Arwah Za bersama emak,suami dan anak-anak.
Dia telah pergi..dia telah pergi..dia telah pergi..pergi ke tempat yang abadi, pergi yang tidak akan kembali lagi, kembali ke pangkuan Yang Maha Pencipta...
Adikku yang tersayang yang pernah saya ceritakan di sini telah kembali ke rahmatullah. Tidak terucap kata-kata betapa sedihnya kami sekeluarga dengan pemergiannya. Dia adik saya yang terbaik..paling baik, diakui oleh semua ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai..dia yang sentiasa tulus, tidak suka marah, sentiasa tenang..Allah, orang yang kami sayang ternyata disayangi Allah juga, dia pergi tepat jam 12.00 tengah malam Jumaat, 27 Januari 2012 di Hospital Sultanah Nur Zahirah, K.Terengganu.
Za mula dirawat di HSNZ setelah dirujuk dari Hospital Setiu pada pagi 24 Januari 2012. Za dibawa ke Hospital Setiu setelah tidak sedarkan diri pada awal pagi tersebut. Malam pertama dan kedua di wad HSNZ, saya dan K.long menjaganya, malam ke-3 ditunggu pula oleh dua orang saudara kami dan pada malam pemergiannya oleh anak dan saudara. Pada malam tersebut, suaminya Cik Mail telah memberi perkhabaran bahawa keadaan Za tidak stabil dan agak kritikal. Ketika bersiap untuk ke hospital, Cik Mail memaklumkan bahawa Za telah pergi..
"Kak pergi dengan molek..kak pergi dengan molek..!" kata Mok Cek, saudara yang berada di sisi Za ketika dia menghembuskan nafas terakhir. Turut berada di sana ialah Mat Ju, suami Mok Cek dan Cik Mail (suami Za).
Sungguh adikku Za itu orang yang terpilih. Pemergiannya pada malam Jumaat yang syahdu, semua urusan pengebumiannya berlangsung dengan mudah dan lancar. Proses membawa balik jenazahnya pun mengambil masa yang singkat. Sangat mengharukan, sungguh ramai saudara dan sahabat yang datang menziarah. Rakan-rakan se-MRSM K.Trg yang Za sebut-sebut nak jumpa di hari-hari akhir umurnya turut datang berziarah. Adik-adik iparku Azhar, Naim dll beberapa kali terhenti bacaan Yassin kerana sangat terharu..apatah lagi kami adik beradik yang sangat rapat dengan arwah Za. Adikku Azimah menulis di wall FBnya, "Alhamdulillah, dia pergi dengan tenang di mlm Jumaat yang penuh berkat."Allahuakbar", kalimah terakhir terucap di bibirnya, bibir seorang insan mulia yg tidak pernah bercakap kasar dengan sesiapapun. Jenazahnya selamat dikebumikan tengah hari tadi, dalam cuaca redup dan nyaman sepanjang hari. Kami bersedih, namun kami redha. Perancangan Allah sememangnya cantik. terima kasih ya Allah kerana menamatkan penderitaannya." Baca pula catatan di blognya.
Za itu yang selalu sakit sebenarnya juga seorang yang sangat bertuah. Dia yang dikurniai Allah seorang suami yang juga sangat baik, sentiasa dimurahkan rezeki, disayangi oleh semua anak-anak saudara bahkan anak-anak sepupu juga anak jiran-jiran. Dia tidak pernah mengeluh meskipun kepalanya selalu sakit dan sering juga muntah-muntah. Ketumbuhan dalam otak dideritainya sejak lapan tahun lalu menyebabkan tangannya sentiasa memegang kepala..Ya Allah, selalu saya rasa kepalanya panas..tangan saya panas..bagaimana agaknya kepalanya yang menanggung? Dia yang tidak bekerja tidak pernah berhutang dengan kami adik beradiknya sebaliknya pula berlaku. Dia pergi tanpa membawa bebanan hutang..suami meredhai, ibu meredhai, semua orang meredhainya..Allahuakbar, istimewanya adikku itu..Kak Nun, kakak iparnya berkata, mereka sekeluarga tidak pernah terasa hati atau berkecil hati dengan Za bahkan dia sendiri menganggap Za itu adiknya sendiri, bukan adik ipar..
Saat menciumnya buat kali terakhir, adalah detik paling mengharukan. Dia meninggalkan seorang suami dan 4 orang anak berusia 8 - 19 tahun, semua masih belajar..juga seorang ibu yang juga semakin uzur dan seorang abang yang turut tinggal bersamanya. Emak yang demam panas dan darah rendah sebaik Za dibawa ke hospital kelihatan tenang, namun air mata sentiasa bergenang dan mengalir dari pipi tuanya itu. Abang Li saya juga turut mencium pipi adik kesayangannya sambil menyapu wajah Za..sangat mengharukan. Abang Li la yang setia memicit kepala Za setiap hari, maklum saja suaminya sentiasa sibuk dengan urusan kerja. (Sehari selepas pemergian Za saya tengok Abang Li membaca komik Finding Nemo, tapi air matanya mengalir di pipi..Allahuakbar!)
Jenazah Za disembahyangkan di masjid kampung saya, seterusnya dibawa ke tanah perkuburan di hujung kampung. Ketika tiba, hujan turun renyai-renyai seolah-olah turut berduka dengan pemergiannya. Namun sebaik jenazah diturunkan hujan berhenti, cuaca nyaman dan tenang walaupun waktu telah menginjak tengah hari. Alhamdulillah, Za telah selamat disemadikan sebelum solat Jumaat 27 Januari 2012.
Selamat jalan adikku, selamat pergi ke alam baqa'..kami akan menyusulmu pula nanti. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu dan semoga dirimu di tempatkan bersama roh orang-orang yang beriman..amin..