Monday, July 4, 2011

Kenangan Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa 1987

Majlis Tilawah Al- Quran Peringkat Antarabangsa datang lagi. Saya terpanggil untuk berkongsi kenangan berada dalam majlis yang sama lebih dua dekad dulu...lama tu, ianya berlangsung sekitar Mei 1987.

Saya membongkar album lama..lantas ternampak tajuk akhbar di bawah..sayangnya hanya ada tajuk tanpa isi kandungan, tarikh dan sebagainya. Namun satu yang pasti ini adalah keratan akhbar Berita Harian keluaran '80an dulu. Agak kekuningan tapi mempunyai nilai sentimental yang sukar dinyatakan..tidak pasti juga peringkat manakah musabaqah yang saya sertai ini.

Penyertaan saya di bidang musabaqah membaca al quran sebenarnya bermula sejak di sekolah rendah lagi sehinggalah ke sekolah menengah..dari peringkat sekolah, zon, daerah, negeri dan kebangsaan. Namun kenangan di Musabaqah Membaca Al Quran Peringkat Antarabangsa meninggalkan kenangan tersendiri, terasa sangat bertuah kerana tidak ramai yang berpeluang mencipta kenangan begini.

Ianya bermula begini...

Saya memasuki MPTAA pada Julai 1986 dalam usia 19 tahun. Pada tahun tersebut, maktab telahpun mempunyai qari dan qariah tersendiri dan saya sendiri telah mendengar bacaan mereka yang saya anggap sangat baik. Hasil sokongan kawan-kawan, saya menyertai musabaqah peringkat MPTAA pada tahun tersebut dan muncul sebagi johan. Saya mewakili maktab bertanding di peringkat zon timur dan mewakili zon timur ke peringkat kebangsaan yang diadakan di MPIHK, Perak.

Inilah peserta-peserta yang menyertai musabaqah membaca al quran Maktab-maktab Perguruan Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 1987. Saya hanya mendapat tempat kedua..namun tempat kedua itulah yang melayakkan saya untuk menjadi qariah jemputan Musabaqah Membaca Al Quran Peringkat Antarabangsa pada tahun tersebut. Ini adalah kerana qariah yang menjadi johan telahpun keluar maktab, jadi sayalah mendapat tuah menggantikan tempatnya..begitulah ceritanya..
Saya sangat gementar sewaktu diberitahu oleh pihak maktab tentang undangan sebagai qariah jemputan..peringkat antarabangsa tu! Masuk tv lagi!Layakkah aku? Bolehkan aku? Itu soalan yang bermain-main di fikiran.. Lagu apa nak bawa? Nak baca ayat mana? Namun saya anggap itu satu cabaran..juga satu peluang yang tidak harus dilepaskan. Maka berangkatlah saya dengan sahabat saya Muhamad Hussin bin Yunus yang merupakan johan qari maktab peringkat kebangsaan, juga dari MPTAA. Turut serta Kak Lin, classmate yang menemani saya berangkat ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas ekspress Kuantan-Kuala Lumpur. Walaupun hanya menjadi qariah jemputan untuk satu slot sahaja, namun saya berada di sana sepanjang musabaqah tersebut berlangsung. Kami bertiga di tempatkan bersama para urusetia dan jemputan yang lain di Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya.

..dan istimewanya kami disediakan sebuah kereta besar (..entahla..mercedes ke apa..) bercermin gelap siap dengan pemandu untuk ke mana-mana. Wah, terasa macam bos besar bersandar kat seat belakang..bila berselisih dengan bas mini yang padat macam sardin, kamipun tersenyum di dalam kereta bercermin gelap itu walaupun kami sedar tiada siapa kat luar tu nampak kami..haha. Gambar sebelah ni saya sedang bergaya di sisi pool car tersebut manakala Encik driver pula yang memakai baju melayu lengkap bersampin tu!


Musabaqah membaca al quran peringkat antarabangsa tahun 1987 diadakan di Dewan Merdeka PWTC pada bulan puasa tahun tersebut. Jadi, pada waktu siang kami meronda-rondalah di sekitar KL, ada masanya bergolek-golek sahaja di bilik penginapan Kompleks Haji. Kami bersahur di tempat penginapan tetapi time berbuka adalah waktu yang ditunggu-tunggu kerana kami akan diraikan di majlis berbuka puasa yang sungguh istimewa. Antaranya majlis berbuka puasa di PWTC, Kedutaan Arab Saudi dengan kurma yang best, kebab kambing, ayam belah 4 dan lain-lain. Paling tidak dilupakan majlis berbuka puasa di Istana Negara bersama-sama DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Permaisuri Agong. Agong pada waktu itu ialah Almarhum Sultan Iskandar dan permaisuri agong pula ialah Sultanah Zahariah. Saya merasalah bersolat Maghrib di sebelah Permaisuri Agong!

Masa ni sedang menunggu waktu berbuka kat PWTC. Ini baru round pertama, minum air ngan kuih dulu..pastu ada pulak 2nd round and 3rd round! Mewah sungguh!Gambar sebelah tu saya sempatlah bergambar kenangan bersama-sama qariah dari Sri Lanka..lupa dah nama dia..


Gambar kat bawah ni pulak masa lepak-lepak kat lobi PWTC. Yang berbaju melayu hitam tu Mohamad Hussin Mohamad Yunus. Sekarang dah jadi Tuan Haji Mohamad Hussin dah! Bagus tuan haji ni, masa sekolah jadi johan kebangsaan, masa maktab pun sama dan bila dah jadi cikgu masuk pula ujian tilawah dan jadi johan peringkat kebangsaan dan antarabangsa tahun 1997. Saya?...err..hehe..


Gambar-gambar agak tak tersusun. Gambar kat bawah ini ialah pada malam penutup musabaqah. Saya tu ha..terselit di belakang para qariah antarabangsa. Sayapun naik pentas gak malam tu untuk menerima sedikit cenderahati berupa sehelai songket ungu Terengganu tenunan tangan bercorak bunga penuh dan sedikit wang tunai.

..dan inilah saya sedang memperdengarkan bacaan sebagai qariah jemputan Musabaqah Membaca Al Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 1987. Sebenarnya tidak ramai rakan-rakan saya sekarang tahu saya pernah menyertai musabaqah al quran dan kalau mereka tahu pun mesti mereka tak berapa percaya..sebab mereka tak pernah dengar pun saya mengaji, kecuali rakan-rakan yang sama-sama belajar kat kelas tajwid. Itupun bacaan biasa-biasa je, bukan secara bertarannum.


Sekarang, saya masih lagi mengikuti kelas-kelas al-quran tetapi untuk menyertai ujian tilawah seperti dulu rasanya agak sukar sedikit. Sayapun sedar kemampuan suara saya sudah tidak seperti dulu, nafas pendek dan agak sukar untuk 'jawab' apatah lagi' jawabul jawab' yang memerlukan nada suara yang tinggi. Sedangkan untuk bacaan 'qarar' pun kurang menjadi.. suara saya hanya pada tingkat sederhana saja. Sayapun tidak berupaya lagi untuk berpantang segala macam seperti mengelakkan makanan pedas dan berminyak...





1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH