Sunday, May 16, 2010

Doa Untuk Guru

Semua telah sedia maklum 16 Mei setiap tahun adalah Hari Guru. Tarikh ini sangat bermakna bagi mengingati budi dan jasa yang telah ditaburkan oleh para guru seluruhnya.

Siapakah guru sebenarnya? Guru bukanlah hanya guru yang mengajar di tadika, sekolah mahupun universiti sahaja. Guru ada di mana-mana. Siapa sahaja yang berilmu dan menyampaikan ilmunya kepada kita secara langsung mahupun tidak juga adalah guru. Saidina Ali Abi Talib pernah berkata," Siapa pernah mengajar aku satu huruf, maka jadilah aku hamba kepadanya." Bayangkan Saidina Ali yang terkenal dengan alim dan berilmu itu memberi penghormatan dan menganggap orang yang mengajar satu huruf adalah guru dan rela menjadi hamba untuk berkhidmat kepada guru tersebut.Kita bagaimana? Apakah kita sanggup memperhambakan diri kepada guru lebih-lebih lagi guru yang memang mengajar kita setiap hari, bukan sehari dua bahkan bertahun-tahun?

Bagaimanakah cara kita menghargai jasa dan keringat guru. Cukupkan sekadar ucapan terima kasih dan sedikit hadiah? Tidak..bukan itu yang guru harapkan. Cara yang terbaik untuk menghargai guru ialah mendoakan guru tersebut. Sesungguhnya jasa mereka mengajar kita tidak mungkin terdaya kita balas biar sekeras manapun kita berusaha. Selain menghormati dan menunaikan hak mereka, doa yang dipanjatkan ke hadrat Allah adalah sebagai tanda kita mengasihi dan dan mengharapkan keredhaan Allah ke atas diri mereka. Dengan berdoa kita akan dapat menunaikan tanggungjawab kita sebagai murid iaitu memastikan kehidupan guru kita penuh dengan keberkatan dan keselamatan, bahkan dengan doa inilah kita dapat mewujudkan hubungan kasih sayang yang erat dengan guru kita sama ada yang masih hidup ataupun telah pergi meninggalkan kita.

Seorang pelajar cemerlang memberitahu rahsia kejayaannya," Jangan sekali-kali menghina orang yang pernah mengajar kita, sekalipun dia menyakiti kita. Sentiasalah berdoa untuk guru kerana doa akan menambah barokahnya ilmu yang diterima."Ya, guru juga manusia biasa yang sudah tentunya melakukan pelbagai kesilapan, namun janganlah kesilapan itu menjejaskan penghormatan kita kepada guru. Guru mungkin terlewat masuk ke kelas, guru mungkin mengajar sambil lewa dan sebagainya, tetapi tanggungjawab yang tidak ditunaikan itu adalah urusannya dengan Allah. Jangan sekali-kali mengumpat atau menghina guru, doakan mereka dan letakkan mereka di tempat teratas selepas ibu bapa kita. Bila kita telah berjaya, jangan sesekali kita memadamkan jasa guru.

"Ya Allah, berikan berikan kesejahteraan dan keberkatan hidup untuk semua guru-guru yang pernah mengajarku di SKKR, SMTI, SMTM, MPTAA, OUM dan di mana-mana sahaja. Rahmati guru-guru yang mengajarku ilmu-ilmu al-Quran: ibu dan arwah ayahku, bapa saudaraku, Ayah Lah Lagu, Ustaz Tuk Penghulu, Ustazah Ramlah Alor Lintah, Ustazah Alor Lintang (saya lupa namanya), Allahyarham Tuan Guru Ahmad Pergau dan guru-guru Al Quran ku sekarang; Ustaz Nurunnaim. Ustaz Mohd Radzi dan Ustazah Fauziah. Semoga Allah tempatkan roh guru-guruku yang telah pergi ke alam baqa bersama-sama orang-orang yang beriman. Semoga Allah membalas jasa kalian semua dengan sebaik-baik ganjaran. Amin."





















Baca lagi>>

Saturday, May 15, 2010

Catatan 15 Mei 2010

15 Mei 1967, seluruh negara sedang meraikan sambutan Hari Belia kali pertama. Seorang ibu sedang bertarung nyawa melahirkan bayinya yang ke 4. Lebih kurang jam 10 pagi, lahirlah bayi perempuan comel seberat 9 paun (kira sendiri berapa kg). Setelah dibersihkan si ayah segera mengiqamatkan cahaya mata barunya. Sejurus kemudian beliau mula membuka almari kayu di ruang tamu rumah. Sejumlah buku, kitab-kitab agama dan majalah dibawa keluar. Si ayah meneliti satu persatu isi kandungan buku-buku tersebut. Beliau sedang memilih nama yang sesuai untuk bayi yang baru lahir itu. Keesokan harinya, si ayah mengayuh basikalnya ke sebuah pondok polis tidak jauh dari rumahnya untuk mendaftarkan kelahiran bayinya. Di situlah bayi tersebut diberi nama NAJMIAH yang membawa maksud 'bintang'.

Bayi bernama Najmiah itu sebenarnya adalah saya sendiri. Saya dilahirkan ketika matahari sedang naik, kata emak waktu kelahiran saya agak berbeza daripada adik beradik yang lain kerana semua mereka dilahirkan pada waktu dini hari. Kata emak lagi dia menyangka akan melahirkan anak lelaki kerana sewaktu mengandungkan saya beliau tidak mengalami rabun ayam seperti ketika mengandungkan anak-anak yang lain. Rabun ayam ialah satu keadaan dimana emak tidak dapat melihat apa-apa apabila malam menjelma. Situasi ini tidak dialami ketika mengandungkan saya. Saya juga dilahirkan setelah 10 bulan berada dalam kandungan. Namun sangkaan emak jauh meleset, kerana bayi yang baru dilahirkan itu juga seorang perempuan seperti 3 anaknya sebelum ini.

Walaupun saya seorang budak perempuan, saya adalah anaknya yang paling buas. Janganlah menyangka buas itu ganas..buas itu lebih kepada aktif dan tak boleh duduk diam. Kata emak, pintu mana saya tak terjun..tingkap mana saya tak lompat? Atas belakang saya ada parut setelah saya terjatuh tangga dan termasuk ke dalam baldi besi ditepi tangga. Ketika saya berusia 2/3 tahun seisi rumah gempar kerana kehilangan saya, emak menangis mencari saya keliling rumah..akhirnya saya ditemui bermain-main di atas jalan raya tidak jauh dari rumah saya.(Rumah saya terletak atas ditepi jalan raya utama K.Trg-K.Bharu) Mujur juga kenderaan waktu itu tidak sebanyak sekarang..juga x banyak penjenayah..jadi saya selamat dan terus dapat menghirup udara sehingga ke usia 43 tahun hari ini.

Saya tidak tahu kenapa saya dinamakan NAJMIAH. Mungkin kerana saya ini 'bintang' bagi emak dan che (ayah) saya..mungkin juga emak dan che mahu saya jadi bintang yang akan menerangi orang-orang di sekeliling saya. Yang pasti saya sangat-sangat suka dengan nama ini, terima kasih pada che saya yang telah memilih nama yang sangat cantik ini. Walaupun nama saya NAJMIAH, sebahagian besar orang-orang di sekeliling saya hanya memanggil saya dengan nama Miah dan Jie sahaja..mungkin tradisi orang-orang Melayu yang suka memanggil nama dengan panggilan yang ringkas saja, lebih mesra agaknya. Adik saya Zaharah hanya dipanggil Za, Tajuddin sebagai Judin, Nazrah jadi Na & Azimah jadi Imah... Kadang-kadang bila jumpa rakan baru mereka akan tanya nama saya, lepas tu tanya nak panggil apa. Saya akan kata panggil saja Najmiah kerana saya memang lebih suka dipanggil dengan nama penuh saya...sebab nama itu akan jadi lebih bererti dari panggilan ringkas yang lain. Bukankan Nabi Muhammad SAW pernah berkata dalam satu hadis yang maksud lebih kurang begini..dan panggillah sahabat-sahabatmu dengan nama-nama yang disukai.

Ketika kecil saya buas..menjelang remaja saya gong pula! Emak kata saya gong, adik saya pun kata saya gong..haha, bukan gong yang diperbuat dari tembaga tu..gong tu maksudnya gila-gila! Tak tahulah mengapa mereka kata saya gong..tapi memangpun kadang-kadang saya sendiri rasa saya ni gong. Kata adik saya, (x ingat dah adik yang mana satu)'Kak Jie ni dah ada anakpun gong lagi!' Saya rasa gelaran ini lebih kepada perawakan saya yang suka mengusik, ramah tamah dan sentiasa happy go lucky..(perasan sendiri nih)..tu masa ceria lah, bila saya sedih saya akan menangis sepuas-puas hati, sampai mata bengkak lah! Sebab itu saya elakkan sedih-sedih..takut x boleh berhenti menangis, lepas tu malu nak keluar rumah dengan mata bengkak.

Hari ini saya telahpun berusia 43 tahun. Banyak sudah yang saya lalui selama 43 tahun ini.namun secara keseluruhannya saya sangat gembira dengan apa yang saya lalui sepanjang usia saya ini. Entah berapa tahun pula baki usia yang saya ada.. semoga sisa-sisa usia yang masih ada ini kehidupan saya dan keluarga akan lebih baik lagi dan sentiasa berada dalam rahmat dan keredhaan Allah. Amin.
Baca lagi>>
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH