Thursday, June 28, 2012

MRI oh MRI

Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Pagi-pagi lagi saya bertolak ke HOSHAS dengan penuh debaran. Sebelum itu jam 9.00 malam tadi saya telah menelan 10 biji pil yang dibekalkan oleh pihak hospital dan mula berpuasa. Jam 7.00 pagi ini saya telah lagi 10 biji pil lain dengan segelas air suam...dan dengan doa semoga Allah mudahkan segala urusan saya hari ini, sayapun memandu seorang diri ke Temerloh.

Perjalanan hari ini sangat lancar. Jam 8.30 saya telah terpacak di kaunter pendaftaran Unit Pengimejan & Diagnostik HOSHAS. Saya dijadualkan menjalani imbasan MRI jam 9.00 pagi ini. Saya mahu bertenang sebelum MRI dijalankan. Setelah pendaftaran selesai, saya diminta menunggu di hadapan bilik MRI sehingga nama dipanggil. Ketika menunggu giliran saya sempat beramah mesra dengan seorang kakak yang juga akan menjalani prosedur seperti saya juga, dan kami berduapun dari Jerantut juga bahkan rumahnya pun tidak jauh dari rumah saya. Dia mendapat giliran pertama dan saya ke-2. Jadual MRInya sepatutnya jam 8.30, namun sejam kemudian barulah dia dipanggil. Saya pula dipanggil jam 11.00 pagi...waaa, bosannya menunggu!

Setelah bertukar pakaian, datang seorang jururawat mencucuk jarum ke tangan saya untuk dimasukkan ubat, 
Dia mangambil masa yang agak lama untuk mencari urat di tangan saya, maklum sajalah urat-urat darah saya telah banyak ditutupi oleh lemak. Akhirnya jururawat bernama Hanisah berjaya dengan sekali suntik setelah menggunakan jarum yang biasanya digunakan untuk kanak-kanak!


Inilah mesin pengimbas MRI. (Gambar ni mintak ngan Encik Google.)

Pada mulanya saya diminta berbaring seperti gambar kat atas. Tempat baring tu kecil sahaja, alamak..muat ke ni? Kemudian petugas meminta pula saya meniarap. Lama juga masa yang diambil untuk mendapat posisi yang sesuai, adalah dalam 10 minit. Setelah mendapat kedudukan yang selesa, satu headfon diletakkan di kepala saya. Badan saya dikemaskan dengan beberapa 'pengikat' kemudian saya pun ditolak masuk ke dalam mesin pengimbas MRI itu.

Sempitnya dalam terowong tu. Badan saya muat-muat je..kalaula berat saya naik lagi beberapa kilo, tentu  tidak muat lagi..huhu..Saya langsung tidak boleh bergerak. Suami saya pesan, banyakkan berzikir..malangnya dalam keadaan tertiarap begitu agak sukar untuk saya membuka mulut..jadi, saya berzikit dalam hati saja. Saya terbayangkan suami saya yang sedang mengajar matematik di sekolahnya, adakah dia terkenangkan saya sekarang?..atau adakah dia fokus pada P&Pnya sehingga langsung tidak ingat pada saya? Kemudian saya terbayangkan emak saya di kampung. Mungkin dia sedang berbaring sambil menonton televisyen di ruang tamu, mungkin juga dia sedang duduk-duduk di muka pintu sambil melihat orang lalu lalang di hadapan rumah..sambil itu pasti emak sedang memikirkan saya yang sedang dalam terowong ajaib ini...

Teringat pula anak teruna saya di rumah. Masih tidurkah lagi dia setelah semalaman melayan euro 2012? Anak dara saya tentu sibuk menguruskan rumahtangga. Bagaimana pula anak-anak murid saya di sekolah? Seronokkah mereka bila cikgu tiada? Siapa gantikan kelas saya hari ini?...Orang kata, terowong MRI ni gelap..tapi sekarang masih cerah..bila lampu nak dipadamkan?

Tiba-tiba saya ditarik keluar. La, tak jadi lagi rupanya! Saya diminta mengubah posisi tapi masih meniarap. "Akak, kena wat macam gaya ultraman lah pulak." kata petugas lelaki yang tidak memakai tanda nama. Saya 'diberkas' pulak dibahagian kepala. "Maafla kak, nampak ganas sikit. Tapi nak buat macamana. Tak de pilihan dah." kata beliau lagi. "Harap akak dapat tahanlah ya. Kalau akak rasa tak boleh bernafas ke, atau ada apa-apa masalah ke akak angkat kaki bagi isyarat". "lama ke?" tanya saya." 1 jam"..gulp, saya menelan air liur. Bolehke saya bertahan selama itu?

Sayapun disorong semula ke dalam mesin. Saya pejamkan mata saya...ya Allah, tidurkanlah aku selama 1 jam ni...tapi Allah belum makbulkan doa saya. Kemudian saya dengan bacaan A-Quran melalui headfon di kepala saya. Masya-Allah, indahnya bacaan qari ini! Mula-mula bacaan surah Al-Fatihah, Al-Baqarah, surah-surah al Makthurat, Yaasin, Arrahman, Al-Waqi'ah, 3 Qul...eh, belum selesai lagi ke? Dalam mesin tu saya masih boleh dengan macam-macam bunyi..bunyi ketukan, degung-dengang dan macam-macam lagi..

Yei, saya ditarik keluar lagi. Datang jururawat Hanisah tadi menyuntik dua lagi ubat lain. "La..nampak seksanya!" kata beliau. Ingatkan dah selesai..rupanya disorong semula! Bacaan Al-Quran terus berkumandang..berulang semula proses seperti tadi. Sabarlah..sabarlah..saya memujuk diri sendiri. Saya terasa seperti berada dalam kubur. Badan saya terhimpit kiri dan kanan, langsung tidak boleh bergerak. Saya terasa dikunjungi oleh arwah Che saya, arwah Za adik saya dan arwah Ayah Lah bapa saudara saya. Saya terasa mahu menangis..ya Allah, berilah aku kekuatan! Arwah Za yang sedang menunggu untuk menjalani MRI scan seperti saya inilah tetapi tidak sempat kerana terlebih dulu dipanggil Allah...

Seketika saya kembali tenang. Yang pasti dalam msin MRI itu tidak gelap, sebaliknya sepanjang proses ada lampu yang sentiasa nyala. Akhirnya setelah 1 jam berlalu selesailah proses imbasan MRI dengan jayanya. Keputusan imbasan ini hanya akan diketahui 2 minggu lagi.

Selesai semua, saya pergi 'berbuka puasa' puasa di kafe HOSHAS. Allah..Allah..sungguh nikmat makanan dan minuman bila dimakan oleh orang yang kelaparan. Sambil makan saya mengenang semula aktiviti saya sebentar tadi. Sungguh, Allah memudahkan urusan saya. Walaupun saya masih batuk, namun sepanjang proses tadi saya langsung tidak batuk. Begitu juga dengan allergik. Saya tidak terasa langsung sebarang kegatalan. Allah menyayangi saya..alhamdulillah. Sayapun tidak rasa pening dan dapat memandu balik ke rumah dengan selamat. Syukur..syukur..alhamdulillah..

Baca lagi>>

Saturday, June 23, 2012

Faiz Yang Penyayang..


Anak sulung saya sangat tidak sukakan bayi. Sejak bayi lagi sampailah dewasa..dia memang tidak sukakan bayi dan kanak-kanak. Katanya, "Budak-budak mereka suka menangis. Nak susu menangis, nak berak menangis, even nak tidur pun mesti menangis dulu. Geram betul aku. Oh ya, mereka juga sangat mengada-ngada.Kalau iklan pampers ke iklan susu yang guna pakai bayi sebagai model ke, aku memang cukup anti. Sebabnya aku tak suka bayi tu tergelak-gelak bila kena praktikal joke. Really. I hate it. Dan bila iklan bayi-bayi ni ke udara je, aku akan terketap-ketap gigi dan bibir, sambil cakap bayi tu mengada-mengadalah, rasa macam nak tumbuklah."

Saya selalu nasihatkan dia, " Yang awak ni marah sangat kat budak tu kenapa? Dia bukan buat apapun kat awak.Dulu awak kecik-kecik pun macam tu jugak. Bawak-bawak la suka ke budak kecik Faiz oi., Awak pun mak rasa tak lama lagi sesuai dah jadi bapak budak."

Sekarang, anak saya itu seorang belia yang berusia 22 tahun. Meniti usia-usia berharga sebagai seorang bujang sebelum berkeluarga...dan masa mengubah segalanya. Dia sudah mula sayangkan bayi dan kanak-kanak. Sungguh. Katanya, dia cukup suka bila pulang ke kampung saya di Terengganu sebab banyak sepupu yang kecik-kecik dan ber-title bayi. Dek kerana selalu ditugaskan mengasuh budak-budak itu apabila saya dan ibu-ibu saudaranya perlu berurusan di dapur rumah mak, dia mula menyukai mereka. Bukan setakat mengasuh..dia juga diamanahkan membuat susu, memandikan bebudak itu mahupun menukar lampin mereka. Dia cukup suka bermain dengan mereka sehingga akhirnya sangat disukai oleh kanak-kanak itu.

       
Inilah sebahagian daripada sepupu-sepupu Faiz yang comel-comel belaka..

Ini rutin harian sepupu-sepupu kecil Faiz . Ada macam-macam..laptop, netbook, e-book, ipad dll. Mereka ni lebih mahir bab-bab ict ni dari kita yang dah tua ni. Kadang-kadang ada game yang mereka suka, tapi tak tau main, jadi si Faiz inilah dipaksa bermain game itu, terutama oleh Ammar Hussaini yang berbaju biru kat gambar bawah.


Semoga anakku Ahmad Faiz akan sentiasa menyayangi kanak-kanak..kerana orang yang mengasihi akan sentiasa dikasihi...

Baca lagi>>

Monday, June 18, 2012

Apa-apa aje lah..

Kenalkah anda haiwan ini?
-
-
-
-
-
-

Comelkan?
Bahagian manakah yang paling comel?

Sebenarnya inilah platypus..sejenis haiwan semi akuatik yang banyak terdapat di utara Australia. Kenapa saya masukkan platypus ni kat blog saya?...sebab hari ni, mulut saya yang comel ni dah bertukar jadi seperti muncung platypus tu..haha..

Kawan-kawan saya kata, bibir saya seksi macam Angelina Jolie..(seksa sebenarnya), bibir ni dah macam disuntik botox..berkilat dan menggiurkan!Aduhai..yang pastinya saya terseksa dengan muncung platypus ini. Saya pun pelik semenjak dua menjak ni, kalau tersilap makan sikit mulalah bibir saya membengkak! Kadang-kadang bibir bawah terjuih, kadang-kadang bibir atas, kadang-kadang mata jadi sepet..kadang-kadang semua jadi bengkak sehingga menenggelamkan batang hidung! Bila saya tengok wajah saya di cermin, saya bermonolog sendiri," Ini aku ke atau alien?"

Minggu lepas saya terpaksa mc kerana wajah saya sangat teruk..kalau saya ke sekolah tentu saya tidak larat menjawab soalan-soalan dari murid dan rakan sejawat. Hari ini saya ke sekolah dengan muncung platypus ni tapi saya sorok muncung ini dengan topeng seperti ini..comelkan?

 

Gambar ini model dari Encik Google..saya tidak bersedia nak masukkan wajah saya. Saya ingat dengan memakai topeng di musim jerebu ni, tak adalah orang yang bertanya lagi. Rupa-rupanya tidak..nak mudah cerita saya jawab saja sesuka hati saya.
"Saja nak bagi nampak bergaya."
 Yang pasti, seharian ini saya sungguh lemas dan rimas.! Jika anda mempunyai petua bagaimana untuk mengelakkan allergic berulang lagi, silalah kongsikan dengan saya.

Baca lagi>>

Friday, June 15, 2012

Buah-buahan Nadir

Petang-petang begini, melihat halaman rumah yang tandus dan gersang..saya teringat buah-buahan nadir yang banyak di sekeliling rumah ketika saya kecil-kecil dulu. Hasil carian melalui laman web Perbadanan Perpustakaan Negeri Kedah,maksud pokok nadir ialah  pokok buah-buahan yang kebanyakannya dibiarkan dalam keadaan separuh liar tanpa penjagaan yang sempurna. Biasanya banyak terdapat di kampung-kampung sama ada di halaman rumah, di dusun kecil bersama pokok buah-buahan yang lain atau di pinggir hutan. Petang-petang beginilah saya merayau-rayau mencari buah-buahan yang boleh dimakan, maklum sajalah zaman dulu-dulu,jarang-jarang dapat beli buah-buahan. Ok lah, kita cerita sambil layan gambar-gambar hasil kerjasama pak cik google..
Ini buah gucil. Buahnya kecil-kecil dan bergugus seperti lada hitam. Saya suka makan buah ini ketika bersekolah rendah dulu..tapi buah ini tidak ditemui di kampung saya..dan sayapun tidak tahu bagaimanakah rupa sebenar pokok ini. Buah gucil ini dibawa ke sekolah oleh kawan-kawan saya yang tinggal di Kg.Chalok terutama Nik Khatijah dan Ku Fatimah. Mereka inilah peniaga kecil-kecilan buah gucil yang sangat laris pada waktu itu. Cara makannya sangat mudah..walaupun rasanya masam-masam manis, kami makan begitu saja..

buah-khiyat2
Ini pula buah khiyat, rasanya juga masam-masam manis..juga tidak terdapat di kampung saya. Namun saya tahu pokok ini kerana pernah mengikuti rakan baik saya, Hasmat Mohamed ketika saya di bawa ke kebun ayahnya. Kebun ini terletak berhampiran simpang Jalan Penarik di Kg Buloh..tidak jauh dari rumah rakan sekolah saya Irami Ismail. Sekarang, kebun itu sudah tiada, rumah Irami pun sudah hilang ditelan arus pembangunan. Pokok khiyat ini tidak besar, buahnya pun tidaklah istimewa sangat tapi memberi satu kenangan bila terkenangkan Hasmat memanjat pokok ini dengan cekap sekali.dan kami memakan buah ini dengan penuh mesra. Sekarang, sesekali bila ke Kedai Sari yang diadakan setiap pagi Sabtu di Kg.Buloh saya ada nampak buah ini dijual, namun rasanya sudah tidak sesedap dulu..mungkin kerana saya makan sendirian..
Buah sentul ini sungguh menggiurkan! Che saya tidak tanam pokok ini, tapi jiran sebelah rumah Pak Su Yahya Mak Su Chik ada sepohon pokok sentul yang agak besar. Bila tiba musim buah sentul, kami tumpang sekaki merasai buah ini. Kadang-kadang kami makan colek cicah dengan cuka campur garam, gula, belacan dan cili padi. Kadang-kadang dijeruk. Buah sentul Pak Su Yahya ini jenis kecil sahaja berbanding buah sentul di rumah Pak Cik Hassan Mak Cik Esah. Kadang-kadang kami pakat menggetah reriang yang sangat suka hinggap di pokok sentul ini.  
Ha, inilah buah yang banyak terdapat di sekeliling rumah saya..jambu batu atau kami panggil jambu butir banyak. Jambu butir banyak ini jenis yang tumbuh meliar dan agak keras, tidak seperti buah jambu batu zaman sekarang. Jambu batu ini sangat membangkitkan nostalgia..panjat pokok jambu, jatuh pokok jambu dan tidak dilupakan peristiwa bila che saya dapat sebiji jambu butir banyak yang sudah masak. Che akan kupas kulit jambu ini dan dipotong sejuring-juring lalu dibahagikan kepada kami adik beradik. Tentu budak-budak sekarang tidak mahu makan jambu butir banyak yang sudah masak ini kerana ianya sudah lembik dan tidak enak lagi.
     

Inilah antara buah-buah jambu yang sentiasa mewarnai kehidupan saya...jambu keling, jambu mawar dan jambu golok.

Buah nangka ini masih diperingkat putik. Saya mencari baba nangka tetapi tidak ditemui di kampung google ini. Baba nangka ialah putik nangka yang masih kecil, sebesar jari dan biasanya baba nangka ini tidak akan menjadi nangka sebaliknya akan gugur sebelum tua. Baba nangka ini dikenali melalui ciri-cirinya yang berbulu halus. Buahnya jika ditanya sekarang, tidak sedap langsung dan rasanya kelat. Namun di musim tiada buah-buahan, baba nangka ini pilihan terbaik untuk kami. Ianya dipotong kecil-kecil, bulat-bulat seperti duit 10sen, kemudian dicicah dengan cuka campur garam, gula, belacan dan lada cengik. Bila dimakan beramai-ramai atas'gerei' bawah pokok, semakin bertambah sedap sampai bibir kami jadi pucat dan biru penangan cuka colek tadi! 

Sekian dulu lah sebagai pemanas blog kerana lama tak menulis. Ayat-ayat pun tidak tersusun, agak lintang pukang..lagipun siapalah nak baca blog saya ni. Sekadar untuk syok sendiri saja..haha.
Baca lagi>>
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH