Wednesday, May 15, 2013

Hari Guru

Saya tidak begitu ingat sejak bila saya mula menyambut hari guru. Seingat saya cuma ada jamuan masa sekolah rendah. Kuih bawak sendiri dari rumah sepinggan seorang. Kuih bubuh dalam pinggan, kemudian dibungkus dengan sapu tangan. Ada bawa agar-agar, karipap, pulut lepa dsb. Saya pula selalunya bawak biskut kering seperti biskut marie ataupun biskut jagung saja.Air pun bawak sendiri. Selalunya aiskrim soda dalam botol kaca. Lepas  minum, balik sekolah pulangkan semula botol kat kedai. Bagi-bagi hadiah tak ada, cuma kalau musim buah bawaklah buah jambu ke, buah rambutan ke seikat dua untuk cikgu. 

1980, bila saya mula bersekolah menengah di SMTI barulah ada sambutan. Selalunya sambutan dimulakan dengan perhimpunan khas, nyanyian lagu 'Guru Malaysia' dan bacaan perutusan dari Menteri Pelajaran dll. 
Kemudian, acara sukan cikgu lawan murid. Selalunya saya jadi penonton saja..maklumlah si kaki bangku. Lepas rehat acara makan-makan. Tiap-tiap kelas ada jamuan. Cikgu-cikgu akan round dari kelas ke kelas menikmati jamuan yang disediakan. Masa tu semua kelas berlawan-lawan menghias kelas dan memilih menu yang terbaik! Hadiah pulak kongsi sikit-sikit, bagi satu hadiah saja untuk guru kelas.

Bila saya mula jadi guru pada 1989, sambutan hari guru jadi semakin meriah. Budaya memberi hadiah pada guru semakin berkembang. Waktu itu hadiah-hadiah berbentuk sabun mandi, tisu, pen, buku tulis dan sebagainya. Maklum saja murid-murid saya kebanyakannya anak-anak orang kampung dan anak-anak peneroka saja. Bila saya mula bertukar ke kawasan bandar, pemberian hadiah-hadiah mula mengalami transformasi. Menjelang 16 Mei, kedai-kedai buku dan alat tulis, pasaraya penuh dengan anak-anak membeli hadiah untuk guru-guru. Nilai hadiah pun meningkat seiring dengan kawasan dan taraf ekonomi penjaga. Era milenium hampir tiada lagi yang memberi sabun mandi pada cikgu. Hadiah simple pun dibungkus dengan cantik untuk memberi nilai tambah pada hadiah tersebut.

Sebagai guru, saya tidak pernah mewar-warkan tentang budaya memberi hadiah kepada guru. Saya sedar bukan semua ibu bapa mampu membeli hadiah untuk guru, sementelahan pula hari guru jatuh tengah bulan. Kalau dulu hadiah cuma untuk guru kelas, sebab guru kelas ajar semua mata pelajaran kecuali PAI dan  BI, namun sekarang banyak hadiah perlu dibeli sebab banyak guru mengajar dalam satu kelas. Guru PSV la, Sivik la, PJ lagi dll. Namun, walaupun tidak diberitahu kebanyakan murid memang telah bersedia dengan hadiah-hadiah mereka. Hari inipun sudah ada murid prasekolah saya yang bawak hadiah, disorok bawah meja sebab tak mahu cikgu tahu. Nak bagi cikgu esok, tapi budak-budak lain sibuk mengadu domba..dan saya buat-buat tak tahu saja..hehe.

Masa anak-anak kecik dulu, diaorang la yang paling seronok buka hadiah. Sekarang semua dah besar-besar, murid saya pula semakin kecik. Pada hari guru semua seronok memberi hadiah. Ada seorang murid perempuan tahun 1 moyok saja..tentu dia sedih sebab tidak dapat memberikan sesuatu untuk cikgu. Namun, agak lama kemudian dia datang pada saya dan memberikan satu kerongsang yang sudah berkarat! Entah kat manalah dia jumpa. Saya ambil dan ucap terima kasih lalu terus memakai pada tudung saya. Budak itu kelihatan sangat gembira. Itulah satu kenangan yang sangat menyentuh hati saya.

Budaya memberi hadiah baik untuk mendidik murid menghargai guru. Namun saya selalu beritahu murid saya hadiah yang paling bernilai bagi seorang guru ialah doa. Doakanlah guru..dan kitapun jangan lupa doakan guru yang telah mengajar kita. Bukan saja guru di sekolah, bahkan guru-guru mengaji, guru memasak, guru menjahit dsb...

Selamat Hari Guru 2013.

GURU MALAYSIA: 1 ASPIRASI, 1 AGENDA




5 comments:

  1. najmiah...lama menyepi ni. saya baru nak buat entry tentang kenangan hari guru jugak, haha..
    dulu bukan takat sabun mandi, sabun fab kotak dan fab buku pun saya dapat..waaa

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Baru dapat mood utk menulis semula..hehe..

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  5. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH