Tuesday, November 30, 2010

Tempat Jatuh Lagi Dikenang



Musim cuti sekolah, saya teringat kenangan ketika kecil-kecil dulu di kampung saya, Kampung Rahmat, Setiu,Terengganu. Pada sijil beranak saya tertulis tempat lahir Kg.Rahmat, Besut. 1985 daerah Setiu diwujudkan, jadi Kg.Rahmat diletakkan di bawah pentadbiran daerah Setiu pula.

Kat sebelah ni peti surat rumah saya. Abang Li saya buat dengan kayu terpakai. Inilah laluan untuk naik ke halaman rumah saya. Ada beberapa pohon limau langkap di belakang peti surat ini. Sekarang pokok limau ini sudah tiada..mati kerana serangan penyakit kulat pokok dan pokok duit-duit yang menjadi parasit di pokok limau tersebut. Pokok limau ini sangat mempunyai sentimental value bagi saya. Bila selesai mengaji Quran, saya dan rakan-rakan sepengajian akan berada di bawah pokok limau ini, meninjau buah-buah yang sudah matang dan mengaitnya. Kadang-kadang buah-buah limau yang masam dan masih mudapun kami petik dan cicah dengan kicap campur gula, sedapnya!

Di hadapan peti surat ini ada satu parit. Che saya buat satu jambatan kayu kecil merentangi parit tersebut. Bila musim bah, selalu saya dan adik-adik memancing ikan atas jambatan kayu tersebut. Pancing kayu saja, umpan cacing kami cari sendiri kat tanah lembap tepi telaga tak jauh dari pokok limau. Selalu kami dapat anak-anak ikan haruan atau keli..parit kecik saja, jadi ikan paling besar pun hanya sebesar dua jari saja! Kat dalam parit itu juga banyak daun kesum, selalu emak suruh saya ambik bila mak masak laksa, laksam, kerabu, bubur lambuk, gulai kunyit kuah ikan keli dan lain-lain. Kadang-kadang Kak Long saya jadikan daun kesum tu ulam cicah budu saja.

Inilah rumah tempat saya dan adik beradik saya dilahir dan dibesarkan. Nampak tak sabut-sabut yang bersusun di hadapan rumah tu? Asalnya rumah saya tu di tepi tebing bukit. Emak saya gunakan kreativiti menyusun sabut-sabut kelapa selapis demi selapis. Bila hujan, pasir dan tanah tersangkut pada sabut itu. Begitulah proses tersebut berulang sehinggalah sabut itu menjadi setinggi itu. Susunan sabut-sabut ini menjadi satu benteng yang teguh, juga mewujudkan satu pemandangan yang cantik bagi kami sekeluarga.

Di hadapan beranda rumah saya pula ada sepohon pokok macang. Bila musim buah macang, kami makan colek macang muda cicah cuka campur belacan. Kadang-kadang sampai berkudis kena getah macang. Bila macang tua, selalu buahnya gugur atas atap zink beranda tersebut. Selalunya buah macang gugur waktu malam. Bila macang gugur, kami bergegas-gegas turun ke tanah mengutipnya. Selalu sayalah tukang kupas, adik-adik berceratuk di sekeliling tunggu saya kupas macang. Potong satu..za ambik, dua..Judin ambik, tiga..Na ambik, empat..Imah ambik, lima..saya ambik. Kemudian rotate semula..habis dua pusingan habislah sebiji macang. Lepas tu berebut pula biji macang. Biji macang kami campak atas bukit belakang dapur. Lama-lama macang tu bertunas, kami ambik pula biji macang tu buat mainan pula. Zaman sekarang budak-budak tidak pandang lagi buah macang, padahal ibu bapa mereka membesar dengan buah-buah macang itulah!

Ini rumah saya dari sudut atas. Belakang rumah ada pokok-pokok rambutan benih pejabat. Yang paling dekat dengan rumah rambutan anak butir. Rambutan ini sangat sedap, kulitnya nipis dan kalau jatuh dari dahan yang tinggi, kulitnya akan pecah. Rutin kami adik beradik 2, 3 hari sekali kena menyapu halaman rumah yang penuh dengan daun macang dan daun rambutan dengan penyapu lidi atau manggar kelapa. Kadang-kadang pakai 'ggerak' besi, tapi ggerak ni kurang bersih sangat. Dia cuma sesuai untuk daun-daun yang besar saja.

Masa berlalu..tidak lama selepas che meninggal dunia, rumah yang banyak jasanya inipun dirobohkan. Gambar di bawah di ambil pada tahun 1986. Pada asalnya tapak rumah sekarang merupakan kawasan berbukit yang sudah diratakan. Urusan meratakan belakang rumah ini diuruskan oleh che tidak lama sebelum meninggal.

Ini adalah sebahagian daripada rumah asal sebelum dirobohkan. Bahagian dapur telahpun diruntuhkan untuk proses menaikkan tiang rumah baru. Bahagian dapur ini asalnya berlantaikan batang pinang sahaja, sebelum dinaik taraf kepada lantai papan. Bumbung pun pada asalnya beratapkan daun nipah, kemudian ditukar kepada atap zing.





Inilah rumah yang didirikan bagi menggantikan rumah asal saya dan keluarga. Rumah inipun telah berusia 24 tahun. Bahagian dapur telah bertukar menjadi bahagian hadapan, begitulah sebaliknya. Pokok-pokok limau telah tiada, rambutan benih pejabat, rambutan anak butir, rambutan perak, pokok ciku mahupun pokok macang semuanya telah tiada.


Rumah bercat hijau ini masih berdiri teguh, namun warna terbarunya sudah bertukar menjadi jingga. Biar apa bentuk dan warnanya, inilah rumah yang sangat mendamaikan dan penuh nostalgia bagi kami sekeluarga. Inilah rumah yang menurut emak, saya terjun hampir semua pintu dan tingkap...ah, tentu saja saya tidak lupa sebab tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat lahir, membesar dan perkahwinan sayapun berlangsung di sini.
Baca lagi>>

Wednesday, November 24, 2010

Konvokesyen OUM kali ke 9 2010

Sabtu 21 Nov 2010, saya sekeluarga berangkat ke Kuala Lumpur untuk urusan konvokesyen OUM. Pada mulanya saya rasa tidak bersemangat saja. Namun mengenangkan inilah majlis konvokesyen untuk ijazah pertama saya, maka saya kumpulkan kekuatan yang ada untuk ke majlis tersebut. Tambahan pula suami saya berulang kali berkata,"Pergilah, bukan selalu. Sekali seumur hidup."Anak no 2 saya, Atiqah Nadzirah tidak dapat turut serta kerana ada kelas. Jadi kami cuma berlima saja, saya, suami, Faiz, Aimi & Idris.

Kami bertolak jam 11.00 pagi. Kami hanya berpandukan signboard saja untuk ke OUM untuk ambil jubah konvo. Alhamdulillah, selepas berpusing-pusing beberapa kali..sampailah saya ke OUM yang terletak di Jalan Tun Ismail,KL itu. Rasa pelik juga, dah habis belajar..baru tau OUM kat mana..

Ini anak-anak yang kebosanan menunggu si emak berurusan di kaunter OUM.

Dah selesai kami round-round KL dulu. Nampak Muzium Negara, saya sekeluarga singgah membuat lawatan sambil belajar memandangkan anak-anakpun belum pernah ke muzium tersebut. Dah puas ronda-ronda, Idris buat kesimpulan,"Besar lagi Muzium Terengganu!"


Idris tunjuk kuat kat depan Muzium Negara!

Kami kemudiannya ke rumah adik saya, Tajuddin di Taman Cempaka, Ampang. Kami bermalam di sana. Esoknya barulah kami ke PWTC dengan menaiki LRT. Mulanya rasa segan nak bawa jubah dalam LRT, rupanya ada juga graduan lain naik LRT di stesen Cempaka macam saya. Sedihnya kamera saya kehabisan bateri, jadi gambar-gambar hanya menggunakan telefon bimbit saja. Mari tengok gambar seterusnya:


Inilah orang-orang di belakang saya, yang sering membantu dan memberi sokongan
sehingga saya berjaya menggenggam segulung ijazah.

Sebelum masuk Dewan Merdeka PWTC

Menjelang 1.30 tengah hari kami para graduan OUM berkumpul di Aras 4 PWTC sebelum perarakan masuk para graduan. Pada waktu itu saya tidak rasa apa-apa..hanya seronok untuk menyertai acara itu sahaja. Jam 2.00 petang graduan mula berarak memasuki Dewan Merdeka PWTC yang gah itu. Ini kali kedua saya masuk ke dewan tersebut. Kali pertama pada Julai 1987 selaku peserta jemputan Musabaqah Membaca Al Quran Peringkat Antarabangsa.

Sebaik sahaja melangkah masuk, terdengar bunyi gamelan dimainkan. Tiba-tiba saya terasa satu perasaan yang sukar hendak digambarkan. Rasa terharu..sedih..bercampur baur. Saya bukanlah pelajar yang rajin, tapi syukur alhamdulillah saya dapat juga CGPA melepasi target awal saya 3.0 ke atas. Saya terbayangkan pembelajaran saya selama di OUM. Pembelajaran secara PJJ, berinteraksi dengan rakan dan tutor melalui online, menghadiri tutorial di IPGM kampus Tengku Ampuan Afzan,K.Lipis dan macam-macam lagi. Saya suka belajar di OUM kerana subjek yang saya pelajari adalah subjek yang saya minati..Pendidikan Seni Visual( tapi bukanlah berbakat sangat..hehe). Pembelajarannya fleksible, tutornya yang hampir semuanya pensyarah IPGM KTAA begitu sporting dan muda-muda sedangkan saya dan rakan-rakan yang lain sudah hampir senja belaka, pembelajarannya berasaskan modul dll.

Saya teringat, bila keluar soalan tugasan, saya akan ke perpustakaan Awam Jerantut untuk mencari bahan. Saya menghabiskan berjam-jam masa melayari internet untuk mendapatkan jawapan tugasan saya. OUM mengajar saya yang tidak berapa tahu komputer menjadi lebih baik dari dulu, saya menjadi lebih tahu bagaimana untuk menghantar e-mel termasuklah menghantar e-mel yang bersaiz dan berkuantiti besar! Saya juga menjadi lebih celik menghasilkan powerpoint yang berkualiti kerana setiap semester terpaksa membuat pembentangan di dalam kelas.

Inilah hasil yang sangat manis. Teringat lagi saya memandu kereta kadang-kadang dengan rakan, kadang-kadang bersendirian dua minggu sekali menghadiri tutorial di Kuala Lipis. Saya jadi lebih mahir memandu kereta dalam situasi jalan raya yang bengkang-bengkok dan berbukit-bukau. Ah..banyak yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata..

Diperarakan masuk graduan ini saya cuba menahan air mata..namun akhirnya ia gugur jua. Maklum sajalah saya wanita yang mudah beremosi..(macam wanita2 lain spt adik2 dan adik ipar saya juga!). Sebenarnya saya sangat bertuah kerana mendapat sokongan dari suami dan anak-anak yang sudah besar-besar belaka. Adik2 sayapun turut membantu terutama ketika melibatkan tugasan bahasa inggeris. Tentu saja saya rasa terharu kerana saya tidak pernah bermimpi untuk menerima ijazah lebih-lebih lagi dalam usia seperti ini,43 tahun!

Ini suami dan anak no3, Aimi yang ikut serta masuk ke dewan menyaksikan saat-saat bersejarah seorang graduan OUM.

Tulang belakang yang tidak jemu-jemu memberi sokongan.

Terima kasih suamiku, anak-anakku, ibu tersayang yang tidak putus mendoakan kejayaan ini, adik-adikku Azimah & Tajuddin yg menolong membuat terjemahan dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu, adik-adikku yang lain, rakan2 sejawat dan semua yang telah memberikan sokongan moral secara langsung dan tidak langsung selama 4 tahun bergelar pelajar OUM. Atas sokongan kalianlah saya dapat naik ke pentas konvokesyen ini untuk menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Pengajaran (Pendidikan Rendah) ini. Jasa & bakti kalian semua hanya Allah sahajalah yang dapat membalasnya. Jazakallahukhairankathira.










Baca lagi>>

Monday, July 12, 2010

Innalillahiwainnailaihirajiun

Sedar tak sedar, sudah agak lama saya tidak menulis blog. Sibuk? Tidaklah sangat, cuma komputer x berapa sihat selain mood menulis tak berapa ada.

Senja Isnin lalu, bapa mertua saya menelefon membawa perkhabaran duka. Ibu saudara suami Hajjah Saudah bt Mat yang biasa kami panggil Mak Teh telah meninggal dunia di Hospital Besar Kota Bharu. Mak Teh ini merupakan adik ibu mertua saya yang juga merupakan besannya sendiri. Mak Teh yang tinggal bersendirian di Kg.Mela, K.Lipis telah demam 2 minggu sebelumnya. Anak lelakinya telah membawanya ke K.Lumpur dan seminggu kemudian anak perempuannya Idah, membawanya pula ke rumahnya di Kem Desa Pahlawan di Kelantan. Apabila demamnya berlarutan Mak Teh dimasukkan ke hospital dan pada jam 6 petang Isnin lalu, Mak Teh telah menghembuskan nafasnya di sana. Setelah dimandi dan dikapankan jenazah Mak Teh dibawa balik untuk dikebumikan di perkuburan Islam Kg. Mela.

Setelah berjam-jam dalam perjalanan yang jauh, jenazah Mak Teh telah selamat tiba pada pukul 8 keesokan harinya. Semasa menziarahi arwah Mak Teh buat kali terakhir, teringat pada kunjungan saya ke rumahnya semasa hayatnya masih ada. Saya sempat beberapa kali berurut dengan Mak Teh, sempat merasa hasil tanaman dan masakan Mak Teh. Selepas ini semuanya akan menjadi kenangan. Semoga roh arwah Mak Teh di tempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman.

Ketika kami masih bersedih dengan pemergian Mak Teh, pada hari Sabtu 10.7.2010 saya mendapat panggilan dari adik saya Za di Kg.Rahmat memaklumkan tentang keadaan bapa saudara saya, Ayah Lah yang sedang sakit tenat. Waktu itu saya baru balik dari Kem Cintai Al-Quran di sekolah saya manakala suami saya pula menghadiri kenduri menyambut menantu di rumah bapa saudaranya Pak Itam Ahmad di Kuala Lipis. Hati saya jadi tidak keruan. Sebaik saja suami balik ke rumah saya, suami dan anak saya Muhammad Idris terus bersiap ala kadar. Kami bertolak dari rumah jam 3 petang.

Perjalanan jauh...sepanjang jalan saya terkenangkan bapa saudara yang sedang nazak. Saya teringat akan peristiwa dulu-dulu. Masa zaman kanak-kanak dulu, saya selalu pergi rumah Ayah Lah, kadang-kadang tidur di rumahnya. Saya suka ke rumahnya sebab boleh tengok TV, sedangkan rumah saya tiada kemudahan itu. Bila balik dari sekolah saya selalu juga singgah melepas lelah, kadang-kadang singgah minum air sebab rumah Ayah Lah terletak di pertengahan jalan antara rumah saya dan sekolah.

Ayah Lah bukan sekadar seorang bapa saudara. Dia juga guru Al Quran saya.(Ayah Lah saya ini dikenali dengan panggilan Pak Lah Lagu kerana kepandaiannya mengalunkan al-Quran secara berlagu.) Dia mengajar saya ilmu-ilmu tajwid dan tarannum. Kelas-kelas tajwid diadakan pada waktu petang dan dihadiri oleh ramai murid, dan hampir semuanya orang-orang dewasa. Ayah Lah mengajar saya tarannum secara ekslusif pada sebelah malam selepas Isyak.Ianya ekslusif kerana dia hanya mengajar saya seorang saja. Hanya sesekali ada murid lain turut serta, itupun hanya 2 orang iaitu arwah Jali Pak Mat Kacau dan seorang lagi yang saya dah lupa namanya bekerja sebagai pemandu ambulans di pusat kesihatan kampung saya. Ayah Lah mengajar saya secara percuma tanpa sebarang bayaran. Apabila saya memenangi ujian-ujian tilawah (masa dulu musabaqah) saya akan menghadiahkan ayah Lah dengan sedikit cenderahati yang saya rasakan sangat tidak padan dengan ilmu yang dicurahkannya kepada saya.

Ayah Lah merupakan bekas imam di masjid kampung saya. Pada tahun 1982, Ayah Lah berpeluang menunaikan fardhu haji dengan pembiayaan oleh kerajaan negeri Terengganu sebagai menghargai sumbangannya sebagai imam. Ayah Lah meletak jawatan sebagi imam kerana faktor kesihatan. Ayah Lah sangat cermat dan teliti. Bila balik dari solat Subuh di masjid, beliau akan singgah di kedai Raja Nab kat pintu gerbang utk membeli surat khabar, kemudian singgah baca surat khabar itu di rumah mak saya. Bila Ayah Lah baca surat khabar beliau akan mengambil masa yang sangat lama. ini adalah kerana ayah Lah akan membaca semua berita yang terdapat dalam surat khabar tersebut..dari muka depan sampai muka belakang!

Ayah Lah juga suka menyusun setiap duit kertas yang diterima dengan rapi. Duit-duit kertas yang berlipat akan dibetulkan semula dan di susun dengan teratur di dalam dompetnya. Satu lagi ayah Lah tidak suka makan bawang..oleh itu masakan yang hendak dihidangkan kepadanya tidak boleh mengandungi banyak bawang. Kadang-kadang ayah Lah akan membasuh ayam atau ikan yang dah dimasak untuk menghilangkan rasa atau bau bawang! Ayah Lah suka makan pulut cicah nyiur. Sebab itu setiap kali mak masak pulut, selalu mak simpan sedikit utk ayah Lah. Kadang2 mak kirim pulut tu ke rumah Ayah Lah, kadang-kadang mak telefon beritahu mak masak pulut dan mengundang Ayah Lah ke rumah.

Emak saya sebenarnya hanya mempunyai 3 beradik seibu sebapa. Ayah Lah anak tertua, Arwah Mak Tih Kiah no 2 dan mak saya anak bongsu. Nenek saya meninggal dunia ketika emak saya berusia 10 tahun. Selepas itu datuk saya berkahwin pula dengan Mak Adik (ibu tiri mak) . Dari perkahwinan itu mak mendapat 3 orang adik lagi iaitu Pak Cik Mat, Mak Dah dan Pak Su Ya. Emak sangat menghormati Ayah Lah kerana kedudukannya sebagai abang yang tua. Lagipun di kg.Rahmat itu hanya Ayah Lah sekeluarga sahajalah saudara yang kami ada. Sebab itu setiap kali kami adik-beradik balik ke kampung, emak akan pastikan kami menziarahi Ayah Lah. Setiap kali hari raya, selepas selesai sembahyang sunat hari raya, rumah Ayah Lah lah rumah yang pertama kami ziarahi.

Dalam mengelamun sepanjang perjalanan, akhirnya saya selamat tiba di kampung lebih kurang pukul 10 malam. Saya terus ke rumah Ayah Lah. Hati saya sangat sebak melihat keadaan ayah Lah. Ayah Lah terbaring tanpa sebarang respons. Matanya terpejam rapat, dadanya berombak-ombak.Air zam zam dititikkan ke mulutnya. Saya sempat membacakan surah Yassin di telinganya. Ayah Lah sebenarnya telah jatuh sakit hampir setahun lalu tetapi baru hari Sabtu lalu dia langsung tidak makan dan minum. Hampir satu pagi barulah saya balik ke rumah mak...dan janji Allah itu pasti,bila sudah sampai masanya kita akan dijemput kembali kepadanya. .dan dengan ketentuan Allah, Ayah Lah telah kembali kepadaNya pada 3 pagi 11.07.2010. Padamlah sudah satu cahaya..saya kehilangan bapa saudara Allahyarham Haji Abdullah bin Awang Kechik dalam usia 81 tahun. Emak pun kehilangan satu-satunya abang yang dikasihi.

Selamat jalan bapa saudaraku. Selamat pergi ke alam barzakh. Semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Amin.
Baca lagi>>

Sunday, May 16, 2010

Doa Untuk Guru

Semua telah sedia maklum 16 Mei setiap tahun adalah Hari Guru. Tarikh ini sangat bermakna bagi mengingati budi dan jasa yang telah ditaburkan oleh para guru seluruhnya.

Siapakah guru sebenarnya? Guru bukanlah hanya guru yang mengajar di tadika, sekolah mahupun universiti sahaja. Guru ada di mana-mana. Siapa sahaja yang berilmu dan menyampaikan ilmunya kepada kita secara langsung mahupun tidak juga adalah guru. Saidina Ali Abi Talib pernah berkata," Siapa pernah mengajar aku satu huruf, maka jadilah aku hamba kepadanya." Bayangkan Saidina Ali yang terkenal dengan alim dan berilmu itu memberi penghormatan dan menganggap orang yang mengajar satu huruf adalah guru dan rela menjadi hamba untuk berkhidmat kepada guru tersebut.Kita bagaimana? Apakah kita sanggup memperhambakan diri kepada guru lebih-lebih lagi guru yang memang mengajar kita setiap hari, bukan sehari dua bahkan bertahun-tahun?

Bagaimanakah cara kita menghargai jasa dan keringat guru. Cukupkan sekadar ucapan terima kasih dan sedikit hadiah? Tidak..bukan itu yang guru harapkan. Cara yang terbaik untuk menghargai guru ialah mendoakan guru tersebut. Sesungguhnya jasa mereka mengajar kita tidak mungkin terdaya kita balas biar sekeras manapun kita berusaha. Selain menghormati dan menunaikan hak mereka, doa yang dipanjatkan ke hadrat Allah adalah sebagai tanda kita mengasihi dan dan mengharapkan keredhaan Allah ke atas diri mereka. Dengan berdoa kita akan dapat menunaikan tanggungjawab kita sebagai murid iaitu memastikan kehidupan guru kita penuh dengan keberkatan dan keselamatan, bahkan dengan doa inilah kita dapat mewujudkan hubungan kasih sayang yang erat dengan guru kita sama ada yang masih hidup ataupun telah pergi meninggalkan kita.

Seorang pelajar cemerlang memberitahu rahsia kejayaannya," Jangan sekali-kali menghina orang yang pernah mengajar kita, sekalipun dia menyakiti kita. Sentiasalah berdoa untuk guru kerana doa akan menambah barokahnya ilmu yang diterima."Ya, guru juga manusia biasa yang sudah tentunya melakukan pelbagai kesilapan, namun janganlah kesilapan itu menjejaskan penghormatan kita kepada guru. Guru mungkin terlewat masuk ke kelas, guru mungkin mengajar sambil lewa dan sebagainya, tetapi tanggungjawab yang tidak ditunaikan itu adalah urusannya dengan Allah. Jangan sekali-kali mengumpat atau menghina guru, doakan mereka dan letakkan mereka di tempat teratas selepas ibu bapa kita. Bila kita telah berjaya, jangan sesekali kita memadamkan jasa guru.

"Ya Allah, berikan berikan kesejahteraan dan keberkatan hidup untuk semua guru-guru yang pernah mengajarku di SKKR, SMTI, SMTM, MPTAA, OUM dan di mana-mana sahaja. Rahmati guru-guru yang mengajarku ilmu-ilmu al-Quran: ibu dan arwah ayahku, bapa saudaraku, Ayah Lah Lagu, Ustaz Tuk Penghulu, Ustazah Ramlah Alor Lintah, Ustazah Alor Lintang (saya lupa namanya), Allahyarham Tuan Guru Ahmad Pergau dan guru-guru Al Quran ku sekarang; Ustaz Nurunnaim. Ustaz Mohd Radzi dan Ustazah Fauziah. Semoga Allah tempatkan roh guru-guruku yang telah pergi ke alam baqa bersama-sama orang-orang yang beriman. Semoga Allah membalas jasa kalian semua dengan sebaik-baik ganjaran. Amin."





















Baca lagi>>

Saturday, May 15, 2010

Catatan 15 Mei 2010

15 Mei 1967, seluruh negara sedang meraikan sambutan Hari Belia kali pertama. Seorang ibu sedang bertarung nyawa melahirkan bayinya yang ke 4. Lebih kurang jam 10 pagi, lahirlah bayi perempuan comel seberat 9 paun (kira sendiri berapa kg). Setelah dibersihkan si ayah segera mengiqamatkan cahaya mata barunya. Sejurus kemudian beliau mula membuka almari kayu di ruang tamu rumah. Sejumlah buku, kitab-kitab agama dan majalah dibawa keluar. Si ayah meneliti satu persatu isi kandungan buku-buku tersebut. Beliau sedang memilih nama yang sesuai untuk bayi yang baru lahir itu. Keesokan harinya, si ayah mengayuh basikalnya ke sebuah pondok polis tidak jauh dari rumahnya untuk mendaftarkan kelahiran bayinya. Di situlah bayi tersebut diberi nama NAJMIAH yang membawa maksud 'bintang'.

Bayi bernama Najmiah itu sebenarnya adalah saya sendiri. Saya dilahirkan ketika matahari sedang naik, kata emak waktu kelahiran saya agak berbeza daripada adik beradik yang lain kerana semua mereka dilahirkan pada waktu dini hari. Kata emak lagi dia menyangka akan melahirkan anak lelaki kerana sewaktu mengandungkan saya beliau tidak mengalami rabun ayam seperti ketika mengandungkan anak-anak yang lain. Rabun ayam ialah satu keadaan dimana emak tidak dapat melihat apa-apa apabila malam menjelma. Situasi ini tidak dialami ketika mengandungkan saya. Saya juga dilahirkan setelah 10 bulan berada dalam kandungan. Namun sangkaan emak jauh meleset, kerana bayi yang baru dilahirkan itu juga seorang perempuan seperti 3 anaknya sebelum ini.

Walaupun saya seorang budak perempuan, saya adalah anaknya yang paling buas. Janganlah menyangka buas itu ganas..buas itu lebih kepada aktif dan tak boleh duduk diam. Kata emak, pintu mana saya tak terjun..tingkap mana saya tak lompat? Atas belakang saya ada parut setelah saya terjatuh tangga dan termasuk ke dalam baldi besi ditepi tangga. Ketika saya berusia 2/3 tahun seisi rumah gempar kerana kehilangan saya, emak menangis mencari saya keliling rumah..akhirnya saya ditemui bermain-main di atas jalan raya tidak jauh dari rumah saya.(Rumah saya terletak atas ditepi jalan raya utama K.Trg-K.Bharu) Mujur juga kenderaan waktu itu tidak sebanyak sekarang..juga x banyak penjenayah..jadi saya selamat dan terus dapat menghirup udara sehingga ke usia 43 tahun hari ini.

Saya tidak tahu kenapa saya dinamakan NAJMIAH. Mungkin kerana saya ini 'bintang' bagi emak dan che (ayah) saya..mungkin juga emak dan che mahu saya jadi bintang yang akan menerangi orang-orang di sekeliling saya. Yang pasti saya sangat-sangat suka dengan nama ini, terima kasih pada che saya yang telah memilih nama yang sangat cantik ini. Walaupun nama saya NAJMIAH, sebahagian besar orang-orang di sekeliling saya hanya memanggil saya dengan nama Miah dan Jie sahaja..mungkin tradisi orang-orang Melayu yang suka memanggil nama dengan panggilan yang ringkas saja, lebih mesra agaknya. Adik saya Zaharah hanya dipanggil Za, Tajuddin sebagai Judin, Nazrah jadi Na & Azimah jadi Imah... Kadang-kadang bila jumpa rakan baru mereka akan tanya nama saya, lepas tu tanya nak panggil apa. Saya akan kata panggil saja Najmiah kerana saya memang lebih suka dipanggil dengan nama penuh saya...sebab nama itu akan jadi lebih bererti dari panggilan ringkas yang lain. Bukankan Nabi Muhammad SAW pernah berkata dalam satu hadis yang maksud lebih kurang begini..dan panggillah sahabat-sahabatmu dengan nama-nama yang disukai.

Ketika kecil saya buas..menjelang remaja saya gong pula! Emak kata saya gong, adik saya pun kata saya gong..haha, bukan gong yang diperbuat dari tembaga tu..gong tu maksudnya gila-gila! Tak tahulah mengapa mereka kata saya gong..tapi memangpun kadang-kadang saya sendiri rasa saya ni gong. Kata adik saya, (x ingat dah adik yang mana satu)'Kak Jie ni dah ada anakpun gong lagi!' Saya rasa gelaran ini lebih kepada perawakan saya yang suka mengusik, ramah tamah dan sentiasa happy go lucky..(perasan sendiri nih)..tu masa ceria lah, bila saya sedih saya akan menangis sepuas-puas hati, sampai mata bengkak lah! Sebab itu saya elakkan sedih-sedih..takut x boleh berhenti menangis, lepas tu malu nak keluar rumah dengan mata bengkak.

Hari ini saya telahpun berusia 43 tahun. Banyak sudah yang saya lalui selama 43 tahun ini.namun secara keseluruhannya saya sangat gembira dengan apa yang saya lalui sepanjang usia saya ini. Entah berapa tahun pula baki usia yang saya ada.. semoga sisa-sisa usia yang masih ada ini kehidupan saya dan keluarga akan lebih baik lagi dan sentiasa berada dalam rahmat dan keredhaan Allah. Amin.
Baca lagi>>

Tuesday, April 13, 2010

Che- Bhg 2

24 April datang lagi. Inilah hari yang tidak dapat tidak pasti membuatkan saya mengimbau semula kenangan lalu bersama lelaki hebat dalam hidup saya, Che. Tahun ini merupakan tahun ke 25 pemergian che yang saya sayangi. Sudah sesuku abad kami sekeluarga kehilangan dia..dan yang pasti hanya jasadnya hilang dari mata..tetapi memori, nasihat dan apa2 berkaitan dengan dirinya sentiasa menemani kehidupan kami.

Saya sudah bercerita tentang che saya setahun lalu...dan saya ingin menyambung cerita tentang che lagi khususnya untuk tatapan adik2, ipar duai dan keluarga.

Che saya adalah seorang yang sangat simple. Dia tidak mempunyai pakaian dan persalinan yang banyak. Selalu juga che beli baju terpakai kat Cik Kar, seorang taukeh baju terpakai di kampung saya. Beberapa tahun sekali che tempah baju kumbang untuk sambutan hari raya. Che sangat suka dengan sehelai baju kumbang warna emas yang ditempah khusus dengan Pok Leh, tukang jahit baju kumbang terkenal di tempat saya. Tak salah saya lebih 10 tahun che pakai baju itu sampailah che meninggal dunia. Kemudian abang Li saya pula memakai baju itu beberapa tahun kemudian...dan rasanya baju itu masih ada lagi dalam simpanan abang Li saya.

Che juga ada sepasang selipar jepun. Selipar itu agak besar dengan kaki che. Kami panggil selipar che itu selipar perahu, sebab bila che pakai, ia kelihatan melengkung seperti perahu. Selalu juga bila balik dari balaisah selepas Isyak, 'pok kiok' naik atas kepala che, semuanya gara-gara selipar perahu che itu lah. 'Pok kiok' selalu ada di lorong jalan kaki atas bukit belakang rumah saya..jalan yang kami guna sewaktu balik dari balaisah.

Che, orang tua yang memahami. Semua urusan perbelanjaan diuruskan oleh emak. Bila che ada duit, che akan bagi pada emak. Emaklah yang menentukan ke mana duit itu akan dibelanjakan. Sebab itu duit saku sekolah saya, emak yang bagi...kadang2 saya sudah dapat duit dari emak, tapi saya gi jumpa che, "Che, nak pitih."."Berapa sen?" tanya che. "Lima puluh sen.", dan che akan bagi tanpa banyak soal. Kalau lah emak tahu, mesti dia tak bagi.

Che seorang petani yang kreatif. Che selalunya akan kutip kacang panjang dua hari sekali. Bila terlebih hari kacang itu akan tua dan tidak boleh dijual lagi...selalunya che akan biarkan kacang itu terus tua..sampai kering dipokok. Bila dah betul-betul kering, barulah kacang tua itu dikutip..banyak, berguni-guni! Kemudian kami sekeluarga akan duduk bersama-sama 'perisi' kacang panjang tersebut. Biji-biji kacang itu dijemur sehingga kering..kemudian disimpan dalam bekas bertutup. Petang-petang mak akan buat bubur kacang panjang ...sedapnya! Kesedapan bubur kacang panjang itu berada pada kelas A, lebih sedap daripada bubur kacang merah yang terkenal di pasaran! Bila che pergi..memori makan bubur kacang panjang turut pergi bersamanya...dan kamipun tidak pernah lagi menemui biji kacang panjang dijual di mana-mana. Che membawa bersama kenangan mengutip kacang panjang, mengupas kulit kacang dan makan bubur kacang panjang bersama-sama....

Che juga penanam timun cina yang berjaya. Bila che tanam timun cina, che tidak akan terus tabur benih dalam lubang, sebaliknya che mesti tanam dalam kerek daun kelapa dahulu, barulah ditanam dalam lubang yang dikhaskan. Che suka tanam timun cina jenis kulit hitam dan bulat. Selalunya timun cina yang besar-besar che simpan berbulan-bulan bawah katil. Timun yang bersaiz sederhana kami makan dan jual. Kadang-kadang makan dalam kebun..sungguh nikmat lebih-lebih lagi dalam cuaca panas seperti sekarang. Kadang-kadang bila terpandang timun cina besar-besar di gerai atau pasaraya, pasti saya teringat pada timun cina besar bawah katil rumah saya semasa che masih ada dulu.

Saya tidak boleh bercerita banyak tentang che..sebab saya akan jadi sungguh emosi. Air mata akan merembas keluar tanpa dapat dibendung lagi. Inilah agaknya yang saya warisi dari che. Di sebalik tangan berkematu kerana membanting tulang setiap hari, che memiliki sekeping hati yang sungguh lembut dan hanya dapat difahami oleh kami sekeluarga.

Orang yang kita sayang, Allah juga sayang. Hanya seketika merasai kasih sayang che..namun kenangan bersamanya sentiasa mekar dalam ingatan. Setiap kali bercuti, mak..saya dan adik-adik pasti mengalirkan air mata mengenangkan urusan terbengkalai yang disifatkan oleh adik saya, Azimah sebagai 'hutang tertunggak'..kasihan che..sangat-sangat kasihan...sampai hati mereka yang tidak berperikemanusian memperlakukan che sedemikian rupa. Syukurlah, setelah 25 tahun pemergiannya barulah saya, mak dan adik-adik boleh tersenyum. Semoga che aman dan tenteram di sana..bersama-sama roh orang-orang yang beriman. Al-fatihah.
Baca lagi>>

Selamat Ulang Tahun En.Abdull Razak bin Zainal


Hari ini, 13 April 2010 merupakan hari ulang tahun kelahiran suami saya yang ke....50! Dah masuk angka setengah abad, ni jubli apa ya..emas, intan, perak atau gangsa?

Hari ulang tahun atau hari jadi hanyalah merupakan satu angka menandakan pertambahan usia...namun membawa pengertian yang berbeza bagi setiap orang. Saya turut berkongsi kegembiraannya menyambut ulang tahun kali ini. Ulang tahun ke 50 ini sangat istimewa kerana Abang Jak saya ini telah berjaya merealisasikan suatu impian yang pada mulanya kelihatan agak mustahil, namun dengan kesungguhan dan keazaman yang kuat..impian ini telah menjadi satu kenyataan...lebih mengembirakan lagi ialah kerana saya turut membantu menjayakan impian murninya itu dan dengan izin Allah jua.

Jangan ditanya apakah impian yang telah jadi kenyataan itu, biarlah ia menjadi rahsia kami seisi keluarga. Yang pasti ianya bukanlah timbunan harta atau pangkat darjat..ia adalah anugerah yang Allah beri kepada sesiapa yang Dia mahu.

Selamat Ulang Tahun untuk suami yang telah bersama-sama membina keluarga sejak 21 tahun lalu. Semoga abang sentiasa berada dalam rahmat dan perlindungan Allah, diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa mendapat keberkatanNya...dan semoga Allah juga memberikan kita semua kebaikan di dunia dan di akhirat. Amin.
Baca lagi>>

Tuesday, January 5, 2010

Meriah dan letih...

Sudah 5 hari berada di tahun baru 2010. Selamat tahun baru untuk semua sanak saudara jauh dan dekat, handai taulan dan sesiapa sahaja yang mengenali diri ini. Semoga tahun 2010 ini akan lebih baik bagi kita semua.

2010 - Saya memasuki tahun ke-21 dalam kerjaya sebagai guru. Bunyi macam dah lama, tapi saya rasa masih baru dan masih banyak yang saya belum berjaya sebagai guru. Azam saya, tahun ini saya akan dapat menyempurnakan lagi tugas-tugas guru yang mulia ini.

Namun..baru 2 hari persekolahan saya telah dapat rasakan bahawa tahun 2010 ini adalah tahun yang mencabar. Tahun ini bermula Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan, yang mana melibatkan penambahan waktu P&P dari 3.5 jam ke 4 jam sehari iaitu bermula 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari. 4 jam sehari itulah (1200 minit + 30 minit perhimpunan= 1230 minit seminggu) saya akan berhadapan dengan karenah 25 orang murid prasekolah!

Lebih mencabar lagi, bahasa pengantar yang digunakan di prasekolah adalah 50:50, iaitu 600 minit menggunakan Bahasa Inggeris dan 600 minit lagi Bahasa Melayu! Subjek BI cuma 120 minit manakala selebihnya pandai2 kami guru pra lah nak guna masa mana. Bahasa Melayu pula termasuklah 120 minit Pend.Agama Islam (termasuk B.Arab), jadi BM cuma tinggal 480 minit sahaja seminggu. Matematik dan Sains diajar dalam BM... Mujur juga PAI diajar oleh guru agama, dapatlah bernafas sekejap...tapi minit tetap banyak 1230 - 120 = 1110 minit seminggu!

Hari ini pula sangat memenatkan. Pukul 7.15 saya dah tiba di sekolah. Sebaik meletakkan beg di kelas, saya dah dengar suara budak menangis. Saya buat2 tak dengar (atau tak perasan) terus menuju ke pejabat untuk mencatat kehadiran. Bila saya masuk ke kelas selepas itu, wah, meriah sungguh kelas saya! 3 orang murid sedang menangis dengan 3 ton suara yang berbeza. Seorang merengek, seorang sederhana dan seorang lagi melolong! Saya minta penjaga murid itu tinggalkan saja anaknya. Pembantu saya segera mengunci grill pintu. Apalagi, budak perempuan bernama Ummi itu terus menjerit sekuat-kuat hati! Dia memanjat grill setinggi-tinggi yang boleh dan menggoncang-goncang pintu grill tersebut. Saya berdiri berhampirannya, bersedia untuk menyambut kalau2 dia terjatuh. Saya yang tak berapa suka memujuk, terpaksalah memujuknya tapi tak jalan. Saya rasa kalau anak saya, lama dah kena lepuk! Segan pulak dengan sepasang penjaga yang duduk menunggu anak kat luar kelas. Apa pendekatan yang saya nak guna ni?Akhirnya saya tarik Ummi turun. Dia berguling-guling sambil menendang-nendang pintu. Saya biarkan saja, penat menangis pasti dia berhenti. Lama juga dia melolong dengan kuat sehingga suaranya dapat didengari seluruh kawasan sekolah.

Dalam masa sama, datang seorang lagi murid lelaki ke kelas. Bila dia tengok member menangis diapun turut menangis! Meriah sungguh, seorang menangis kat pintu depan,seorang menangis kat pintu dapur, 2 orang menangis slow2 dalam kelas!

Hampir 20 minit datang sahabat saya Cikgu Rokiah dari tahun 1. Saya minta dia hubungi jaga utk tolong settle problem ini. Saya biarkan dia dengan pembantu dan saya teruskan P&p. Bila jaga berbangsa India itu datang pujuk, dia tetap menangis. Jaga itu terus tengking dengan suara yang kuat. Ummi terus merangkak ke arah saya,"cikgu!Cikgu!". Saya pun terus pergi dan tarik dia dekat saya,"Cepat, cepat, mari dekat cikgu!Berhenti nangis, nanti jaga datang lagi!" Hehe, si Ummi tu terus diam serta merta!! Pembantu pun minta murid lain pun diam sama. Berhasil... fuh, saya menarik nafas lega!

Waktu rehat, saya ke tandas. Baru masuk tandas dengar suara menangis dengan kuat. Rupa2nya ada seorang murid dikunjungi oleh abang yang belajar di tahun5. Abang tu intai dari luar kelas, adikpun menangis2 nak ikut abangnya! Saya 'halau' abangnya beserta pesanan jangan datang lagi. Abang x ada barulah ok.

Nampaknya murid saya ramai belum tadika lagi. Beberapa orang tak boleh pegang pensel dengan betul. Ada seorang bawa bekal susu dalam botol air mineral siap dengan straw. Saya cakap boleh bawa susu, cuma jangan bawa dalam botol susu dah la!

Saya begitu sibuk (perasan saja) sampai tak ada masa nak ambil gambar. Lepas2 ni la kot, bila suasana tenang sikit. Mujur juga masa tuan PPD, pegawai PPD dan GB masuk ke kelas saya semalam, keadaan baik dan terkawal. Moga2 esok akan lebih baik dari hari ini.
Baca lagi>>
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH