Saturday, July 28, 2012

Bubur Lambuk

Sudah lama tidak makan bubur lambuk. Kali terakhir makan bubuk lambuk pada bulan puasa tahun lepas, beli dari bazaar Ramadhan Jerantut. Diam tak diam dah dekat setahun tak makan bubur lambuk. Bubur lambuk tahun lepas itu pun tak sesedap mana..rasa 'lecah leweh' dan serba tak kena. Jadi, bila encik suami membawa pulang 2 ikat pucuk nniding dari pasar pagi tadi saya tidak melepaskan peluang buat bubur lambuk. Bubur lambuk yang saya buat adalah bubur lambuk versi Terengganu yang sangat saya gemari sejak kecil lagi. Ianya langsung tidak sama dengan bubur lambuk yang terkenal kat Kg. Bharu Kuala Lumpur tu..ia lain..sangat-sangat lain walaupun namanya sama...dan saya tidak bercadang nak nak tulis resepi bubur lambuk tu kat sini, kalau nak..cari saja kat kampung google, berlambak boleh dapat. Gambar bubur lambuk kat bawah inipun saya pinjam kat kampung google saja, malas nak snap gambar ngan telepon murahan saya tu..dan rupa bubur lambuk ni lebih kuranglah ngan bubur lambuk yang saya buat tadi.


Oleh kerana malas nak menyusahkan encik suami ke pasar sekali lagi, (saya sendiripun malas nak gi pasar..hehe) saya gunalah saja apa-apa bahan yang ada. Selongkar peti ais, jumpalah seekor ikan kembung yang agak besar juga..kiranya cukuplah untuk buat seperiuk bubur lambuk. Ubi keledek  tak ada, saya ganti dengan ubi kentang. Santan beku masih berbaki di dalam peti, kerisik masih ada. Daun kaduk yang hidup segan mati tak mahu kat halaman rumah saya segera dikutip. Halia, bawang, lada hitam semua ada. Belek lagi dalam peti..aaa..ada keropok keping. Semua bahan-bahan akhirnya bersatu dalam periuk bersama garam, secawan beras dan air. ..dan akhirnya saya dapat menikmati bubur lambuk Terengganu yang saya hasilkan sendiri, makan seorang diri dengan puasnya! Encik suami memang kurang gemar dengan apa-apa saja bubur nasi..so, takkan saya larat nak habiskan seperiuk besar bubur lambuk ni seorang diri..nak bagi kat jiran-jiran takut mereka tak suka pula..maklum saja la, bukan semua orang suka bubur lambuk Terengganu ni. Saudara-mara saya dan adik beradik saya kat Kelantan tak suka bubur lambuk ni, tapi cuba tanya orang Terengganu, mesti majoriti suka! Untuk elak pembaziran, bubur lambuk tu dimasukkan dalam bekas dan dibawa ke masjid oleh encik suami untuk dimakan lepas terawikh nanti..

Masa saya kecil-kecil dulu bubur lambuk adalah kemestian bagi penduduk kampung saya. Hampir semua orang suka bubur lambuk, dari budak kecil sampailah orang dewasa mahupun warga tua. Orang-orang kampung menyumbang beras dan bahan-bahan lain, kami masak gotong royong di Balaisah Tok Wan Majid,  suray yang terletak tidak jauh dari rumah saya. Che saya yang juga imam kat balaisah tu lah yang selalunya menjadi penyumbang sayur-sayuran yang akan dimasukkan di dalam bubur lambuk tu. Bukan beli, tapi che saya kutip dari kebun getah dan semak samun sepanjang jalan dalam kebun. Yang mesti ialah pucuk nniding, pucuk balik adat, pucuk ulat bulu, pucuk labu, pucuk lada, pucuk kaduk dan segala macam pucuk kayu yang lain.  Bubur lambuk kat Balaisah Tok Wan Majid ni dimasak dalam kawah. Bila masak, semua tadah besen besar, bawa balik untuk keluarga di rumah. Sebahagian lagi dinikmati oleh jemaah yang berbuka di surau itu. Situasi sungguh meriah, kami budak-budak pun ikut sibuk bermain 'zero point' kat tepi balaisah. Selalunya bila ada bubur lambuk kami tak makan nasi dah sebab bubur itu sendiri cukup mengenyangkan. Lagipun bubur lambuk itu sendiri lengkap dengan semua khasiat yang diperlukan oleh badan kita..(masa tu bukan tahupun bab-bab khasiat ni..yang kami tau, ianya sedap!)

Kata emak saya, sekarang nak makan bubur lambuk sangat susah. Pucuk nniding susah nak dapat, tanpa pucuk nniding bubur lambuk hilang umpnya. Konsep masak gotong royong pun sudah tiada, bahkan Balaisah Tok Wan Majid tempat kami berkumpul dan beribadat pun sudah tiada. Saya tidak pasti adakah balaisah itu   roboh sendiri atau dirobohkan. Yang pasti, bila saya lalu kat kawasan balaisah itu ketika bercuti di kampung tidak lama dulu, ianya sudah diratakan...sedikitpun tiada tanda lagi..Jiran-jiran saya  seperti Mak Ngah Cik Timah dan  Mak Su Cikyang tidak pernah lupa menghulurkan bubur lambuk bila mereka buat bubur lambuk  pun sudah meninggal dunia. Emak saya sendiri sudah lama tidak ke dapur kerana masalah kesihatan..dan nampak gayanya bubur lambuk Terengganu nanti akan mengalami kepupusan.. bubur lambuk hanya tinggal memori untuk dikenang oleh pencinta bubur lambuk seperti saya..

2 comments:

  1. Saya suka bubur lambuk Terengganu! Tapi saya tak sempat la main zero point tepi balaisah tu. huhuhu

    ReplyDelete
  2. saya jatuh cinta dengan bubur lambuk terengganu bila geng bas sekolah dari terengganu bawa ke sekolah. nak mencuba memasak..tapi alahai..daun2 digunakan tu yang payah nak cari...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH