Dollah bin Deraman. Itulah lelaki istimewa dalam hidup saya. Saya tidak tahu bila dia dilahirkan sbb orang dulu-dulu bukan ada sijil lahir.24 April 1985 adalah tarikh dia pergi meninggalkan kami semua dalam usia lebih kurang 65 tahun. Dia saya panggil 'che' yang bermaksud ayah. Dia memang sangat istimewa, mari lihat keistimewaan che saya ini.Saya merasai pengalaman hidup bersama-sama che saya selama 18 tahun. Selama 18 tahun sudah cukup untuk saya mengenal hati budi seorang ayah, dan yang pastinya saya belum pernah lagi berjumpa dengan seorang ayah lain sehebat dia.Bagi saya che seorang manusia yang sangat rajin, penyayang, penyabar,bijak, alim, cermat dan banyak lagi yang positif.
Che tidak suka berhutang, biar sesusah manapun elakkan berhutang. Sebab itu walau hidup kami susah, hati kami senang sebab tidak hidup diburu hutang.1979, semua rumah kat kg saya dah cerah dengan bekalan letrik 12 jam, kami masih berpelita cermin kerana che tak mampu nak bayar deposit.Kami pun masih guna air telaga yang che gali sendiri walaupun orang lain semua dah ada bekalan air paip. Che berusaha menabung untuk mendapatkan kemudahan tersebut dan ketika aku berada di tingkatan 1(1980) barulah rumah kami ada api elektrik dan air paip.Che pantang tengok ada tanah lapang di kampung kami, dia akan minta izin dengan tuan tanah untuk mengerjakan tanah tersebut. Macam-macam che tanam...tembikai, kacang panjang, kacang bendi, timun, petola ular,ubi-ubian spt ubi kayu, ubi itik, ubi keling, ubi setelo, ubi badak, sengkuang dll. Tangan che sejuk, semua tanamannya menjadi. Semua hasil tanaman tu che gunakan untuk keperluan keluarga, selebihnya disedekahkan pada jiran-jiran dan dihantar untuk jualan di kedai-kedai kampung saya.Che kerjakan dengan tulang empat keratnya tanpa bantuan peralatan moden. Kebun sayur che pagar dengan buluh peleting yang sebesar ibu jari. Che ikat cantik-cantik dengan rotan yang che cari sendiri dalam hutan dekat kebun getah kami. Saya, walaupun anak gadis kampung belasan tahun pernah ikut che masuk hutan cari rotan.
Kadang-kadang che ambil upah meracun atau menebas. Che sentiasa bekerja dan tak pernah duduk diam...dan satu kelebihan che yang saya ingat, dia sentiasa sihat. Mungkin kerana gaya hidup sihat yang che amalkan. Siang hari che berhempas pulas bekerja untuk menyara keluarga, mengajar anak-anak kampung mengaji, malam che habiskan masa di surau, ada ketika che buka kitab cerita kisah-kisah nabi dan bab agama di surau. Balik surau che akan memicit betis mak sambil baca buku, kitab atau surat khabar di bawah cahaya pelita cermin. Che suami yang sungguh sabar kerana dia akan picit betis mak bukan sekali-sekala tapi setiap hari kerana mak saya memang selalu sakit. Che tidak pula minta dipicit atau mengeluh sakit-sakit kerana seharian bekerja!
Che seorang guru al quran di kampung saya.Anak murid che ramai..berpuluh-puluh orang. Che ajar mengaji secara sukarela tanpa sebarang upah. Selalunya anak-anak murid che tolong angkut air dari telaga, tolong basuh lantai, tolong sapu halaman rumah..dan rumah kami jadi sangat meriah Saya pun mengaji dengan che sampai saya jadi johan musabaqah al quran sekolah-sekolah Terengganu 2 tahun berturut-turut.(1984 & 1985). Che sangat gembira sebab saya dapat masuk musabaqah sampai peringkat kebangsaan. Che suruh saya cakap dengan ustaz yang dia nak turut serta ke Selangor dan tengok saya mengaji. Saya sungguh zalim waktu itu kerana tak benarkan che pergi...che kecewa. Sebenarnya, saya sangat malu kalau che tengok saya mengaji. Kalau ada apa-apa majlis kat kampung pun saya pesan che jangan tengok. Terukkan? Tapi saya muda dan akal pendek lagi waktu tu.. sekarang, bila dikenang-kenangkan saya rasa sangat menyesal..sungguh-sungguh menyesal tapi, semuanya tidak berguna lagi kerana che pun dah tiada lagi.
Che tidak pernah memukul saya,jentik telinga pun tidak. Tapi, dengan mak selalu lah saya kena, sebab saya agak nakal (nakal sikit je!).Walaupun che tak pernah pukul saya, dia selalu buat saya menangis. Masa mengaji lah! Bukan dia marahpun..hanya tegur tinggi sikit,"Huh, huruf apa tu?" saya pun mengaji sambil menangis. Che juga bersifat penyayang dan berjiwa halus. Satu hari che dengar lagi 'Burung Dalam Sangkar" nyanyian Emilia Contessa. Che cakap dengan adik bongsu saya, Imah yang baru umur 5 tahun. "Mah, burung kat rumah Pak Cik Hassan macam ni lah!" kata che sambil mengesat air matanya! Che selalu bacakan buku cerita untuk adik saya tu. Walaupun Imah dah pandai membaca tapi dia tetap suka dengar che bacakan buku cerita untuknya. Satu hari che baca buku cerita dongeng...cerita apa dah lupa, tapi cerita tu sungguh menyayukan che sebab dia bila sampai bab sedih che akan menangis walaupun hanya cerita dongeng! Imah pula suka suruh che baca banyak-banyak kali walaupun cerita tu dah diketahui. Che akan melayan dengan sabar.
Che suka membaca. Che beli surat khabar tiap-tiap hari di kedai Raja Nab kat Pintu Gerbang naik basikal. Bila sampai rumah kami berlari sambut che dan pakat tarik surat khabar tu sehelai seorang. Masa kami kecik-kecik & tak tahu jawi che beli surat khabar Utusan Melayu (Jawi) dan Utusan Zaman. Dah semua tahu baca jawi baru che beli surat khabar Berita Harian yang tulis rumi pulak! Sekali seminggu che beli Utusan Pelajar. Sebulan sekali che beli Dewan Pelajar. Almari kayu rumah kami penuh dengan buku-buku agama, bahkan che juga pelanggan tetap majalah Dian dan Kiblat!Dua minggu sekali che setia tunggu perpustakaan bergerak datang ke kampung saya dan pinjam buku macam-macam untuk kami adik-beradik. Saya sangat bangga dengan che sebab waktu tu tak ramai orang tua kampung saya boleh membaca!Walaupun che orang tua kampung pada 70an, tapi pandangan che tidak seperti orang-orang tua lain. Saya sangat berterima kasih dengan che kerana dia lah kami semua suka membaca dari dulu sehinggalah sekarang.
Che bijak. Di kampung saya che digelar 'Pak Lah Cerdik'. Saya selalu dengar soalan ini.
Soalan: "Anak sapa ni?"
Jawapan: "Anak Pak Lah?'
Soalan: " Pak Lah mana?'
Jawapan :"Pak Lah Cerdik."
Soalan:"Ooo, patutlah bijak macam Pak Lah Cerdik"
Saya masih ingat, menjelang peperiksaan che akan akan sembahyang hajat, baca yasin dan macam-macam doa tiap-tiap malam. Lama pulak tu. Saya sungguh terharu dengan pengorbanan che dan jauh di sudut hati rasa sangat bersalah sebab tak belajar bersungguh-sungguh. Mujur juga, berkat doa che yang tulus saya berjaya juga lulus SPM pangkat 2...dan dengan kelulusan itulah saya berjaya menjadi seorang guru lulusan maktab perguruan. Sayangnya che sudah tiada sewaktu saya diterima memasuki maktab perguruan tengku ampuan afzan, kuantan.
Che seorang yang sangat seni. Hasil tangan che, seperti lekar yang dibuat daripada anyaman akar pokok periuk kera sangat menarik dan tak akan ditemui di mana-mana. Saya pernah ikut che cari akar periuk kera dalam hutan berpaya dekat kebun getah kami. Banyak che buat lekar dan dihadiahkan pada jiran-jiran serta saudara-mara. Setelah 20 tahun hasil kerja tangan che sudah tiada lagi kecuali di rumah arwah ibu saudara saya Mak Teh Kiah di Kg.Kuau, Bachok, Kelantan.
Che tidak merokok walaupun rokok daun. Che pun tak cerewet bab makan minum. Baginya kalau dia balik bekerja cukuplah ada nasi dalam periuk, air panas dalam bocong (termos) dan ikan kering. Kalau che rasa nak makan kuah che akan tuang air dalam pinggan. Kadang-kadang che buat air teh sendiri. Sungguh kehidupan che dan kami sekeluarga amat simple, sarapan ubi kayu rebus, ubi setelo rebus, ubi itik rebus, ubi badak rebus, ubi keling rebus atau pulut tanak makan dengan nyiur dan ikan masin.
Che tidak suka membazir. Sebab itu che mandi pakai 3 timba air saja. Che selalu suruh jangan membazir, che kata Nabi suruh berjimat guna air walaupun masa tu kita di tengah lautan!
Pada 24.4.1985 saya dengar emak minta che pergi pejabat pos ambil duit untuk perbelanjaan saya masuk ke tingkatan 6 sm tengku mahmud, besut. Che pun menunggang motosikal Honda C70 (che beli tunai tunai moto tu.) untuk ambik duit di pejabat pos kg.buluh. Oleh kerana masih awal dan pejabat pos pun belum buka, che pergi la ke kedai dulu..dan sewaktu menyeberang jalan itulah motosikal yang ditunggang che telah dilanggar oleh sebuah teksi. Che terus dibawa ke hospital besar K.Terengganu dan meninggal dunia di sana. Jenazah che dibawa balik dan sampai menjelang senja. Emak dan saudara mara memutuskan upacara pengkebumian akan diadakan pada keesokan harinya. Malam itu jenazah che ditempatkan di atas katil dalam bilik. Sayalah satu-satunya orang yang tidur di atas tikar dalam bilik itu. Saya tidak berasa takut, saya rasa itulah sumbangan terakhir saya pada arwah che sebelum dia dikebumikan.Sepanjang malam saya pandang jenazah arwah che yang ditutup dengan kain dan sehelai serban. Nampak wajah che kelihatan tenang seperti orang sedang tidur. Walaupun che meninggal akibat kemalangan jalan raya, syukurlah kerana fizikal che tak terjejas, hanya sedikit calar di tangannya. Waktu itu kesedihan saya tak terasa sangat sebab dia masih ada di hadapan saya, tetapi selepas che pergi saya berasa sangat rindu padanya. Kadang-kadang macam terdengar-dengar bunyi motor che balik ke rumah bawa balik adik saya dari sekolah. Waktu itulah kerinduan saya rasa bagai tak terbendung lagi....
Setelah 24 tahun che pergi, sayapun sudah ada suami dan 4 orang anak. Tapi kenangan bersama che tidak kunjung padam.Saya ada banyak lagi cerita tentang che saya. Mengenang che akan menjadikan air mata mengalir tak henti-henti. Sebaris ayat dari emak," Kalu mu sayang che mu,sentiasa doakan dia dan jadilah anak yang soleh.Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa arwah che dan menempatkan rohnya di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.
Kak G... Sesungguhnya Che tiada tandingnya... I'm so grateful to be his daughter walaupun cuma untuk 7 tahun dapat bersama dia... I will never forget those moments bila Che setia dengar saya "baca" suratkhabar (walaupun tak pandai baca lagi masa 5 tahun tu.... Dan masa balik2 dari surau, Che akan dukung saya atas tengkuk dia sebab ingatkan saya dah tidur, saya ingat sebab saya bukannya tidur pun, tapi saja suka didukung...
ReplyDeleteYa Mah, & tugas kita untuknya belum lagi selesai. Marilah sedekahkan al fatihah dan apa-apa yang patut untuknya.Kak G selalu kalau baca Yassin untuk che mesti nangis...rasa dia sangat dekat di hati kita kan?
ReplyDeleteKak G, you have given me that missing piece that I have never found before. The way you wrote this really touches me deep inside. I can see Amie with tears in her eyes right now. She said that she was too young to remember like you did. I really hope I can be a father as great as my father-in-law. Thank you for sharing with us the precious memory of Che.
ReplyDeleteBaca citer kak g n abg, air mata saya menitik..sayu. Che memang ayah yang penyayang dan lelaki yg berwibawa.Al-fatihah utk arwah Che
ReplyDeleteTingat turun naik bukit sebelah rumah Makda masa Che tanam timun cina dulu, best je kita main2 kat situ. Dah dewasa baru paham dan hargai susah payah Che & Mak besarkan anak2. Sekarang ni hanya doa sajalah yang mampu dihulurkan untuk gemulah Che.
ReplyDeleteTa & Naim, sesiapa yg mengenali che memang sgt terasa kehilangannya.Cik Ngah jiran kami pernah datang ke rumah 5,6 tahun lepas che meninggal. Dia nangis-nangis teringat ke che bila dengar azan kat surau.Bagi kami kehebatan & kewibawaan che memang tiada tolok bandingnya.
ReplyDeleteJudin, time gi buat kerek timun cina, siram dan memetik hasil tu sgt menyeronokkan kita. Che ajar kita jentik-jentik timun cina tu untuk pastikan dah cukup masak sebelum dipetik. Pelajaran ini kita tak dapat di sekolah....