Saturday, May 15, 2010

Catatan 15 Mei 2010

15 Mei 1967, seluruh negara sedang meraikan sambutan Hari Belia kali pertama. Seorang ibu sedang bertarung nyawa melahirkan bayinya yang ke 4. Lebih kurang jam 10 pagi, lahirlah bayi perempuan comel seberat 9 paun (kira sendiri berapa kg). Setelah dibersihkan si ayah segera mengiqamatkan cahaya mata barunya. Sejurus kemudian beliau mula membuka almari kayu di ruang tamu rumah. Sejumlah buku, kitab-kitab agama dan majalah dibawa keluar. Si ayah meneliti satu persatu isi kandungan buku-buku tersebut. Beliau sedang memilih nama yang sesuai untuk bayi yang baru lahir itu. Keesokan harinya, si ayah mengayuh basikalnya ke sebuah pondok polis tidak jauh dari rumahnya untuk mendaftarkan kelahiran bayinya. Di situlah bayi tersebut diberi nama NAJMIAH yang membawa maksud 'bintang'.

Bayi bernama Najmiah itu sebenarnya adalah saya sendiri. Saya dilahirkan ketika matahari sedang naik, kata emak waktu kelahiran saya agak berbeza daripada adik beradik yang lain kerana semua mereka dilahirkan pada waktu dini hari. Kata emak lagi dia menyangka akan melahirkan anak lelaki kerana sewaktu mengandungkan saya beliau tidak mengalami rabun ayam seperti ketika mengandungkan anak-anak yang lain. Rabun ayam ialah satu keadaan dimana emak tidak dapat melihat apa-apa apabila malam menjelma. Situasi ini tidak dialami ketika mengandungkan saya. Saya juga dilahirkan setelah 10 bulan berada dalam kandungan. Namun sangkaan emak jauh meleset, kerana bayi yang baru dilahirkan itu juga seorang perempuan seperti 3 anaknya sebelum ini.

Walaupun saya seorang budak perempuan, saya adalah anaknya yang paling buas. Janganlah menyangka buas itu ganas..buas itu lebih kepada aktif dan tak boleh duduk diam. Kata emak, pintu mana saya tak terjun..tingkap mana saya tak lompat? Atas belakang saya ada parut setelah saya terjatuh tangga dan termasuk ke dalam baldi besi ditepi tangga. Ketika saya berusia 2/3 tahun seisi rumah gempar kerana kehilangan saya, emak menangis mencari saya keliling rumah..akhirnya saya ditemui bermain-main di atas jalan raya tidak jauh dari rumah saya.(Rumah saya terletak atas ditepi jalan raya utama K.Trg-K.Bharu) Mujur juga kenderaan waktu itu tidak sebanyak sekarang..juga x banyak penjenayah..jadi saya selamat dan terus dapat menghirup udara sehingga ke usia 43 tahun hari ini.

Saya tidak tahu kenapa saya dinamakan NAJMIAH. Mungkin kerana saya ini 'bintang' bagi emak dan che (ayah) saya..mungkin juga emak dan che mahu saya jadi bintang yang akan menerangi orang-orang di sekeliling saya. Yang pasti saya sangat-sangat suka dengan nama ini, terima kasih pada che saya yang telah memilih nama yang sangat cantik ini. Walaupun nama saya NAJMIAH, sebahagian besar orang-orang di sekeliling saya hanya memanggil saya dengan nama Miah dan Jie sahaja..mungkin tradisi orang-orang Melayu yang suka memanggil nama dengan panggilan yang ringkas saja, lebih mesra agaknya. Adik saya Zaharah hanya dipanggil Za, Tajuddin sebagai Judin, Nazrah jadi Na & Azimah jadi Imah... Kadang-kadang bila jumpa rakan baru mereka akan tanya nama saya, lepas tu tanya nak panggil apa. Saya akan kata panggil saja Najmiah kerana saya memang lebih suka dipanggil dengan nama penuh saya...sebab nama itu akan jadi lebih bererti dari panggilan ringkas yang lain. Bukankan Nabi Muhammad SAW pernah berkata dalam satu hadis yang maksud lebih kurang begini..dan panggillah sahabat-sahabatmu dengan nama-nama yang disukai.

Ketika kecil saya buas..menjelang remaja saya gong pula! Emak kata saya gong, adik saya pun kata saya gong..haha, bukan gong yang diperbuat dari tembaga tu..gong tu maksudnya gila-gila! Tak tahulah mengapa mereka kata saya gong..tapi memangpun kadang-kadang saya sendiri rasa saya ni gong. Kata adik saya, (x ingat dah adik yang mana satu)'Kak Jie ni dah ada anakpun gong lagi!' Saya rasa gelaran ini lebih kepada perawakan saya yang suka mengusik, ramah tamah dan sentiasa happy go lucky..(perasan sendiri nih)..tu masa ceria lah, bila saya sedih saya akan menangis sepuas-puas hati, sampai mata bengkak lah! Sebab itu saya elakkan sedih-sedih..takut x boleh berhenti menangis, lepas tu malu nak keluar rumah dengan mata bengkak.

Hari ini saya telahpun berusia 43 tahun. Banyak sudah yang saya lalui selama 43 tahun ini.namun secara keseluruhannya saya sangat gembira dengan apa yang saya lalui sepanjang usia saya ini. Entah berapa tahun pula baki usia yang saya ada.. semoga sisa-sisa usia yang masih ada ini kehidupan saya dan keluarga akan lebih baik lagi dan sentiasa berada dalam rahmat dan keredhaan Allah. Amin.

1 comment:

  1. selamat hari lahir k.jie, semoga terus ceria sokmo..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH