Friday, December 6, 2013

Corat-coret Haji 1434H - 3

Beberapa hari di Madinah, rutin harian seperti biasa. Pukul 3 pagi kami dah ke Masjid Nabawi. Pukul 8.30 pagi balik ke hotel untuk sarapan. Pukul 11.00 pagi ke masjid semula untuk solat Zohor dan pukul 1.30 balik untuk makan tengah hari. Pukul 2.00 pergi lagi untuk solat Asar. Kadang-kadang terus sehingga lepas Isyak baru balik untuk makan malam dan tidur. Kalau kami puasa, lagi senang sebab tidak perlu fikirkan tentang makan lagi..hehe..

Hari ke-4 selepas selesai membaca quran saya masukkan telefon bimbit saya ke dalam poket seluar kemudian solat Isyak berjamaah. Selesai solat saya terus ambil beg dan  keluar tanpa menoleh ke belakang. Bila sampai hotel saya meraba-raba poket seluar..hah, tiada! Saya belek pula beg sandang yang dibekalkan oleh Tabung Haji, pun tiada! Saya amat yakin saya memang masukkan dalam poket tadi dan sah, ianya telah hilang! Subhanallah. Saya pasti telefon itu hilang kerana kecuaian saya. Poket seluar putih saya agak tohor dan tidak berzip. Telefon itu pula tidak ada cover, tentu mudah menggelongsor keluar.

Kehilangan telefon..bermakna kehilangan gambar-gambar berharga.  Saya tidak membawa kamera, dengan telefon itulah saya merakamkan apa sahaja yang menarik di mata saya. 

Memang sudah suratan takdirNya. Saya membuat kesimpulan sendiri tentang kehilangan telefon ini:

  • Allah memberi peringatan pada saya. Allah mahu saya fokus dan beri tumpuan  pada ibadah di Tanah Suci ini. Maklumlah, telefon saya ini walaupun tiada talian internet, tapi ada kamera walaupun gambarnya tidaklah cantik mana. Kadang-kadang saya baring di dalam masjid sebab sakit belakang duduk lama-lama. Di Masjid Nabawi agak selesa untuk berbaring kerana kawasan solat jemaah wanita berasingan dan tertutup dari pandangan kaum Adam. Sambil baring, kadang-kadang saya ambil gambar dalam masjid yang cantik ini. Ukiran dan rekaan yang penuh seni menarik hati saya untuk merakamkan dalam gambar, padahal di luar masjid sudah terpampang bahawa telefon berkamera adalah salah satu daripada barangan larangan yang dilarang dibawa masuk ke dalam masjid. Sebenarnya memang ramai pun jemaah yang bawa masuk Nah, sekarang inilah pengajaran berguna untuk saya.
  • Allah mahu membersihkan harta saya. Ya, telefon ini dibeli menggunakan duit gaji saya..tapi mungkin ada masanya saya cuai dalam pekerjaan saya..jadi, inilah caranya Allah mengingatkan saya. jadi saya perlu redha, semua milik Allah, bila-bila masa pun Allah boleh ambil dengan apa cara sekalipun.
  • Inilah ujian dari Allah. Dia mahu menguji kesabaran saya di saat kehilangan. Adakah kita akan mengeluh, marah-marah atau menyalahkan orang lain?
  • Allah mahu saya lebih berhati-hati. Sebab kehilangan ini memang kecuaian sendiri. Mungkin saya perlu bubuh zip pada poket seluar. Mungkin juga saya perlu pasang tali dan gayut di leher. Atau mungkin saya boleh bubuh dalam beg saja..
  • Allah mahu ganti dengan yang lebih baik. Wallahua'lam.                                                                                  
  •                  Inilah model telefon yang hilang itu..



1 comment:

  1. yup..saya setuju dengan cara menangani sesuatu masalah atau kehilangan. bak tulisan Ustaz Pahrol Juoi, Allah lebih besar dari masalah kita

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH