang terkenal kat Kg. Bharu Kuala Lumpur tu..ia lain..sangat-sangat lain walaupun namanya sama...dan saya tidak bercadang nak nak tulis resepi bubur lambuk tu kat sini, kalau nak..cari saja kat kampung google, berlambak boleh dapat. Gambar bubur lambuk kat bawah inipun saya pinjam kat kampung google saja, malas nak snap gambar ngan telepon murahan saya tu..dan rupa bubur lambuk ni lebih kuranglah ngan bubur lambuk yang saya buat tadi.


Oleh kerana malas nak menyusahkan encik suami ke pasar sekali lagi, (saya sendiripun malas nak gi pasar..hehe) saya gunalah saja apa-apa bahan yang ada. Selongkar peti ais, jumpalah seekor ikan kembung yang agak besar juga..kiranya cukuplah untuk buat seperiuk bubur lambuk. Ubi keledek  tak ada, saya ganti dengan ubi kentang. Santan beku masih berbaki di dalam peti, kerisik masih ada. Daun kaduk yang hidup segan mati tak mahu kat halaman rumah saya segera dikutip. Halia, bawang, lada hitam semua ada. Belek lagi dalam peti..aaa..ada keropok keping. Semua bahan-bahan akhirnya bersatu dalam periuk bersama garam, secawan beras dan air. ..dan akhirnya saya dapat menikmati bubur lambuk Terengganu yang saya hasilkan sendiri, makan seorang diri dengan puasnya! Encik suami memang kurang gemar dengan apa-apa saja bubur nasi..so, takkan saya larat nak habiskan seperiuk besar bubur lambuk ni seorang diri..nak bagi kat jiran-jiran takut mereka tak suka pula..maklum saja la, bukan semua orang suka bubur lambuk Terengganu ni. Saudara-mara saya dan adik beradik saya kat Kelantan tak suka bubur lambuk ni, tapi cuba tanya orang Terengganu, mesti majoriti suka! Untuk elak pembaziran, bubur lambuk tu dimasukkan dalam bekas dan dibawa ke masjid oleh encik suami untuk dimakan lepas terawikh nanti..

Masa saya kecil-kecil dulu bubur lambuk adalah kemestian bagi penduduk kampung saya. Hampir semua orang suka bubur lambuk, dari budak kecil sampailah orang dewasa mahupun warga tua. Orang-orang kampung menyumbang beras dan bahan-bahan lain, kami masak gotong royong di Balaisah Tok Wan Majid,  suray yang terletak tidak jauh dari rumah saya. Che saya yang juga imam kat balaisah tu lah yang selalunya menjadi penyumbang sayur-sayuran yang akan dimasukkan di dalam bubur lambuk tu. Bukan beli, tapi che saya kutip dari kebun getah dan semak samun sepanjang jalan dalam kebun. Yang mesti ialah pucuk nniding, pucuk balik adat, pucuk ulat bulu, pucuk labu, pucuk lada, pucuk kaduk dan segala macam pucuk kayu yang lain.  Bubur lambuk kat Balaisah Tok Wan Majid ni dimasak dalam kawah. Bila masak, semua tadah besen besar, bawa balik untuk keluarga di rumah. Sebahagian lagi dinikmati oleh jemaah yang berbuka di surau itu. Situasi sungguh meriah, kami budak-budak pun ikut sibuk bermain 'zero point' kat tepi balaisah. Selalunya bila ada bubur lambuk kami tak makan nasi dah sebab bubur itu sendiri cukup mengenyangkan. Lagipun bubur lambuk itu sendiri lengkap dengan semua khasiat yang diperlukan oleh badan kita..(masa tu bukan tahupun bab-bab khasiat ni..yang kami tau, ianya sedap!)

Kata emak saya, sekarang nak makan bubur lambuk sangat susah. Pucuk nniding susah nak dapat, tanpa pucuk nniding bubur lambuk hilang umpnya. Konsep masak gotong royong pun sudah tiada, bahkan Balaisah Tok Wan Majid tempat kami berkumpul dan beribadat pun sudah tiada. Saya tidak pasti adakah balaisah itu   roboh sendiri atau dirobohkan. Yang pasti, bila saya lalu kat kawasan balaisah itu ketika bercuti di kampung tidak lama dulu, ianya sudah diratakan...sedikitpun tiada tanda lagi..Jiran-jiran saya  seperti Mak Ngah Cik Timah dan  Mak Su Cikyang tidak pernah lupa menghulurkan bubur lambuk bila mereka buat bubur lambuk  pun sudah meninggal dunia. Emak saya sendiri sudah lama tidak ke dapur kerana masalah kesihatan..dan nampak gayanya bubur lambuk Terengganu nanti akan mengalami kepupusan.. bubur lambuk hanya tinggal memori untuk dikenang oleh pencinta bubur lambuk seperti saya..
Baca lagi>>

Monday, July 16, 2012

Aktiviti Anak-anak Prasekolah Mutiara

Lama tak bercerita tentang anak-anak prasekolah Mutiara. Jadi entry kali ini khas untuk bercerita tentang aktiviti mereka semua. Sebelum itu, suka saya nak beritahu hari ini kelas saya didatangi oleh En.Mohd Saidi bin Embong selaku Penolong Pengarah Prasekolah JPNP bagi sesi Lawatan Cakna Prasekolah. Anak-anak ini biasalah, bila ada pelawat masa tu lah mereka ni nak tunjuk power, tapi bila En. Saidi tanya malu-malu nak jawab...grrr, geram betul bila disuruh baca kata tak tahu! Bila pelawat dah balik..pandai pulak menjawab...sabar saja la..

Mengajar prasekolah ni, cikgu kena rajin dan kreatif. Masalahnya cikgu prasekolah ni tidaklah rajin, kreatif jauh sekali! Namun memandangkan konsep prasekolah ialah 'Belajar Sambil Bermain' dan 'Pembelajaran Yang Menyeronokkan', hendak atau tidak cikgu terpaksalah merajinkan diri  buat aktiviti itu dan ini. 

Minggu lepas, tema 'Tumbuh-tumbuhan'. Anak-anak prasekolah saya buat aktiviti bunga rampai. Aktiviti dijalankan secara berkumpulan. Lihatlah, mereka begitu tekun menggunting daun-daun pandan dan bunga-bungaan yang dikutip sekitar kawasan sekolah. Saya pula menyumbangkan sedikit pewangi bagi menjayakan program ini.

Setiap kumpulan mengandungi 5 ahli. Ada 5 kumpulan semuanya. Mereka dibekalkan dengan sebilah gunting. Namun bukan semua murid dapat menggunakan gunting dengan baik. Guntingan merekapun agak kasar, namun semua berasa seronok dan bangga kerana dapat menghasilkan sendiri bunga rampai ini.
Nah, ibu-ibu dan kakak-kakak..inilah hasil bunga rampai anak-anak prasekolah Mutiara hari ini. Masing-masing bangga mempamerkan hasil kerja sendiri. Bunga rampai itu dibawa pulang ke rumah masing-masing dengan gembiranya.

Minggu ini pula kami buat 'Wayermelon Juice' bagi teras Modul Bertema Bahasa Inggeris. Inilah bahan-bahan untuk membuatnya.

Seperti biasa aktiviti dijalankan secara berkumpulan. Setiap kumpulan menghancurkan tembikai bergotong-royong secara manual. Sayangnya terlupa nak ambil gambar aktiviti tersebut. Dah selesai, murid menuang sendiri watermelon juice ke dalam gelas masing-masing.

Hati-hati dik..jangan tumpah!


Gelas masing-masing dah penuh, baca doa dulu sebelum minum.


Hmm, manis..sejuk..segar..sedap!


Wajah-wajah ceria setelah selesai menikmati watermelon juice sebelum pulang.

Nampaknya setakat ini sajalah dahulu laporan aktiviti prasekolah Mutiara hari ini. Kita jumpa lain kali untuk laporan lain pula. Babai....




Baca lagi>>
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH