Wednesday, October 31, 2012

..terlupa..

Saya percaya semua orang pernak terlupa. Maklum sajalah terlupa itu sifat manusia selaku hambaNya  yang lemah. Beruntunglah seseorang yang diberikan ingatan yang kuat..namun sifat terlupa bukanlah bererti lemah kerana ada ketikanya kelupaan itu menjadi semangat dan titik mula kehidupan baharu. Contohnya lupa pada sesuatu peristiwa hitam, trauma, sedih atau jenayah. Dengan sebab terlupa seseorang boleh bangkit semula dan tidak terus-menerus mengingat peristiwa itu.
Photo: En.Google

Dua tahun lalu seseorang menghubungi saya melalui facebook. Katanya dia rakan sekelas saya semasa di SMTI dulu. Puas saya cuba mengingatinya, namun saya tidak dapat mengecamnya. Katanya dia orang paling tinggi dalam kelas. Dia turut menyenaraikan nama rakan-rakan saya yang lain dan apa aktiviti kami dalam kelas semasa bersekolah dulu. Masya-Allah, Denan, Mail, Hasmat, Kuri, Asri, Aminuddin, Tahyuddin, Kamal, Maznah, Che Abdu Fatah, Mokhtar, Azmi, Luzi, Syukri, Wan Ikmal, Zulhairi dan beberapa orang lagi saya ingat. Semasa saya di Tingkatan 4 & 5, rakan sekelas saya bukanlah ramai sangat, kami cuma seramai 20 orang sahaja...namun nama Azuwi ini tiada dalam pita memori saya. Saya meminta maaf kerana saya memang langsung tidak ingat. Akhirnya kata Azuwi,"Tak.apalah awak tak ingat saya. Yang penting awak kawan saya dan saya tetap kawan awak." Ayat ini sungguh menyentuh hati saya...sehinggalah pada satu hari seorang sahabat saya yang lain mengupload gambar-gambar semasa kami bersekolah dulu. Allahuakbar, baru saya ingat semula siapa Azuwi ini. Barulah saya teringat Azuwi dan set pata inilah selalu bawa 'anak kalei' ke sekolah , manakala saya dan Hasmat bawa colek untuk dicicah dengan anak kalei tadi. Ya, dia memang paling tinggi dalam kelas, kami selalu berbual @ berborak dalam kelas. Dia dengan loghat Setiunya yang pekat manakala majoriti kami bercakap dialek Besut.

Bulan lepas, saya dan suami dikunjungi oleh beberapa orang saudara. Gembiranya kami menerima tetamu datang bertandang ke rumah. Sayapun buatla minuman dan menggoreng apa-apa yang patut. Setelah menghidang juadah sayapun duduklah bersama-sama tetamu di ruang tamu rumah saya. Sedang seronok berbual tiba-tiba asap kelam sampai ke ruang tamu. Saya terus berlari ke dapur dan mendapati   
api dapur saya masih menyala..bahkan telah menyambar minyak di dalam kuali tersebut. Para tetamu turut bergerak ke dapur...huwaa..saya terlupa padamkan api! Apa lagi, dapat ceramah freelah lepas tu..namun hal ini bukanlah disengajakan..saya TERLUPA.

..terbaru, saya membelikan 2 tiket kereta api untuk anak saya pergi dan balik dari Pasir Mas ke Jerantut sempena cuti Hari Raya Adil Adha. Malangnya saya terlupa di mana saya letakkan tiket tersebut. Puas dicari, tidak juga berjumpa. Akhirnya saya terpaksa beli tiket lain kerana tidak mahu anak saya tiada tempat duduk dalam kereta api. Tak pasal-pasal tambang balik sudah meningkat sekali ganda. Apa boleh buat..saya TERLUPA.

Banyak lagi kisah-kisah 'kelupaan' saya...namun biarlah ia menjadi kenangan dan peringatan untuk saya. Ya Allah, jauhkanlah sifat lupa dariku. Jadikan aku orang yang sentiasa taat dan mengingatiMu selalu selalu. Amin.

Glosari:  1. set pata   sekumpulan rakan yang datang dari kawasan pantai, cth: anak nelayan dll. 
              2. anak kalei : Anak ikan yang bersaiz kecil yang telah direbus dan dijemur seumpama ikan bilis,
                                                cth anak ikan selayang, kembung, tamban dll.
              3. colek        : campuran cuka, garam, gula, belacan dan lada kecil.

3 comments:

  1. apa kurangnya saya. kadang2 dah masuk kedai tapi lupa nak beli apa, heee. saya cuba atasi masalah lupa saya dgn gajet masa kini, catat mana2 yg penting dan pasang "alarm" pada waktu tertentu utk mengingatkan saya..

    ReplyDelete
  2. lupa yang tu memang selalu la ..nak gi bayar bil..lupa bawa bil. Buat catatan..idea yang baik. Saya tiru idea ni ya.

    ReplyDelete
  3. Bab lupa ni rasanya keadaan saya semakin parah. Peringatan Allah betapa singkatnya masa yang tinggal utk kita..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH