Tuesday, November 30, 2010

Tempat Jatuh Lagi Dikenang



Musim cuti sekolah, saya teringat kenangan ketika kecil-kecil dulu di kampung saya, Kampung Rahmat, Setiu,Terengganu. Pada sijil beranak saya tertulis tempat lahir Kg.Rahmat, Besut. 1985 daerah Setiu diwujudkan, jadi Kg.Rahmat diletakkan di bawah pentadbiran daerah Setiu pula.

Kat sebelah ni peti surat rumah saya. Abang Li saya buat dengan kayu terpakai. Inilah laluan untuk naik ke halaman rumah saya. Ada beberapa pohon limau langkap di belakang peti surat ini. Sekarang pokok limau ini sudah tiada..mati kerana serangan penyakit kulat pokok dan pokok duit-duit yang menjadi parasit di pokok limau tersebut. Pokok limau ini sangat mempunyai sentimental value bagi saya. Bila selesai mengaji Quran, saya dan rakan-rakan sepengajian akan berada di bawah pokok limau ini, meninjau buah-buah yang sudah matang dan mengaitnya. Kadang-kadang buah-buah limau yang masam dan masih mudapun kami petik dan cicah dengan kicap campur gula, sedapnya!

Di hadapan peti surat ini ada satu parit. Che saya buat satu jambatan kayu kecil merentangi parit tersebut. Bila musim bah, selalu saya dan adik-adik memancing ikan atas jambatan kayu tersebut. Pancing kayu saja, umpan cacing kami cari sendiri kat tanah lembap tepi telaga tak jauh dari pokok limau. Selalu kami dapat anak-anak ikan haruan atau keli..parit kecik saja, jadi ikan paling besar pun hanya sebesar dua jari saja! Kat dalam parit itu juga banyak daun kesum, selalu emak suruh saya ambik bila mak masak laksa, laksam, kerabu, bubur lambuk, gulai kunyit kuah ikan keli dan lain-lain. Kadang-kadang Kak Long saya jadikan daun kesum tu ulam cicah budu saja.

Inilah rumah tempat saya dan adik beradik saya dilahir dan dibesarkan. Nampak tak sabut-sabut yang bersusun di hadapan rumah tu? Asalnya rumah saya tu di tepi tebing bukit. Emak saya gunakan kreativiti menyusun sabut-sabut kelapa selapis demi selapis. Bila hujan, pasir dan tanah tersangkut pada sabut itu. Begitulah proses tersebut berulang sehinggalah sabut itu menjadi setinggi itu. Susunan sabut-sabut ini menjadi satu benteng yang teguh, juga mewujudkan satu pemandangan yang cantik bagi kami sekeluarga.

Di hadapan beranda rumah saya pula ada sepohon pokok macang. Bila musim buah macang, kami makan colek macang muda cicah cuka campur belacan. Kadang-kadang sampai berkudis kena getah macang. Bila macang tua, selalu buahnya gugur atas atap zink beranda tersebut. Selalunya buah macang gugur waktu malam. Bila macang gugur, kami bergegas-gegas turun ke tanah mengutipnya. Selalu sayalah tukang kupas, adik-adik berceratuk di sekeliling tunggu saya kupas macang. Potong satu..za ambik, dua..Judin ambik, tiga..Na ambik, empat..Imah ambik, lima..saya ambik. Kemudian rotate semula..habis dua pusingan habislah sebiji macang. Lepas tu berebut pula biji macang. Biji macang kami campak atas bukit belakang dapur. Lama-lama macang tu bertunas, kami ambik pula biji macang tu buat mainan pula. Zaman sekarang budak-budak tidak pandang lagi buah macang, padahal ibu bapa mereka membesar dengan buah-buah macang itulah!

Ini rumah saya dari sudut atas. Belakang rumah ada pokok-pokok rambutan benih pejabat. Yang paling dekat dengan rumah rambutan anak butir. Rambutan ini sangat sedap, kulitnya nipis dan kalau jatuh dari dahan yang tinggi, kulitnya akan pecah. Rutin kami adik beradik 2, 3 hari sekali kena menyapu halaman rumah yang penuh dengan daun macang dan daun rambutan dengan penyapu lidi atau manggar kelapa. Kadang-kadang pakai 'ggerak' besi, tapi ggerak ni kurang bersih sangat. Dia cuma sesuai untuk daun-daun yang besar saja.

Masa berlalu..tidak lama selepas che meninggal dunia, rumah yang banyak jasanya inipun dirobohkan. Gambar di bawah di ambil pada tahun 1986. Pada asalnya tapak rumah sekarang merupakan kawasan berbukit yang sudah diratakan. Urusan meratakan belakang rumah ini diuruskan oleh che tidak lama sebelum meninggal.

Ini adalah sebahagian daripada rumah asal sebelum dirobohkan. Bahagian dapur telahpun diruntuhkan untuk proses menaikkan tiang rumah baru. Bahagian dapur ini asalnya berlantaikan batang pinang sahaja, sebelum dinaik taraf kepada lantai papan. Bumbung pun pada asalnya beratapkan daun nipah, kemudian ditukar kepada atap zing.





Inilah rumah yang didirikan bagi menggantikan rumah asal saya dan keluarga. Rumah inipun telah berusia 24 tahun. Bahagian dapur telah bertukar menjadi bahagian hadapan, begitulah sebaliknya. Pokok-pokok limau telah tiada, rambutan benih pejabat, rambutan anak butir, rambutan perak, pokok ciku mahupun pokok macang semuanya telah tiada.


Rumah bercat hijau ini masih berdiri teguh, namun warna terbarunya sudah bertukar menjadi jingga. Biar apa bentuk dan warnanya, inilah rumah yang sangat mendamaikan dan penuh nostalgia bagi kami sekeluarga. Inilah rumah yang menurut emak, saya terjun hampir semua pintu dan tingkap...ah, tentu saja saya tidak lupa sebab tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat lahir, membesar dan perkahwinan sayapun berlangsung di sini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH