Tuesday, September 27, 2011

Saya dan Lawatan Sekolah

Hari ini anak-anak prasekolah saya mengikuti lawatan sambil belajar ke Melaka Bandaraya Bersejarah. Setelah berminggu-minggu menguruskan urusan lawatan ini, tiba masanya saya tidak dapat turut serta..isk..isk..saya ditinggalkan...! Eh, tidaklah..saya sendiri terpaksa menarik diri atas sebab sedikit kecederaan setelah terjatuh malam sebelum ini.

Bertuahnya anak2 ini kerana dalam usia semuda 6 tahun telah dapat mengikuti rombongan sekolah. Seingat saya sepanjang saya bersekolah rendah di SK Kg Rahmat, Setiu dulu hanya sekali saya mengikuti rombongan sekolah masa di darjah 6 pada tahun 1979. Kisahnya boleh diikuti di post sebelum ini. Itulah satu2nya kenangan lawatan saya di sekolah rendah.

Ketika berada di Tingkatan 1, SM Tg Ibrahim saya ikut serta rombongan sekolah saya melawat kilang Padi Beras Nasional (BERNAS) di Bukit Kenak, Jertih. Kilang ini tidaklah jauh manapun dari sekolah saya, lebih kurang 50km sahaja.Walaupun begitu saya dan rakan-rakan cukup seronok dapat melihat bagaimana padi menjalani beberapa proses sebelum menjadi beras, seterusnya dibungkus sebelum dipasarkan. Saya dapat satu bekas pensel yang comel setelah dapat menjawab beberapa soalan kuiz secara spontan..budak kampung tingkatan 1, dapat satu bekas penselpun bukan main gembira dan cukup untuk membuatkan saya tersenyum sepanjang hari!

Tingkatan 5, 1984..sekolah saya sekali lagi menganjurkan lawatan sambil belajar. Kali ini memakan masa yang agak lama (5,6 hari jugakla) dan meliputi beberapa negeri bermula dari SMTI menuju Kelantan, kemudian ke P.Pinang, terus ke K.Lumpur sebelum balik semula ke Terengganu..kira2nya hampir separuh semenanjung Malaysia. Saya dan rakan2 sangat teruja, saya belum pernah ke utara apatah lagi P.Pinang. Namun alangkah hampanya apabila emak tidak membenarkan saya ikut serta atas alasan tidak cukup duit walaupun kos tambang dan makan minum hanyalah RM35.00 sahaja. (agak besar jugalah bagi kami pada tahun tersebut!). Saya sangat sedih, lebih2 lagi hanya tinggal seorang dua sahaja dari rakan2 sekelas yang berjumlah 20 orang itu tidak pergi. Puas saya pujuk emak, namun keputusannya tetap tidak berubah. Ada juga rakan2 yang saya rasa tidaklah senang mana dapat pergi juga..ini menambahkan kesedihan saya.

Maka apabila tiba saat tersebut berangkatlah rakan2 tingkatan 5 SMTI ke destinasi lawatan mereka meninggalkan saya dalam duka hajat tidak kesampaian. Apabila pulang, mereka asyik bercerita dengan riang gembiranya sambil menunjuk2 gambar2 yang diambil sepanjang lawatan itu. Saya memendam rasa..perasaan itu terbawa2 sehingga kini. Saya tidak marahkan emak, juga saya menerima ketentuan Allah, bahawa saya tidak ditakdirkan bersama-sama mereka...namun yang pasti apabila anak2 saya meminta kebenaran untuk menyertai lawatan sambil belajar anjuran sekolah mereka, kisah 27 tahun lalu akan bermain-main di ingatan saya...dan biasanya kos lawatan mereka masih dalam kemampuan saya, maka saya akan izinkan mereka pergi supaya mereka tidak merasai kesedihan yang saya pernah lalui!

..dan anehnya juga selepas itu saya tidak lagi berhajat ke P.Pinang. Walaupun usia saya sudah menginjak 40-an, saya belum pernah lagi sampai ke sana. Saya tidak pernah melihat jambatan P.Pinang mahupun feri P.Pinang apatah lagi menjejakkan kaki ke atasnya. Bila saya fikir semula, saya sebenarnya bukanlah mahu ke sana sangat tetapi mahu bersama rakan2 menikmati percutian bersama-sama.

Sekarang anak2 prasekolah saya dalam perjalanan pulang. Tentu mereka sedang dalam kepenatan dan mungkin tertidur sepanjang perjalanan pulang ini. Terima kasih kepada semua yang telah menjayakan lawatan prasekolah SK Temin kali ini. Semoga lawatan ini meninggalkan pelbagai kenangan manis kepada mereka.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH