Friday, April 1, 2011

Lawatan Penanda Aras

Esok, saya dan rombongan warga sekolah saya akan bertolak ke negeri Serendah Sekebun Bunga untuk lawatan penanda aras. 2 buah bas telah disediakan oleh pihak sekolah. InsyaAllah kami akan akan ke SBT Kohort 1, SK Zainab 2 dan ke sebuah sekolah menengah di K.Bharu iaitu SMK Kota. Lawatan penanda aras ini merupakan acara tahunan sekolah saya dalam misi menjadi sebuah SBT menjelang 2012.

..tapi saya bukan nak bercerita tentang lawatan yang belum kami buat ini. Saya nak kongsi cerita ketika kami mengadakan lawatan penanda aras tahun lepas. Lama dah nak masukkan ke blog ini tetapi tertangguh-tangguh sehinggalah sekarang.

2010 kami ke SK Convent Kota, Taiping. Banyak juga la input-input yang kami dapat dari sana. Sayangnya sekolah itu tiada kelas prasekolah, jadi tak dapatlah nak kongsi bidang itu di sini. Saya cuma nak bercerita tentang tempat penginapan kami di Taiping yang tersangatlah bestnya! Best bukan kerana ianya mewah, tidak pula tersangat cantik bahkan kemudahannya tidaklah sempurna. Ianya best sebab rumah itu menjadikan kami semua bersatu hati, rasa kekitaan dan mengukuhkan silaturrahim sesama kami. Mari kita tengok gambar sambil baca coretan saya.


Ini pemandangan di luar rumah penginapan kami iaitu Rumah Kelab Petanda Daerah Larut-Matang. Letaknya berhadapan padang di tengah-tengah bandar Taiping. Kalau siapa-siapa nak menginap kat sini bolehlah zoom kat gambar ketiga atas sana, kat pintu pagar masuk rumah tersebut..ala, belakang mak cik baju biru yang tengah mengada-ngada posing depan rumah tu..hehe.

Gambar kat tengah atas tu sebahagian daripada ahli rombongan sedang bergambar atas tangga. Nasib baik semua dah kahwin, kalau tidak mungkinkah berulang gadis berputus tunang macam dalam lagu Rafeah Buang..anak dara duduk muka pintu, nanti putus tunang!

Rumah Kelab Petanda ini sangat besar dan luas. Melihat keadaan rumah kami mengagak ini adalah rumah tinggalan zaman penjajah dulu. Mungkin juga rumah pegawai daerah atau pegawai orang putih.Ruang tamunya juga luas dan panjang. Ada 5 bilik, biliknya pulak luas-luas belaka. Tiap-tiap bilik mempunyai 2 pintu. Teringat cerita Madu 3 Allahyarham P.Ramlee dulu, masuk pintu ini..keluar pintu itu.. Perhatikan siling rumah ini, sangat tinggi dan mempunyai sistem perudaraan yang baik. Rumah ini telah dibaik pulih dan dicat baru.


Inilah Rumah Kelab Petanda dari jauh. Lihat bahagian bumbung yang masih baik walaupun penuh dengan lumut-lumut. Maklum sajalah Taipingkan tempat taburan hujan paling banyak di Malaysia ni! Guru-guru lelaki pula menginap di rumah bersebelahan rumah ini, juga di bawah pengurusan yang sama, rekabentuk pun sama kecuali warnanya berbeza iaitu ungu.


Jeng jeng jeng... lihat gambar-gambar di kiri dan kanan ni. Gambar di sebelah kiri ni merupakan rumah yang bersambung dengan rumah penginapan tadi..ia dihubungkan dengan satu gajah menyusu. Saya menjelajah di bahagian belakang rumah oren tadi. Mungkin ini rumah yang dikhaskan untuk pembantu rumah a.k.a orang gaji. Ianya kelihatan agak uzur dan menyeramkan. Manakala gambar di sebelah kanan pula merupakan bahagian belakang rumah penginapan kami. Rupa-rupanya penambahbaikan atau pengubahsuaian rumah ini hanya dibuat di bahagian hadapan dan dalam rumah sahaja. Jika saya tidak meronda di belakang rumah ini mungkin kecacatan ini tidak kelihatan. Pengendali rumah ini pun mungkin tidak menyangka ada juga penghuni yang pergi ke kawasan belakang ini..hehe.

Di rumah ini kami boleh bermesra sesama warga sekolah dengan bebas..bila di KB esok, kami menginap di PSPN Pengkalan Chepa, 1 bilik 2 orang..buat hal masing-masing. Tak dapatlah kami bergurau senda seperti di Taiping dulu. Tidak mengapa sebab kami ke negeri Che Siti Wan Kembang untuk berkongsi idea. Pergi pun bukan saja-saja. Ada tugasan untuk kami yang akan diberi ketika di dalam bas nanti.


1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH