Saturday, May 4, 2013

PRU 13...

Saya tidak tahu di mana mahu bermula...yang pasti saya memasang impian ini sejak lima tahun dulu! 

Saya menunggu detik-detik indah itu datang kembali. Saya merangka rancangan dalam akal saya..saya  menyusun strategi dan pelan. Nampak semuanya begitu cantik dan tersusun..namun, perancangan kita kadang-kadang tidak sama dengan perancangan Allah, kita merancang, Dia menentukan.

Sebaik sahaja PM membubarkan parlimen, saya sudah terbayangkan saya sedang berbaris di Saluran 2 SKKR. Ah, saya ternampak-nampak sekolah tempat saya mula bersekolah sejak 1974-1979. Saya termimpi-mimpi bertemu rakan-rakan sebaya yang sama-sama berbaris di Saluran 2 itu..tentu mereka juga rindukan saya sebagaimana saya juga merindukan mereka. Kami pasti sibuk bertanyakan tentang diri dan keluarga masing-masing, tentu petugas pilihan raya akan bagi isyarat agar kami tidak berbuat bising..
"Weh, mu ni maintain macam dulu."
" Bakpo mu gemuk gini semo ni?"
 "Anak dah berapa?"
"Kerja kat mana sekarang?"
Soalan-soalan ramalan telah berlegar-legar di fikiran saya. Angan-angan ini terkadang membuatkan saya tersenyum sendiri. Beberapa orang sahabat yang sepatutnya berada di barisan Saluran 2 telah pergi menemui Ilahi, antaranya Arwah Sarimah, Fadzilah, Malik, Mat Ropi dan Za, adik saya sendiri. Saya bercadang lepas mengundi saya akan menziarahi pusaranya yang terletak di atas bukit, belakang SKKR.

Kemudian, saya bagai ternampak rakan saya, Siti Hajar di pondok panas parti bulan..pasti pula kelibat jiran saya si Ani dan Mok Jang di pondok dacing. Saya juga hampir pasti menolak kerusi roda emak saya masuk ke Saluran 1 pusat mengundi yang sama.

Bila SPR mula menetapkan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi impian saya semakin hampir jadi nyata. Saya lega..sangat lega bila en.suami memberikan keizinan untuk saya balik menunaikan tanggungjawab  memilih kerajaan di tempat tumpah darah saya..dek kesibukan kerja, saya terlambat untuk mendapatkan tiket bas mahupun kereta api. Harapan agak kelabu, namun kembali cerah bila en.suami mengizinkan saya memandu kereta balik ke kampung halaman. Kebetulan anak bongsu saya juga akan balik asramanya di Kelantan, jadi saya akan bawa dia terus balik ke kampung saya sebelum saya hantar dia naik bas ke Kota Bharu. 

Sambil balik mengundi, saya dapat jenguk emak saya. Emak tidak sihat akhir-akhir ini, bahkan terpaksa berkerusi roda di dalam rumah. Dapat pula jumpa anak saya yang belajar kat sana. Jumpa adik-adik, abang dan kakak serta anak-anak saudara yang turut balik mengundi. Wah, meriahnya! Kiranya sambil mengundi dapat jumpa mak dan waris warah..

Saya dan Idris sangat gembira. Hati saya berbunga riang. Saya orang pertama menghantar borang cuti  pada majikan saya. Saya dijadualkan bercuti sehari saja sebelum menyambung sehari lagi cuti umum negeri Pahang, Hari Hol. Saya bayangkan perjalanan kami dua beranak selama lebih kurang 5/6 jam. Tentu banyak yang dapat kami bualkan. Kami boleh berbual tentang poster dan bendera di kiri kanan jalan. Tentu banyak yang menarik dan kreatif. Saya lebih teruja bila Idris kata kat Jerantut tak banyak bendera. Kat Pasir Mas sampai tak nampak rumah kerana banyaknya poster. Agaknya kalau nak tengok rumah kena selak poster dan bendera dulu. Tak sabar rasanya menunggu Sabtu. En. suami cadangkan kami balik hari Sabtu pagi supaya tidak terperangkap dalam kesesakan. 

Jumaat pagi, Idris dengan penuh semangat mencuci kereta. Saya pula siapkan kerja-kerja di sekolah sebelum bercuti. Namun, separuh Jumaat itu impian yang telah dipasang sekian lama hancur berkecai.... Saya tidak jadi balik, saya tidak jadi balik...hati saya luluh. Saya tidak pernah gagal mengundi sejak PRU 8 tahun 1990..dan di PRU 13 ini saya gagal balik. Hati saya pilu, bertambah pilu bila calon-calon DUN tempat saya mengundi menghantar sms merayu undi.mana la diaorang dapat nombor telefon saya...maaflah tuan-tuan, saya tak balik mengundipun!

Sabtu, saya keluar ke bandar Jerantut. Wah, banyak juga konvoi pilihan raya ke sana-sini.maklum pertandingan 4 penjuru.,.siap bunyikan hon. Meriah dan membingitkan, serta melambatkan orang-orang yang banyak urusan di jalanan. Wajah-wajah penuh pengharapan agar parti sokongan mereka beroleh kemenangan, sedang saya bermonolog sendiri..berkempenlah kalian..saya tak balik mengundi..

Malam ini saya akan menempek inai di jari..kelak bila rakan-rakan ada kesan calitan dakwat kekal di jari telunjuk..saya juga akan tunjukkan calitan di jari saya. Bukan 1, tapi sepuluh jari! ..dan pasti kekal berminggu-minggu!

Tap..tap..la, mata saya basah!


2 comments:

  1. la....apa ke kesahnya??
    ada masalah apa tak jadi balik mengundi..plan dah cukup baik..heee

    ReplyDelete
  2. Owh, baru tahu. Tentu terkilan sangat bila tak dpt tunaikan tanggungjawab yang satu ni. Apa2pun kita hanya mampu merancang..

    ps: inai pru13 baru je hilang semuanya beberapa hari lepas..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH