Saturday, November 3, 2012

Saya & Kg. Mela

Selalu saya bercerita tentang kampung halaman saya, tanah tumpah darah saya di Terengganu..tapi hari ini saya ingin bercerita tentang saya dan Kg. Mela.

Pada suatu hari yang tenang, komputer saya baharu saja diperbaiki setelah diserang virus yang menyebabkan ianya langsung tidak dapat dibuka..saya dengan rasa teruja melayari internet. Tiba-tiba mata saya 'tertangkap' satu laman facebook Anak Mela di Perantauan.

Eh, blog saya dilinkkan ke situ! Selama ini saya menyangka tidak ada yang membaca blog saya kecuali adik-adik saya saja. Anak-anak saya selalu bertanya," Mak, ada orang baca ke blog mak ni?" dan saya jawab," Mak tulis blog bukan untuk dibaca oleh orang lain..ia adalah catatan2 kenangan dan peristiwa yang terlintas di fikiran untuk syok sendiri saja."...dan sudah menjadi kebiasaan pula untuk saya mengulang-ngulang kembali membaca catatan yang telah saya buat..hehe, kiranya saya yang tulis dan sayalah yang membacanya! Menulis untuk diri sendiri!

Kg.Mela (lebih dikenali sebagai Mela), sebuah perkampungan tradisi yang terletak dalam daerah Kuala Lipis tetapi bersempadan dengan daerah Jerantut, bahkan bandar Jerantut lebih dekat berbanding Kuala Lipis. Saya mula kenal Mela bila saya menjadi menantu orang Pahang. Ibu mertua saya merupakan anak jati Mela, tetapi berhijrah ke Kg.Sepial yang juga merupakan jiran Mela apabila berkahwin dengan bapa mertua saya. Walaupun tinggal di Kg.Sepial, mertua saya menyekolahkan beberapa orang anaknya di Mela kerana kesukaran ke sekolah di Kuala Tembeling, maklum sajalah sekitar tahun 60an dan 70an, tiada kemudahan pengangkutan dan jalanraya yang baik.

Mela, kampung yang agak 'happening' dan juga pusat aktiviti masyarakat setempat. Pekan seharinya pada setiap Sabtu sangat meriah. Ketika saya berulang alik belajar di Kuala Lipis beberapa tahun lepas, saya dapati sepanjang jalan dari Lipis ke Mela sentiasa ada warga tua menunggu bas untuk ke pekan sari tersebut seawal jam 7.00 pagi lagi..ada juga sesekali saya menumpangkan beberapa orang dari Kg.Serdang ke Mela.

Hampir semua warga Mela ada pertalian darah sama ada jauh atau sekadar bau-bau bacang. Maklumlah zaman dahulu penduduk lebih senang mengahwinkan anak mereka dengan masyarakat setempat. Hanya pada era globalisasi ini barulah orang Mela mula melebarkan tali silaturrahim dengan orang-orang jauh. Ramai anak-anak orang Mela tinggal di luar dan menyandang jawatan tinggi dan bergaji besar .

Nota: Maaf, cerita saya tergantung. Saya dah tulis post ni lebih 2 tahun lalu..lama kan? Dah agak basi dan berkulat..alah, kalau berkulatpun x mengapa. Tiba2 hari ni baru rasa nak publish draf yang tersimpan lama ni..

2 comments:

  1. niat kita menulis utk diri sendiri, maklumlah usia kita pun bukan makin muda. blog jadi rujukan. tapi kadang2 kita rasa pelik bila tengok ramai yg dok online blog kita, rupa2nya ada org linkkan kat somewhere..
    najmiah,kg.Mela, unik nama tu. macamana rupa kg ni agaknya

    ReplyDelete
  2. Saya pernah singgah di Mela lebih 20 tahun yang lalu semasa temuduga maktab di Kuala LIpis. Lepas tu tak pernah menjejakkan kaki lagi. MOga dapat juga pergi ke sana suatu hari nanti.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH