Friday, December 6, 2013

Banjir ..laporan ringkas

Rakan blogger saya Anim menghantar mesej melelaui telefon bertanyakan banjir di tempat saya. Sayangnya mesej itu saya tidak terima sebab...saya dah tak guna nombor itu! Saya tahu Anim baca blog ini, jadi entry ini khusus untuk Anim ...hehe. 

Untuk pengetahuan Anim, rumah saya tidak terlibat dengan banjir. Syukur alhamdulillah. Sekitar bandar Jerantut juga tidak banjir, tetapi daerah Jerantut memang ada mangsa banjir. Tahun ini banjir agak besar juga. Jalan ke Kuala Tahan, Hulu Tembeling, Taman Negara ditutup kepada semua kenderaan. Begitu juga jalan ke Kuala Lipis melalui Kuala Tembeling juga ditutup pada semua kenderaan. Akibatnya saya sekeluarga tidak dapat pulang menziarahi anak sepupu suami yang menjadi korban pertama banjir di Pahang tahun ini. Arwah merupakah anak sulung sebaya anak saya, masih belajar di USIM. Jatuh dalam air ketika menjaring ikan. Allahuakbar. Sudah tiga hari, jalan masih ditutup. Ibu bapa mertua sayapun gagal dihubungi melalui telefon. Rumah mak mertua saya atas bukit, juga terlibat banjir, hanya mereka ni terperangkap tak boleh keluar masuk ke tempat lain. Nak balik menjenguk, tak dapat. Semoga Allah melindungi mereka berdua selalu.

             Photo: Nak balik kg ziarah sepupu suami meninggal dunia korban banjir..tapi tak lepas...tgk la jln ni kat jambatan paya teh.
Jalan yang ditutup ini hanya 1km dari rumah saya. Sudah 3 hari begini. Pagar jambatan pun tenggelam tidak kelihatan. Air dari Sungai Pahang ini naik  mendadak tapi lambat pula surutnya. Walaupun rumah mak mertua saya hanya 15 minit dari rumah saya, tapi ada beberapa tempat lagi seumpama ini di laluan ini.

Banjir teruk di Kuantan, Kakak ipar saya sekeluarga yang tinggal di Taman Kasturi khabarnya menjadi mangsa banjir. Sungguh sedih, rumah, kereta semua tenggelam dalam air banjir. 

Nampaknya inilah saja laporan ringkas banjir, secara ekslusif dari pinggir Sg Pahang..hehe..

Baca lagi>>

Corat-coret Haji 1434H - 3

Beberapa hari di Madinah, rutin harian seperti biasa. Pukul 3 pagi kami dah ke Masjid Nabawi. Pukul 8.30 pagi balik ke hotel untuk sarapan. Pukul 11.00 pagi ke masjid semula untuk solat Zohor dan pukul 1.30 balik untuk makan tengah hari. Pukul 2.00 pergi lagi untuk solat Asar. Kadang-kadang terus sehingga lepas Isyak baru balik untuk makan malam dan tidur. Kalau kami puasa, lagi senang sebab tidak perlu fikirkan tentang makan lagi..hehe..

Hari ke-4 selepas selesai membaca quran saya masukkan telefon bimbit saya ke dalam poket seluar kemudian solat Isyak berjamaah. Selesai solat saya terus ambil beg dan  keluar tanpa menoleh ke belakang. Bila sampai hotel saya meraba-raba poket seluar..hah, tiada! Saya belek pula beg sandang yang dibekalkan oleh Tabung Haji, pun tiada! Saya amat yakin saya memang masukkan dalam poket tadi dan sah, ianya telah hilang! Subhanallah. Saya pasti telefon itu hilang kerana kecuaian saya. Poket seluar putih saya agak tohor dan tidak berzip. Telefon itu pula tidak ada cover, tentu mudah menggelongsor keluar.

Kehilangan telefon..bermakna kehilangan gambar-gambar berharga.  Saya tidak membawa kamera, dengan telefon itulah saya merakamkan apa sahaja yang menarik di mata saya. 

Memang sudah suratan takdirNya. Saya membuat kesimpulan sendiri tentang kehilangan telefon ini:

  • Allah memberi peringatan pada saya. Allah mahu saya fokus dan beri tumpuan  pada ibadah di Tanah Suci ini. Maklumlah, telefon saya ini walaupun tiada talian internet, tapi ada kamera walaupun gambarnya tidaklah cantik mana. Kadang-kadang saya baring di dalam masjid sebab sakit belakang duduk lama-lama. Di Masjid Nabawi agak selesa untuk berbaring kerana kawasan solat jemaah wanita berasingan dan tertutup dari pandangan kaum Adam. Sambil baring, kadang-kadang saya ambil gambar dalam masjid yang cantik ini. Ukiran dan rekaan yang penuh seni menarik hati saya untuk merakamkan dalam gambar, padahal di luar masjid sudah terpampang bahawa telefon berkamera adalah salah satu daripada barangan larangan yang dilarang dibawa masuk ke dalam masjid. Sebenarnya memang ramai pun jemaah yang bawa masuk Nah, sekarang inilah pengajaran berguna untuk saya.
  • Allah mahu membersihkan harta saya. Ya, telefon ini dibeli menggunakan duit gaji saya..tapi mungkin ada masanya saya cuai dalam pekerjaan saya..jadi, inilah caranya Allah mengingatkan saya. jadi saya perlu redha, semua milik Allah, bila-bila masa pun Allah boleh ambil dengan apa cara sekalipun.
  • Inilah ujian dari Allah. Dia mahu menguji kesabaran saya di saat kehilangan. Adakah kita akan mengeluh, marah-marah atau menyalahkan orang lain?
  • Allah mahu saya lebih berhati-hati. Sebab kehilangan ini memang kecuaian sendiri. Mungkin saya perlu bubuh zip pada poket seluar. Mungkin juga saya perlu pasang tali dan gayut di leher. Atau mungkin saya boleh bubuh dalam beg saja..
  • Allah mahu ganti dengan yang lebih baik. Wallahua'lam.                                                                                  
  •                  Inilah model telefon yang hilang itu..



Baca lagi>>

Wednesday, November 20, 2013

Corat-coret Haji 1434H-Episod 2

Ada sahabat bertanya, apa aktiviti di Madinah. Yang rasminya ada dua aktiviti utama iaitu ziarah luar dan ziarah dalam. Ziarah dalam ialah ziarah yang ke kawasan Taman Syurga atau Raudhah. Jemaah akan dibawa secara rasmi ke kawasan ini sekali sahaja, lepas itu pandai-pandai sendiri lah. Bagi jemaah lelaki tidaklah menjadi masalah kerana mereka boleh berziarah dalam ini pada bila-bila masa sahaja. Bagi jemaah wanita pula kenalah mengikut waktu-waktu yang telah ditetapkan iaitu selepas solat Subuh, selepas solat Zohor dan selepas solat Isyak. Tempoh menunggu untuk masuk ke kawasan Raudhah ada kalanya sampai 2 jam. Berasak-asak pula dengan jemaah yang berbadan besar dan gagah perkasa terutama dari Afrika, Pakistan dan negara-negara Arab lain. Kesabaran dan ketenangan sangatlah perlu di waktu-waktu begini.

Aktiviti lain ialah solat fardu berjamaah, solat-solat sunat, baca quran, zikir dan lain-lain mengikut hati masing-masing. Ada sahabat saya pergi Masjid Nabawi dari sebelum Subuh dan hanya akan balik ke bilik selepas Isyak. Seharian beramal di masjid. Ada pula sekadar beramal yang wajib sahaja, kemudian menghabiskan masa yang selebihnya menjana ekonomi penduduk Madinah. Saya dan suami sentiasa bersama ke masjid bersama-sama. Selalunya kami ke masjid sekitar pukul 3.00 pagi. MasyaAllah, rupa-rupanya waktu itu sudah ramai jemaah. Di dataran penuh jemaah berbaring dan tidur. Mulanya saya rasa pelik, tetapi kemudiannya saya faham mereka merupakan jemaah yang berkampung di situ. Mereka tidak mempunyai hotel atau tempat penginapan yang khusus. Di dataran itulah mereka tidur, makan mahupun solat! Nasihat kepada sesiapa yang belum pernah ke Masjid Nabawi, silalah ke masjid sekuarang-kurangnya sejam sebelum masuk waktu, kerana jika anda lewat bermakna anda tidak lagi dibenarkan masuk ke dalam masjid kerana sudah dipenuhi jemaah. Pukul 6.30 pagi kami keluar dari masjid. Di luar pagar penuh dengan peniaga yang menjual pelbagai barangan. Di situlah kami membeli cenderahati atau keperluan diri sebelum balik ke hotel. Membeli di awal pagi atau selepas Isyak  lebih selesa kerana cuacanya lebih nyaman.

Oleh kerana saya ke mana-mana dengan suami, tentulah saya berseorangan ke kawasan jemaah wanita. Jadi, tidak susah untuk saya menyelit di mana-mana saf. Selalu saya masuk jauh ke dalam, kerana lebih lapang dan tidak bersesak-sesak dengan jemaah lain. Hanya satu, tidak ramai jemaah haji Malaysia di kawasan itu. Tidak mengapa, jemaah lain itu saudara kita jugakan. Saya selalu mengambil kesempatan untuk membaca al-quran setelah selesai solat. Saya tidak baca dengan suara berbisik dan tidak pula dengan suara yang kuat. Maklum, dalam masjid ada ramai jemaah bersolat sunat, membaca al-quran mahupun berbaring atau tidur melepaskan lelah. Tentulah bacaan yang kuat akan mengganggu ibadah orang lain. Jadi, saya baca dengan nada yang sederhana saja namun masih dapat didengar oleh jemaah yang berhampiran. Namun ada beberapa kisah berkaitan dengan bacaan al quran saya ini.

Pertama, ketika saya sedang membaca al-quran, tiba-tiba saya dapati sekumpulan jemaah haji dari China mengelilingi saya dengan al-quran masing-masing. Mereka buka muka surat yang sama dengan yang saya baca. Mereka meneliti bacaan saya, kemudian bercakap dan bertanya dalam bahasa yang saya tidak faham. Bahasa China, mana saya tau! Kemudian dengan gaya ayam itik berkomunikasi, seorang mak cik China tadi minta saya baca al-quran di muka surat yang mereka telah pilih lalu merakam bacaan saya di dalam telefon. Saya dapat lihat air muka gembira di wajah mereka. Mak cik-mak cik China itu kemudian memberikan saya apa-apa saja yang ada dalam beg mereka, biskut, gula-gula, roti, epal dan lain-lain. Saya memberikan mereka botol spray yang saya gunakan untuk berwuduk apabila melihat mereka sangat berminat dengan botol yang sentiasa diisi dengan air zam-zam itu...siap buat demontrasi wuduk menggunakan spray lagi..hehe.

Kedua, saya sedang membaca al-quran di saf belakang. Tiba-tiba 2 orang jemaah Afrika yang duduk di saf hadapan saya berpusing mengadap saya. Mereka meniarap di hadapan saya sambil menongkat dagu. Saya teruskan bacaan dengan harapan mereka turut mendapat pahala mendengar bacaan al-quran. 

Ketiga, saya sedang membaca al-quran berhampiran sebatang tiang. Tiba-tiba datang seorang jemaah bercakap dalam bahasa Arab. Saya hanya faham 'arabic, arabic' sahaja. Tidak lama kemudian datang rakan-rakan jemaah tadi lalu beliaupun bercerita dengan rakan-rakannya tentang saya. Mujur ada yang agak muda boleh berbahasa Inggeris broken-broken macam saya. Mereka ini rupanya jemaah dari Mesir. Saya disuruh membaca al-quran dan mereka mendengarnya."MasyaAllah..masyaAllah".Kata mereka. Seorang lagi minta saya membaca al-Fatihah. Yang agak muda berkata, dia pelik sebab saya boleh membaca al-quran dengan baik mengikut lajnah Arab tetapi saya tidak boleh berbahasa Arab. Dicubit-cubitnya pipi saya yang gebu ini..hehe. Dia tanya nama saya, bila saya beritahu nama saya Najmiah, dia berkata,"Najmiah? Star?" . Saya mengangguk lalu dijawab "MasyaAllah..MasyaAllah".

Keempat, seorang jemaah Indonesia yang duduk bersebelahan saya tidak mahu berganjak walaupun dipanggil rakan-rakannya." Ibu, yuk kita pulang" lalu dijawab,"Sebentar, adik ini bacanya enak sekali." Akhirnya dia ditinggalkan kerana terus duduk di sebelah saya sehingga saya selesai membaca al-quran.

Allah..Allah. Suami mengingatkan saya agar membetulkan niat kita membaca al-quran. Ya, saya tahu dan sentiasa sedar tentang itu. Saya teringat satu buku yang saya baca. Allah Ta’ala memerintahkan kepada orang mukmin untuk mendengarkan Al-Qur’an dan memperhatikan dengan tenang. Allah subhanahu berfirman:
( وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ) الأعراف/204
Dan apabila dibacakan Al Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat.” SQ. Al-A’raf: 204.

Saya berdoa," Ya Allah, engkau buanglah segala sifat megah dan sombongku ya Allah. Engkau buang rasa riak dalam diriku ya Allah. Engkau jadikan orang-orang yang mendengar bacaanku ini dapat merasa keindahan al-quran. Engkau berikan pahala kepada mereka ya Allah. Ya Allah, berikan mereka kebaikan , ketenangan dan ilmu yang luas,........"

...bersambung..


Baca lagi>>

Tuesday, November 19, 2013

Corat-coret Haji 1434H-Episod 1

Genap 20 hari saya kembali ke tanah air setelah selesai menunaikan rukun Islam ke-5. Setiap hari saya merancang untuk menulis di blog yang hampir berkulat ini...namun sentiasa ada kekangan  tugas dan waktu. Bila rakan taulan, sanak saudara sibuk minta saya bercerita kisah-kisah di tanah suci, saya jadi bersemangat semula. Kat mana harus bermula?...ah..tulis sajalah. Blog sendiri..ikut suka sendiri la..hehe..

Saya dan suami bertolak ke tanah suci pada 17 September 2013 dengan penerbangan KT30 dengan pesawat Saudi Air. Kebetulan, tarikh tersebut adalah sama dengan tarikh lahir anak sulung saya dan bersamaan juga dengan usia suami saya 30 tahun ketika menjadi seorang ayah. Tarikh yang cantik. Mudah-mudahan semua amal ibadat kami juga cantik di mata Allah.

Penerbangan KT30 merupakan penerbangan terus dari KLIA ke KAAA Madinah. Jadi, kami akan terus ke Madinah dahulu selama 8 hari sebelum Makkah pula. Kami check in ke Hotel Al-Haram yang berjarak hanya 50 meter dari Masjid Nabawi ketika hampir pukul 11.00 pagi. Oleh kerana Masjid Nabawi sudah nampak tersergam di depan mata, sebaik meletakkan bagasi ke bilik, saya dan suami terus ke masjid memandangkan waktu zohor hampir tiba.

Subhanallah, menitik air mata melihat Masjid Nabi yang indah itu. Rasa macam tidak percaya kami insan terpilih untuk berada di sini. Di sini jemaah diasingkan mengikut jantina. Di pintu masuk jemaah wanita perlu diperiksa oleh petugas masjid yang berpurdah serba hitam. Jemaah tidak dibenarkan membawa masuk kamera, telefon berkamera dan makanan. Sebaik melangkah masuk kelihatan deretan tong air zam-zam beserta cawan plastik pakai buang. Selepas memberi salam kepada Rasulullah, saya terus menadah air zam-zam dan terus meminumnya dengan penuh nikmat.Kemudian terus melangkah ke dalam lagi untuk bersolat tahiyyatul masjid. Walaupun ini kali pertama saya ke sini, berseorangan pula kerana suami telahpun ke bahagian lelaki, saya tidak rasa bersendirian. Saya terasa bersama dengan sanak saudara seluruh dunia, saling berbalas senyuman..hendak berbicara masalah bahasa pula.

Allahuakbar, perasaan saya waktu ini tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Selesai bersolat jamaah Zohor, saya bertanya kepada seorang jemaah  di manakah Raudhah? Jemaah Malaysia itu berkata," Kalau adik nak pergi, sekejap lagi petugas akan panggil." Benar, tidak lama kemudian, terdengar panggilan,"Raudhah..Raudhah". Jemaah yang berhajat ke Raudhah diasingkan mengikut kawasan dan bahasa. Jemaah Malaysia akan duduk di kawasan Bahasa Melayu bersama dengan jemaah Indonesia, Singapura, Brunai, Thailand dan lain-lain negara asia tenggara. Sementara menunggu pintu dibuka, satu ceramah disampaikan dalam Bahasa Indonesia. Setelah sejam menunggu, tiba-tiba pintu ke Raudhah dibuka. Saya terkejut, semua orang berlari dan menyerbu masuk. Sayapun ikut berlari..tetapi kemudiaannya saya berjalan sahaja. Saya teringat buku yang pernah saya baca, kenapa perlu berlari? Beginikah adab kita dengan Rasulullah? Bukankah dalam bumi Madinah ini bersemadinya jasad Rasulullah? 

Bila sampai ke Raudhah dan sekitar makam Rasulullah, air mata merembas keluar. Semua orang bertolak-tolak untuk mengerjakan solat sunat di tempat terbaik. Kita hendaklah memperbanyakkan doa di sini kerana di kawasan raudhah ini merupakan antara tempat mustajab doa. 

Gambar Raudah ini saya copy paste dari album Pak cik Google. Nanti saya cerita kenapa saya tak ada satupun gambar kenangan di Madinah.

....bersambung...
Baca lagi>>

Saturday, July 20, 2013

Tong dan Gas

Kita berada di bulan Ramadhan yang mulia, bulan rezeki melimpah ruah. Allah yang maha adil sentiasa memberikan rezeki kepada kita. Rezeki Allah sangat luas, bukan hanya terhad kepada wang dan harta. Jangkauan rezeki yang disebut oleh Allah ta'ala dan Rasulullah terlalu amat luas meliputi rezeki yang rencam dan pelbagai, penglihatan, kesihatan, iman bahkan ketenangan juga adalah rezeki. 

Allah yang memberi rezeki, kadang-kadang Allah ambil semula rezeki yang diberi. Mungkin Allah ingin memberi peringatan atas dosa dan maksiat yang kita lakukan. Maka, redhalah andai apa yang kita sayang kembali semula kepadaNya.


Memandangkan bulan Ramadhan yang mulia ini, saya banyak memasak untuk berbuka dan bersahur, maka banyaklah gas yang dah digunakan untuk aktiviti masak-memasak ni. Justeru, sayapun meminta anak sulung saya untuk ke kedai menukar tong gas baru. Ini sebagai persediaan jika terputus gas pada masa yang tidak diduga.

Sebagai anak yang taat, maka sianak inipun segeralah ke kedai runcit berhampiran. Anak muda gagah perkasa itu sungguh mudah memikul tong gas yang diminta oleh ibunya ini . Ketika saya mahu memulakan aktiviti masak-memasak saya terpandang tong gas yang saya minta anak saya tukar tadi di belakang pintu. Eh...kenapa tong gas nampak buruk saja..macam yang sebelum ni saja. 

Lantas, saya panggil anak saya. " Tadi mak suruh awak beli gas, awak tukar tong gas man?". "Tuuuu" jawabnya sambil menghalakan telunjuknya ke arah kabinet dapur. "Laaa..." Saya menepuk kepala sendiri. Rupa-rupanya ditukarkan gas yang masih banyak yang saya gunakan hari-hari. Anak..anak..

Dia pantas menyalahkan saya yang tidak memberi arahan yang jelas. Dia tidak tahu ada 2 tong gas kat rumah ni..peliknya si adiknya yang membantu saya memasak pun tidak tahu ada tong gas kedua! " Patutlah tong tu berat je masa abang pikul tadi!" Aduhai...kenapalah awak tak tanya tong gas mana? Kenapalah awak ni cerdik sangat tukar tong yang masih berisi? Awakkan tahu gas tu belum habis lagi?

....dan begitulah, kesilapan dalam berkomunikasi. Allah tarik balik rezeki yang sudah ada..sama juga kadang-kadang makanan dah sampai ke mulut namun jatuh ke tanah..atau kadang-kadang dah masuk ke perut, keluar semula. Allah maha besar. Allah mahu saya muhasabah diri....apalah sangat dengan gas yang sedikit itu. Banyak lagi rezeki Allah bagi tak terhitung jumlahnya. 

So, marilah teruskan kegiatan masak-masak di petang berbahagia ini dengan gas baru.


Baca lagi>>
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH