Sesungguhnya janji Allah itu benar. 26 Januari 2011 lalu, anak teruna saya menulis status ini di wall facebooknya:
Pada hari itu, anak saya Ahmad Faiz telah menolong menunda motosikal seorang pak cik tua yang kehabisan minyak motor sehingga ke stesen minyak. Minggu ini, anak saya itu ke Kuala Lumpur untuk urusan latihan lautnya. Malangnya dalam perjalanan pulang, motosikalnya telah putus rantai. Lebih malang rantai motor itu putus di Lebuhraya Karak! Ulang sekali lagi..Lebuhraya Karak! Bukan pinggir bandar Jerantut...tidak juga tepi jalan Kg.Rahmat!
Kata Faiz, dia menolak motosikalnya beberapa kilometer dalam cuaca tengahari yang panas terik...pakai baju hitam pulak tu. Bolehkah anda bayangkan situasi ini? Mujur, saat ini Allah hantar seorang pemuda bermotosikal yang dengan rela hati menolong menunda motor anak saya ini. Agak jauh juga untuk sampai ke bengkel motor terhampir..mereka 2 kali berhenti kerana kepenatan. Motor itu ditunda sehingga ke bengkel..dan kos memasang skru yang tercabut dari rantai motor hanyalah berharga RM4!Faiz turut menghulurkan sejumlah RM pada pemuda yang baik hati itu walaupun tidak diminta.."orang dah sudi bantu kita, seribu rahmat rasanya,apalah sangat jika nak dibandingkan dengan fulus yang dihulurkan itu," kata Faiz. Syukur ya Allah, kerana Engkau menjadikan anakku suka menolong dan tahu menghargai pertolongan yang diberikan!..dan hari ini Faiz mendapat khabar gembira, permohonannya untuk menjalani latihan laut dengan syarikat perkapalan yang dihadiri baru-baru ini telahpun diterima. InsyaAllah, dia akan mula belayar minggu depan selama 6 bulan.
Saya sangat percaya, pertolongan yang kita hulurkan dengan ikhlas walaupun pertolongan itu kecil sahaja akan diberi ganjaran yang setimpal oleh Allah Taala.
Inilah motosikal yang dimaksudkan. Sila teliti keadaan
rantai di bahagian bawah motor tersebut!
Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan hari Akhirat dan sesiapa melapangkan seorang yang berada di dalam kesempitan Allah akan melapangkan untuknya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keburukan saudaranya maka Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat dan Allah pasti menolong hamba-Nya selagi mana hambanya menolong saudaranya. Dan sesiapa mengikuti satu jalan untuk mencari ilmu Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga. Tidak berkumpul satu kaum di dalam rumah dari rumah-rumah Allah dan saling belajar dan mengajar antara satu sama lain melainkan turunlah ketenangan atas mereka, rahmat meliputi mereka, para malaikat mengerumuni mereka dan Allah akan menyebut (nama-nama) mereka di sisi-Nya. Dan sesiapa yang kurang amalannya maka nasab (keturunannya) tidak akan dapat menyempurnakannya.”(Muslim)
Marilah kita sama-sama tolong menolong dan bantu-membantu sesama kita dan orang-orang di sekeliling kita. Mudah-mudahan dengan itu kita akan sentiasa berada di bawah rahmat dan keberkatan Allah.
Alhamdulillah.. semoga faiz terus jadi orang yang baik2, tahniah kepada ibu bapanya...
ReplyDeleteterharu baca entry ni
keep it up faiz!
ReplyDelete