Sunday, April 26, 2009

Che- sempena ulangtahun ke 24 pemergian ke alam baqa.

Dollah bin Deraman. Itulah lelaki istimewa dalam hidup saya. Saya tidak tahu bila dia dilahirkan sbb orang dulu-dulu bukan ada sijil lahir.24 April 1985 adalah tarikh dia pergi meninggalkan kami semua dalam usia lebih kurang 65 tahun. Dia saya panggil 'che' yang bermaksud ayah. Dia memang sangat istimewa, mari lihat keistimewaan che saya ini.Saya merasai pengalaman hidup bersama-sama che saya selama 18 tahun. Selama 18 tahun sudah cukup untuk saya mengenal hati budi seorang ayah, dan yang pastinya saya belum pernah lagi berjumpa dengan seorang ayah lain sehebat dia.Bagi saya che seorang manusia yang sangat rajin, penyayang, penyabar,bijak, alim, cermat dan banyak lagi yang positif.



Che tidak suka berhutang, biar sesusah manapun elakkan berhutang. Sebab itu walau hidup kami susah, hati kami senang sebab tidak hidup diburu hutang.1979, semua rumah kat kg saya dah cerah dengan bekalan letrik 12 jam, kami masih berpelita cermin kerana che tak mampu nak bayar deposit.Kami pun masih guna air telaga yang che gali sendiri walaupun orang lain semua dah ada bekalan air paip. Che berusaha menabung untuk mendapatkan kemudahan tersebut dan ketika aku berada di tingkatan 1(1980) barulah rumah kami ada api elektrik dan air paip.Che pantang tengok ada tanah lapang di kampung kami, dia akan minta izin dengan tuan tanah untuk mengerjakan tanah tersebut. Macam-macam che tanam...tembikai, kacang panjang, kacang bendi, timun, petola ular,ubi-ubian spt ubi kayu, ubi itik, ubi keling, ubi setelo, ubi badak, sengkuang dll. Tangan che sejuk, semua tanamannya menjadi. Semua hasil tanaman tu che gunakan untuk keperluan keluarga, selebihnya disedekahkan pada jiran-jiran dan dihantar untuk jualan di kedai-kedai kampung saya.Che kerjakan dengan tulang empat keratnya tanpa bantuan peralatan moden. Kebun sayur che pagar dengan buluh peleting yang sebesar ibu jari. Che ikat cantik-cantik dengan rotan yang che cari sendiri dalam hutan dekat kebun getah kami. Saya, walaupun anak gadis kampung belasan tahun pernah ikut che masuk hutan cari rotan.



Kadang-kadang che ambil upah meracun atau menebas. Che sentiasa bekerja dan tak pernah duduk diam...dan satu kelebihan che yang saya ingat, dia sentiasa sihat. Mungkin kerana gaya hidup sihat yang che amalkan. Siang hari che berhempas pulas bekerja untuk menyara keluarga, mengajar anak-anak kampung mengaji, malam che habiskan masa di surau, ada ketika che buka kitab cerita kisah-kisah nabi dan bab agama di surau. Balik surau che akan memicit betis mak sambil baca buku, kitab atau surat khabar di bawah cahaya pelita cermin. Che suami yang sungguh sabar kerana dia akan picit betis mak bukan sekali-sekala tapi setiap hari kerana mak saya memang selalu sakit. Che tidak pula minta dipicit atau mengeluh sakit-sakit kerana seharian bekerja!



Che seorang guru al quran di kampung saya.Anak murid che ramai..berpuluh-puluh orang. Che ajar mengaji secara sukarela tanpa sebarang upah. Selalunya anak-anak murid che tolong angkut air dari telaga, tolong basuh lantai, tolong sapu halaman rumah..dan rumah kami jadi sangat meriah Saya pun mengaji dengan che sampai saya jadi johan musabaqah al quran sekolah-sekolah Terengganu 2 tahun berturut-turut.(1984 & 1985). Che sangat gembira sebab saya dapat masuk musabaqah sampai peringkat kebangsaan. Che suruh saya cakap dengan ustaz yang dia nak turut serta ke Selangor dan tengok saya mengaji. Saya sungguh zalim waktu itu kerana tak benarkan che pergi...che kecewa. Sebenarnya, saya sangat malu kalau che tengok saya mengaji. Kalau ada apa-apa majlis kat kampung pun saya pesan che jangan tengok. Terukkan? Tapi saya muda dan akal pendek lagi waktu tu.. sekarang, bila dikenang-kenangkan saya rasa sangat menyesal..sungguh-sungguh menyesal tapi, semuanya tidak berguna lagi kerana che pun dah tiada lagi.



Che tidak pernah memukul saya,jentik telinga pun tidak. Tapi, dengan mak selalu lah saya kena, sebab saya agak nakal (nakal sikit je!).Walaupun che tak pernah pukul saya, dia selalu buat saya menangis. Masa mengaji lah! Bukan dia marahpun..hanya tegur tinggi sikit,"Huh, huruf apa tu?" saya pun mengaji sambil menangis. Che juga bersifat penyayang dan berjiwa halus. Satu hari che dengar lagi 'Burung Dalam Sangkar" nyanyian Emilia Contessa. Che cakap dengan adik bongsu saya, Imah yang baru umur 5 tahun. "Mah, burung kat rumah Pak Cik Hassan macam ni lah!" kata che sambil mengesat air matanya! Che selalu bacakan buku cerita untuk adik saya tu. Walaupun Imah dah pandai membaca tapi dia tetap suka dengar che bacakan buku cerita untuknya. Satu hari che baca buku cerita dongeng...cerita apa dah lupa, tapi cerita tu sungguh menyayukan che sebab dia bila sampai bab sedih che akan menangis walaupun hanya cerita dongeng! Imah pula suka suruh che baca banyak-banyak kali walaupun cerita tu dah diketahui. Che akan melayan dengan sabar.



Che suka membaca. Che beli surat khabar tiap-tiap hari di kedai Raja Nab kat Pintu Gerbang naik basikal. Bila sampai rumah kami berlari sambut che dan pakat tarik surat khabar tu sehelai seorang. Masa kami kecik-kecik & tak tahu jawi che beli surat khabar Utusan Melayu (Jawi) dan Utusan Zaman. Dah semua tahu baca jawi baru che beli surat khabar Berita Harian yang tulis rumi pulak! Sekali seminggu che beli Utusan Pelajar. Sebulan sekali che beli Dewan Pelajar. Almari kayu rumah kami penuh dengan buku-buku agama, bahkan che juga pelanggan tetap majalah Dian dan Kiblat!Dua minggu sekali che setia tunggu perpustakaan bergerak datang ke kampung saya dan pinjam buku macam-macam untuk kami adik-beradik. Saya sangat bangga dengan che sebab waktu tu tak ramai orang tua kampung saya boleh membaca!Walaupun che orang tua kampung pada 70an, tapi pandangan che tidak seperti orang-orang tua lain. Saya sangat berterima kasih dengan che kerana dia lah kami semua suka membaca dari dulu sehinggalah sekarang.



Che bijak. Di kampung saya che digelar 'Pak Lah Cerdik'. Saya selalu dengar soalan ini.

Soalan: "Anak sapa ni?"

Jawapan: "Anak Pak Lah?'

Soalan: " Pak Lah mana?'

Jawapan :"Pak Lah Cerdik."

Soalan:"Ooo, patutlah bijak macam Pak Lah Cerdik"



Saya masih ingat, menjelang peperiksaan che akan akan sembahyang hajat, baca yasin dan macam-macam doa tiap-tiap malam. Lama pulak tu. Saya sungguh terharu dengan pengorbanan che dan jauh di sudut hati rasa sangat bersalah sebab tak belajar bersungguh-sungguh. Mujur juga, berkat doa che yang tulus saya berjaya juga lulus SPM pangkat 2...dan dengan kelulusan itulah saya berjaya menjadi seorang guru lulusan maktab perguruan. Sayangnya che sudah tiada sewaktu saya diterima memasuki maktab perguruan tengku ampuan afzan, kuantan.



Che seorang yang sangat seni. Hasil tangan che, seperti lekar yang dibuat daripada anyaman akar pokok periuk kera sangat menarik dan tak akan ditemui di mana-mana. Saya pernah ikut che cari akar periuk kera dalam hutan berpaya dekat kebun getah kami. Banyak che buat lekar dan dihadiahkan pada jiran-jiran serta saudara-mara. Setelah 20 tahun hasil kerja tangan che sudah tiada lagi kecuali di rumah arwah ibu saudara saya Mak Teh Kiah di Kg.Kuau, Bachok, Kelantan.



Che tidak merokok walaupun rokok daun. Che pun tak cerewet bab makan minum. Baginya kalau dia balik bekerja cukuplah ada nasi dalam periuk, air panas dalam bocong (termos) dan ikan kering. Kalau che rasa nak makan kuah che akan tuang air dalam pinggan. Kadang-kadang che buat air teh sendiri. Sungguh kehidupan che dan kami sekeluarga amat simple, sarapan ubi kayu rebus, ubi setelo rebus, ubi itik rebus, ubi badak rebus, ubi keling rebus atau pulut tanak makan dengan nyiur dan ikan masin.



Che tidak suka membazir. Sebab itu che mandi pakai 3 timba air saja. Che selalu suruh jangan membazir, che kata Nabi suruh berjimat guna air walaupun masa tu kita di tengah lautan!



Pada 24.4.1985 saya dengar emak minta che pergi pejabat pos ambil duit untuk perbelanjaan saya masuk ke tingkatan 6 sm tengku mahmud, besut. Che pun menunggang motosikal Honda C70 (che beli tunai tunai moto tu.) untuk ambik duit di pejabat pos kg.buluh. Oleh kerana masih awal dan pejabat pos pun belum buka, che pergi la ke kedai dulu..dan sewaktu menyeberang jalan itulah motosikal yang ditunggang che telah dilanggar oleh sebuah teksi. Che terus dibawa ke hospital besar K.Terengganu dan meninggal dunia di sana. Jenazah che dibawa balik dan sampai menjelang senja. Emak dan saudara mara memutuskan upacara pengkebumian akan diadakan pada keesokan harinya. Malam itu jenazah che ditempatkan di atas katil dalam bilik. Sayalah satu-satunya orang yang tidur di atas tikar dalam bilik itu. Saya tidak berasa takut, saya rasa itulah sumbangan terakhir saya pada arwah che sebelum dia dikebumikan.Sepanjang malam saya pandang jenazah arwah che yang ditutup dengan kain dan sehelai serban. Nampak wajah che kelihatan tenang seperti orang sedang tidur. Walaupun che meninggal akibat kemalangan jalan raya, syukurlah kerana fizikal che tak terjejas, hanya sedikit calar di tangannya. Waktu itu kesedihan saya tak terasa sangat sebab dia masih ada di hadapan saya, tetapi selepas che pergi saya berasa sangat rindu padanya. Kadang-kadang macam terdengar-dengar bunyi motor che balik ke rumah bawa balik adik saya dari sekolah. Waktu itulah kerinduan saya rasa bagai tak terbendung lagi....



Setelah 24 tahun che pergi, sayapun sudah ada suami dan 4 orang anak. Tapi kenangan bersama che tidak kunjung padam.Saya ada banyak lagi cerita tentang che saya. Mengenang che akan menjadikan air mata mengalir tak henti-henti. Sebaris ayat dari emak," Kalu mu sayang che mu,sentiasa doakan dia dan jadilah anak yang soleh.Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa arwah che dan menempatkan rohnya di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Baca lagi>>

Monday, April 6, 2009

Satu pelajaran

Saya telah menjadi guru selama lebih kurang 20 tahun. Posting pertama di SK Batu Gajah, Kelantan pada 1.1.1989. Kemudian bertukar mengikut suami ke negeri Tok Gajah ini setahun kemudian dan terus menetap di sini sehinggalah sekarang. 20 tahun juga saya menjadi guru kelas, dari kelas Tahap 1, Tahap 2 dan sekarang Prasekolah. Saya telah menerima pelbagai jenis surat daripada ibubapa, panggilan telefon atau berhadapan terus dengan ibu bapa.
Hari ini saya terima sepucuk surat daripada seorang penjaga. Suratnya biasa-biasa saja, ditulis dengan tulisan tangan yang cantik. Tulispun di atas kertas biasa saja (koyak dari buku log...ala, buku tulis besar berkulit keras tu!). Surat bertarikh 6.4.2009 itu memberitahu perihal ketidakhadiran anaknya ke kelas saya. Jadi surat itu surat rasmi cuma tidak ikut format surat rasmi seperti yang saya ajar pada murid-murid saya dulu.
Tapi... surat ini lain, lain daripada yang pernah saya terima dulu! Ayat-ayatnya dari pembukaan begitu menyejukkan hati. Saya tidak pernah membaca surat yang sebegitu dari penjaga murid. Surat itu dimulakan dengan tulisan jawi bertulis Bismillah dan Assalamualaikum yang sangat cantik. Seterusnya diikuti dengan ayat ini:
Semoga Allah memberkati dan merahmati kehidupan dan ilmu yang dikurniakan Allah kepada cikgu.
Hati saya jadi terharu, sebab ini doanya untuk saya...guru yang mengajar anaknya di kelas prasekolah. Mungkin ini biasa pada orang lain, tapi saya melihat keikhlasan pada orang yang menulisnya. Dia mendoakan Allah memberkati dan merahmati kehidupan saya dan ilmu yang Allah berikan kepada saya. Bukankah dalam hidup kita, itulah yang kita inginkan? Saya melihat penulis ini mengajar anaknya menghormati guru, rasanya jika ibubapa terus menyemai sikap ini dalam diri anaknya , berkatlah ilmu yang anak dia dapat.
Saya melihat sikap bapa ini amat berbeza dengan kisah bapa dalam blog adik saya
( http://adamtajuddin.blogspot.com). Membaca surat tadi membuat saya bermuhasabah diri. Saya mendapat satu pelajaran yang berguna. Sayapun ada anak, tak lah ramai..4 orang saja. Semua anak saya masih belajar dan mereka juga ada guru kelas. Saya rasa saya juga patut mendoakan keberkatan guru-guru anak saya. InsyaAllah, selepas ini saya akan sentiasa mendoakan mereka dan semoga keberkatan itu juga sampai kepada anak saya...dan semoga Allah juga memberkati dan merahmati kehidupan guru-guru yang pernah mengajar saya dari dulu, kini dan akan datang. Semoga Allah juga mengampunkan dosa-dosa mereka.
Catatan : Sebenarnya saya dah scan surat tu, tapi tak ada siapapun yg nak ajar saya bagaimana nak
masukkan ke sini.
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Saya orang tua baru belajar,
Mana tak tau tolong ajarkan!

Baca lagi>>
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH