Dulu-dulu semasa anak saya Aimi berumur 7 tahun balik dari bermain di rumah seorang rakannya dan membuat kenyataan ini, "Mak, rupa-rupanya mak cik xx tu kaya!". "Kenapa Aimi kata dia kaya?" tanya saya." Sebab kat rumah ada 3 jenis air! Ada air oren, anggur dan mangga!"
Alahai anak, semudah itu tafsiran kaya! Selepas itu, suami meminta saya menyimpan stok sekurang2nya 3 jenis jus atau kordial, supaya anak saya tidaklah terasa sangat dirinya tidak kaya..haha.
Saya ingin bercerita tentang minuman saya waktu dulu. Hanya ada dua jenis minuman panas iaitu teh o dan kopi o. Itulah yang mak hidangkan setiap hari untuk sarapan. Selalunya teh wangi cap paip dan kopi cap bukit. Kami adik beradik sentiasa bersyukur dan tidak pernah komplen jemu asyik minum minuman yang sama saja. Sesekali arwah che bawak ke kedai kopi Raja Nab kat Pintu Gerbang, dapatla merasa teh susu. Walaupun kat rumah saya tiada milo atau susu, tapi saya dapat juga merasa kedua-dua minuman ini beberapa kali dalam sebulan. Hasil berjimat cermat duit belanja sekolah, bila balik dari sekolah saya dan kawan2 akan singgah kedai Che Mbong untuk membeli serbuk milo atau susu cap junjung yang dijual dalam paket-paket kecil. Milo dan susu tersebut bukanlah dibancuh dalam air panas sebaliknya kami ratah begitu sahaja.
Pada suatu hari, pada waktu rehat sekolah, saya telah mengikut Siti Hajar balik ke rumahnya di Kampung Teluk untuk mengambil barang yang tertinggal. Emak Siti Hajar telah menghidangkan segelas air teh yang sangat sedap. Ia nya sangat berbeza dengan teh wangi cap paip yang emak saya selalu buat. Walaubagaimanapun saya tidaklah bertanya apa-apa dan terus menikmati keenakan teh yang luar biasa itu.
Bila saya semakin dewasa dan memasuki sekolah menengah, barulah saya menyedari rupanya air teh yang diminum di rumah Siti Hajar itu bukanlah air teh. Ianya adalah air nescafe! Sungguh naif anak kampung yang meningkat remaja baru tau adanya air lain seumpama air teh yang rupanya bukan air teh!
Sekarang pelbagai jenis minuman boleh didapati dengan mudah. Dari minuman panas sehinggalah minuman sejuk..ice blended, cappucino, yang jual kat 7E tu apa namanya ya?..yogurt la..huh, apa barang teh o ataupun kopi o tu? Ianya tidak lebih dari sekadar minuman orang tua..
ya...minuman org tua namun itulah yg kita cari setiap pagi. Hidup tak lengkap tanpa teh!
ReplyDelete