Friday, June 15, 2012

Buah-buahan Nadir

Petang-petang begini, melihat halaman rumah yang tandus dan gersang..saya teringat buah-buahan nadir yang banyak di sekeliling rumah ketika saya kecil-kecil dulu. Hasil carian melalui laman web Perbadanan Perpustakaan Negeri Kedah,maksud pokok nadir ialah  pokok buah-buahan yang kebanyakannya dibiarkan dalam keadaan separuh liar tanpa penjagaan yang sempurna. Biasanya banyak terdapat di kampung-kampung sama ada di halaman rumah, di dusun kecil bersama pokok buah-buahan yang lain atau di pinggir hutan. Petang-petang beginilah saya merayau-rayau mencari buah-buahan yang boleh dimakan, maklum sajalah zaman dulu-dulu,jarang-jarang dapat beli buah-buahan. Ok lah, kita cerita sambil layan gambar-gambar hasil kerjasama pak cik google..
Ini buah gucil. Buahnya kecil-kecil dan bergugus seperti lada hitam. Saya suka makan buah ini ketika bersekolah rendah dulu..tapi buah ini tidak ditemui di kampung saya..dan sayapun tidak tahu bagaimanakah rupa sebenar pokok ini. Buah gucil ini dibawa ke sekolah oleh kawan-kawan saya yang tinggal di Kg.Chalok terutama Nik Khatijah dan Ku Fatimah. Mereka inilah peniaga kecil-kecilan buah gucil yang sangat laris pada waktu itu. Cara makannya sangat mudah..walaupun rasanya masam-masam manis, kami makan begitu saja..

buah-khiyat2
Ini pula buah khiyat, rasanya juga masam-masam manis..juga tidak terdapat di kampung saya. Namun saya tahu pokok ini kerana pernah mengikuti rakan baik saya, Hasmat Mohamed ketika saya di bawa ke kebun ayahnya. Kebun ini terletak berhampiran simpang Jalan Penarik di Kg Buloh..tidak jauh dari rumah rakan sekolah saya Irami Ismail. Sekarang, kebun itu sudah tiada, rumah Irami pun sudah hilang ditelan arus pembangunan. Pokok khiyat ini tidak besar, buahnya pun tidaklah istimewa sangat tapi memberi satu kenangan bila terkenangkan Hasmat memanjat pokok ini dengan cekap sekali.dan kami memakan buah ini dengan penuh mesra. Sekarang, sesekali bila ke Kedai Sari yang diadakan setiap pagi Sabtu di Kg.Buloh saya ada nampak buah ini dijual, namun rasanya sudah tidak sesedap dulu..mungkin kerana saya makan sendirian..
Buah sentul ini sungguh menggiurkan! Che saya tidak tanam pokok ini, tapi jiran sebelah rumah Pak Su Yahya Mak Su Chik ada sepohon pokok sentul yang agak besar. Bila tiba musim buah sentul, kami tumpang sekaki merasai buah ini. Kadang-kadang kami makan colek cicah dengan cuka campur garam, gula, belacan dan cili padi. Kadang-kadang dijeruk. Buah sentul Pak Su Yahya ini jenis kecil sahaja berbanding buah sentul di rumah Pak Cik Hassan Mak Cik Esah. Kadang-kadang kami pakat menggetah reriang yang sangat suka hinggap di pokok sentul ini.  
Ha, inilah buah yang banyak terdapat di sekeliling rumah saya..jambu batu atau kami panggil jambu butir banyak. Jambu butir banyak ini jenis yang tumbuh meliar dan agak keras, tidak seperti buah jambu batu zaman sekarang. Jambu batu ini sangat membangkitkan nostalgia..panjat pokok jambu, jatuh pokok jambu dan tidak dilupakan peristiwa bila che saya dapat sebiji jambu butir banyak yang sudah masak. Che akan kupas kulit jambu ini dan dipotong sejuring-juring lalu dibahagikan kepada kami adik beradik. Tentu budak-budak sekarang tidak mahu makan jambu butir banyak yang sudah masak ini kerana ianya sudah lembik dan tidak enak lagi.
     

Inilah antara buah-buah jambu yang sentiasa mewarnai kehidupan saya...jambu keling, jambu mawar dan jambu golok.

Buah nangka ini masih diperingkat putik. Saya mencari baba nangka tetapi tidak ditemui di kampung google ini. Baba nangka ialah putik nangka yang masih kecil, sebesar jari dan biasanya baba nangka ini tidak akan menjadi nangka sebaliknya akan gugur sebelum tua. Baba nangka ini dikenali melalui ciri-cirinya yang berbulu halus. Buahnya jika ditanya sekarang, tidak sedap langsung dan rasanya kelat. Namun di musim tiada buah-buahan, baba nangka ini pilihan terbaik untuk kami. Ianya dipotong kecil-kecil, bulat-bulat seperti duit 10sen, kemudian dicicah dengan cuka campur garam, gula, belacan dan lada cengik. Bila dimakan beramai-ramai atas'gerei' bawah pokok, semakin bertambah sedap sampai bibir kami jadi pucat dan biru penangan cuka colek tadi! 

Sekian dulu lah sebagai pemanas blog kerana lama tak menulis. Ayat-ayat pun tidak tersusun, agak lintang pukang..lagipun siapalah nak baca blog saya ni. Sekadar untuk syok sendiri saja..haha.

2 comments:

  1. buah sentul tu sama tak dengan buah setoi? macam pernah nampak kawan2 SP cicah dgn kicap+ gula ..rasanya kelat2 masam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. ..betul sangatlah tu Anim..yang dah dijeruk lagi best..

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH