Sunday, August 14, 2011

Saya dan KTMB




Dari kecil kereta api bukanlah sinonim dengan kehidupan saya. Ianya agak asing. Ini kerana saya tinggal di negeri Terengganu, satu-satunya negeri di Semenanjung Malaysia yang tiada laluan kereta api!

Pertama kali melihat kereta api pada tahun 1979. Waktu itu saya dalam darjah 6. Sekolah saya mengadakan lawatan sambil belajar ke Kota Bharu. Rombongan kami terdiri daripada murid-murid darjah 6 SKRC beserta guru mengadakan lawatan ke sekitar KB, Pantai Sabak, Penjara Pengkalan Chepa dan Stesen Kereta api Wakaf Bharu! Sungguh teruja kanak-kanak yang tak pernah tengok kereta api apabila melihat kereta api tiba di stesen..bunyi siren dan bunyi kereta api itu sendiri sungguh aneh dan membingitkan.

Tahun-tahun selepasnya adalah sekali dua saya melihat kereta api. Itupun ketika saya menziarahi Kak Long saya di Felda Kemahang, Tanah Merah. Beberapa kali kami terpaksa berhenti untuk memberi laluan kepada kereta api di Jambatan Kusial. Saat itu sungguh meriah. Kenderaan berderet menunggu kereta api lalu, peniaga-peniaga jalanan termasuk kanak-kanak bergerak dari satu kereta ke kereta lain menawarkan pelbagai barangan seperti minuman, makanan termasuklah jagung rebus dan sebagainya.

1988, saya berkenalan dengan suami. Dia mengajak saya ke rumahnya untuk berkenalan dengan keluarganya. Kali pertama ke rumahnya merupakan kali pertama saya menaiki kereta api! Di tempat duduk dalam kereta api, saya tersenyum-senyum seorang..bukan teruja hendak jumpa bakal mertua tetapi seronoknya dapat naik kereta api!

Setelah berkahwin, kereta api bukanlah sesuatu yang pelik lagi. Setiap kali balik ke kampung mertua, saya sekeluarga akan naik kereta api. Selain kami belum memiliki kenderaan, kereta api merupakan kenderaan yang paling mudah untuk sampai ke kampung berbanding bas atau teksi. Sebaik sampai di stesen, kami terpaksa berjalan kaki melalui landasan kereta api sebelum sampai ke rumah mertua saya.

Saya masih ingat lagi, waktu itu saya dan suami hendak balik ke rumah kami. Maka berjalanlah kami di landasan kereta api menuju ke stesen. Tiba-tiba kami terdengar bunyi kereta api dari belakang, kamipun turun ke tepi landasan. Setelah kereta api berhenti di stesen, kamipun berlari-lari mengejar kereta api tersebut. Nasib baik waktu itu badan saya kecik lagi..hehe.. Penumpang-penumpang dalam kereta api menghulur kepala melalui tingkap dan bertepuk tangan memberi semangat kepada kami berdua.."cepat!cepat!...laju!laju!" Meriah sungguh waktu itu.

Kereta api sekarang sudah tidak seperti dulu. Dulu tingkap boleh dibuka, jadi kita boleh hulurkan kepala untuk tengok gerabak depan dan belakang! Bila sampai stesen penumpang campak beg ikut tingkap untuk 'chup' tempat duduk! Melalui tingkap jugalah aktiviti jual beli di stesen yang disinggahi diadakan. Dalam kereta api terutama kelas ekonomi macam-macam boleh tengok..ada buaian digantung dalam kereta api, ada bawak ayam, itik dll.

Saya sudahpun mempunyai kenderaan sendiri. Stesen kereta api kat kampung suamipun sudah ditutup kerana kekurangan penumpang. Namun saya masih berurusan dengan KTMB. Kaki tangan di stesen KTMB Jerantut pun sudah mengenali saya. Anak saya Atiqah, berulang-alik selama 2 tahun dari Jerantut ke KMNS dengan kereta api. Idris juga berulang-alik dari Jerantut ke Pasir Mas setiap kali cuti dengan kereta api. Kadang-kala jika saya dan suami ingin menziarahinya di asrama, kereta api adalah pilihan yang paling tepat!

September ini Atiqah akan menyambung pengajiannya di UMK selama 4 tahun. Tidak dapat tidak, kereta api akan jadi pengangkutan utamanya juga nanti. Saya,kereta api dan KTMB..ada chemistry.

1 comment:

  1. hehehe memang ada chemistry la kak g... i lak, sejak mula2 kawin naim kata nak bawak naik ketapi balik kuala kangsar, sampai dah 10 tahun, taaakkk naik2 jugak! huhuhu... memang takde chemistry!

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH