Saturday, August 6, 2011

English Campaign 1979

Semasa mengemas bilik yang tak berapa kemas tadi, saya terjumpa gambar nostalgia ini. Huwaa..sangat mengusik jiwa!


Inilah gambar saya dan rakan-rakan yang telah menjuarai pertandingan drama sebabak English Campaign peringkat daerah Kuala Terengganu Utara tahun 1979. Masa tu saya dalam darjah 6A SKRC. Tajuk drama ini 'Prince Of Tamar' hasil garapan skrip dan arahan oleh Mr. R.Manian, guru Bahasa Inggeris saya yang sangat disayangi...juga digeruni!




Dalam drama tersebut saya membawa watak seorang puteri, rakan saya Shaipul Anuar jadi raja, Ahmad Jamil jadi Prince of Tamar dan Baharudin jadi guard! Saya masih ingat ketika saya dipilih memegang watak puteri saya menolak mentah-mentah.


"Cikgu, saya tak cantik. Macamana saya nak jadi puteri?"


"Cikgu, pilihlah orang lain yang ramai lagi cantik-cantik!"


"Cikgu, ayah saya tak bagi."




He he he..itulah antara alasan yang saya beri pada Mr. R.Manian. Beliau menjawab,"memang ramai yang cantik, tapi mereka tak pandai Bahasa Inggeris macam awak..!", "Ayah awak tak bagi, suruh ayah awak datang berlakon"...dan macam-macam beliau pujuk supaya saya jadi puteri. Budak perempuan yang naif, bila dipujuk saya pun setuju berlakon walaupun hati saya rasa gementar dan takut.




Kamipun memulakan latihan secara intensif. Kadang-kadang berlatih di dalam kelas, kadang-kadang kat tempat perhimpunan. Mr.R. Manian mahu kami semua tidak malu berhadapan dengan ramai orang. Drama kami sangat simple, kisah seorang raja yang mengadakan satu perlawanan untuk memilih suami kepada puteri kesayangannya. Syaratnya mesti mengalahkan pengawal istana terlebih dahulu. Syaratnya tidak boleh guna senjata. Ramai putera mencuba nasib tetapi tidak berjaya, sehinggalah suatu hari Prince of Tamar datang dan memenangi perlawanan itu seterusnya berjaya memikat hati raja dan puteri..hehe.




Kami guna kostum sendiri, mahkota raja dan puteri dilukis di atas manila kad dan diwarnakan oleh rakan-rakan sekelas. Yusnah meminjamkan kalung manik neneknya yang dibeli dari Sarawak untuk dipakai oleh puteri dan raja. Rasanya selendang kami berdua itupun kepunyaan keluarganya juga. Yusnah juga bertindak menjadi juru solek saya dan pengiring saya sepanjang English Campaign tersebut. (Sebab itu satu syarat saya pada Mr.R.Manian sebelum saya menerima tawaran jadi puteri. Maklum saya seorang saja perempuan..rasa takut gak..)Keris yang digunakan oleh putera dan pengawal dibuat dari kayu oleh Cik Deraman, tukang kebun sekolah.




Pusingan pertama kami bertanding di Sekolah Kebangsaan Chalok Gong Terap, kami muncul juara. Seterusnya kami ke peringkat daerah di Sek Men. Sains Terengganu. Wah..persaingan sangat sengit. Pasukan lain datang dengan pelbagai props dan kostum yang berwarna-warni. Namun persembahan kami yang hanya diletakkan dua kerusi di atas pentas berjaya memikat hati juri. Baharuddin dan Jamil bersilat habis-habisan di atas pentas sehingga pembesar suarapun terpelanting jatuh ke bawah pentas! Kemuncaknya kami sekali lagi menjadi juara!




Majlis penyampaian hadiah diadakan di MRSM Kuala Terengganu. Wah, kali ini kami diminta membuat persembahan sekali lagi di dalam dewan yang besar itu. Saya masih ingat semasa saya dan Shaiful bersemayam di atas takhta di atas pentas MRSM itu..kemudian tirai dibuka..uii..ramainya penonton! Semua orang bertepuk tangan. Bila Shaipul ketawa besar, seluruh dewan MRSM ikut bergema dengan ketawa penonton..sungguh mengujakan!




Pertandingan drama itu berakhir di situ sahaja kerana tidak ada pertandingan di peringkat negeri. Namun drama itu tidak berakhir di situ. Pada majlis penyampaian sijil tamat persekolahan darjah 6 hujung tahun 1979, kami sekali lagi membuat persembahan di Dewan Dato'Fikri di sebelah SKRC. Masa tu adalah lagi watak-watak tambahan seperti dayang-dayang yang mengipas puteri dan raja. Sayangnya saya tiada gambar tersebut. Orang-orang kampung dan para ibu bapa serta murid datang memenuhi segenap ceruk dewan. Che dan emak saya tidak datang sebab awal-awal lagi saya dah bagitau jangan datang..saya tak kisah orang lain datang tengok, jangan ibubapa saya, malu! Emak ayah saya hanya dengar cerita dari orang lain.. bila semakin dewasa dan che sudah tiada baru saya rasa menyesal dan perasaan bersalah itu terbawa-bawa hingga sekarang.





2 comments:

  1. wah!!!!...menarik2....best bila kenang zamn sekolah dulu2...=p... hehe...

    ReplyDelete
  2. mmg best! walaupun i cikgu drama, masa i sekolah dulu i cuma berlakon kat aspuri je... almaklumla sekolah agama... huhuhu

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH