Monday, March 23, 2009

Ramai Guru Sakit jiwa

Saya tertarik hati dengan petikan berita dari surat khabar kosmo! hari ini. Rencana ditulis oleh Siti Nor Afzan Kasimin.Cuba-cuba lah hayati dan fahami situasi guru-guru di Malaysia sekarang:
Profesion perguruan terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan mental.
BEBANAN kerja sebagai guru semakin kompleks kerana selain mengajar, mereka juga terpaksa menyediakan soalan-soalan peperiksaan dari semasa ke semasa, mengisi buku kedatangan, buku disiplin dan ringkasan mengajar, borang kesihatan dan rekod kemajuan murid, kelab dan persatuan, serta mengendalikan persiapan hari sukan.
Justeru, guru-guru dikatakan terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan sehingga boleh membawa kepada penyakit mental yang serius seperti bipolar, kebimbangan melampau dan kemurungan.
Kajian oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendapati 70 peratus daripada 9,000 guru di seluruh negara tertekan bukan sahaja kerana beban tugas tetapi juga terpaksa berdepan dengan kerenah pengetua, kerani, ibu bapa dan juga pelajar.
MENURUT Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Nor Zuraida Zainal, setiap tahun dianggarkan 22,000 pesakit mendapatkan rawatan di klinik dan wad psikiatri hospital berkenaan. Kira-kira 10 peratus daripada mereka terdiri daripada golongan guru. “Guru sekarang tidak seperti guru zaman dahulu. Guru sekarang terbeban kerana banyak tugasan baru yang perlu dilaksanakan selain mengajar.“Di samping sibuk dengan aktiviti persatuan, panitia, kelab, rumah sukan, kursus dan gerak kerja luar sekolah, guru-guru juga perlu berdepan dengan tekanan lain.“Mereka turut berhadapan dengan perangai pelajar dan kerenah ibu bapa serta pengetua yang sentiasa menaruh harapan tinggi untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.

Ramai ibu bapa, tidak kira di bandar atau di luar bandar, masih menganggap bahawa sekolah dan pusat tuisyen ialah tempat untuk mendidik anak mereka dan menyerahkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada guru.

Apabila ada anak yang gagal, sesetengah ibu bapa terus menuding jari kepada guru sedangkan kejayaan para pelajar tidak hanya bergantung kepada pengajaran di sekolah.

Bercakap mengenai gejala tekanan yang sering dialami oleh pesakit-pesakitnya yang juga guru, Nor Zuraida memberitahu, kebanyakan mereka menghidap kecelaruan bipolar iaitu kewujudan pelbagai karakter yang berlawanan dengan keadaan guru terbabit sebelumnya. Ini diikuti kebimbangan melampau dan kemurungan.

“Mereka yang mengalami kecelaruan bipolar nampak sihat seperti biasa, malah pada tahap hipoaktif, mereka menjadi rajin dan produktif dalam melakukan sebarang kerja walaupun tidak mempunyai waktu rehat yang cukup.

“Tetapi kerja yang dilakukan tidak pernah habis dan ini yang mendatangkan sangsi kepada orang di sekeliling mereka,” katanya.

Tiga faktor utama yang menyebabkan tekanan ialah keturunan, faktor sekeliling seperti kerja dan jaringan sosial seperti keluarga, rakan-rakan dan masyarakat.Sekiranya terdapat keturunan yang mempunyai masalah jiwa, risiko untuk guru mendapat tekanan menjadi lebih tinggi.

Malah, jelas Nor Zuraida, guru yang tertekan berisiko empat kali ganda lebih tinggi untuk mendapat penyakit kritikal seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.
“Tanda-tanda awal penyakit ini bermula dengan kemurungan. Guru akan mula hilang tumpuan mengajar, bosan, pendiam dan jika berlarutan mereka tidak mampu lagi untuk mengajar dan melakukan aktiviti harian.

“Sekiranya wujud keadaan-keadaan seperti ini, pihak pengurusan sekolah perlu memahami dan membantu guru berkenaan dengan mengurangkan waktu dan kelas mengajar serta memberi kelonggaran untuk menjalani terapi dan kaunseling,” jelas Nor Zuraida.

(saya tak mahu nak ulas apa-apa, tapi lihatlah di sekeliling kita. Tidakkah kelihatan tanda-tanda seperti di atas pada diri kita atau orang yang kita sayang? Bantulah diri kita dan sahabat kita keluar dari tekanan!)

6 comments:

  1. Rasanya kerja apa2 pun memang byk tekanan sekarang ni. Tapi tekanan tu I think is all in one's mind.Kalau terlebih fikir, tu yg tambah tertekan tu. Tapi kalau tak fikir, kerja pun tak siap plak, tak produktif. Nak kena pandai balance la...

    ReplyDelete
  2. kak g, i baca paper semalam, katanya jerantut kena gempa bumi kecil, kak g tak rasa ke?

    ReplyDelete
  3. memang ada gegaran tp kat my school x rasa, kat sekolah abg jak memang rasa, goyang2 jg katanya...riuh jg la kat sekolah dia tu.

    ReplyDelete
  4. slm.. erm takut juga mendengar isu ni heh heh hhe. May be guru tersebut gagal dalam bab pengurusan konflik dan masalah..

    ReplyDelete
  5. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  6. Saya berdoa setiap guru seluruh dunia, khususnya di negara kita mempunyai EQ dan SQ yang tinggi dan mampu mngawal diri dalam sebarang keadaan semasa di sekolah atau di luar sekolah serta mampu mengekalkan identiti guru supaya profesion kita sentiasa dihormati...Kita harus menjadi guru yang "guru".....

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH