15 Mei 2012...saya menyambut hari ulang tahun kelahiran saya di atas muka bumi yang indah ini. Bukan lagi rahsia, saya berumur 45 tahun hari ini. 45 tahun yang indah, berapakah lagi umur yang masih bersisa? Adakah 45 tahun lagi atau...lebih singkat dari itu? Pada usia seperti saya sekarang, emak saya telahpun memegang title ibu tunggal setelah ayah saya kembali menemui Penciptanya..adik kesayangan saya tidak sempat menyambut ulang tahun kelahiran ke-45 seperti saya kerana telah terlebih dahulu kembali ke rahmatullah.
15 Mei adalah ulangan hari yang pasti dilalui setiap tahun. Ianya tidak lebih dari hari-hari biasa..tiada kek, tiada hadiah ...dan ianya seperti rutin biasa, berlalu begitu sahaja. Dalam usia 45 tahun sayalah orang yang paling bertuah. Saya masih ada emak yang menyayangi saya sepenuh hati..emak yang pada usia mudanya tidak tidur menjaga saya ketika saya demam mahupun sakit gigi( Dalam adik-beradik saya, sayalah yang paling sihat, jarang sakit tidak seperti adik beradik yang lain.)Pada usia emas seperti sekarang pun emak saya tidak dapat tidur jika beliau tahu saya sakit padahal pada masa yang sama anaknya ini sedang enak dibuai mimpi indah. Saya masih ada seorang suami tempat mengadu, anak-anak yang sudah boleh diharap, adik-beradik yang sentiasa mengambil berat. Saya ada kedua ibubapa mertua yang baik, ipar duai dan saudara mara. Saya ada kerjaya yang baik dan rakan taulan yang memahami. Sungguh, saya sangat bertuah. Alhamdulillah.
Saya percaya orang-orang yang saya sayangi juga turut menyayangi saya..namun, saya mahu lebih dari itu. Saya mahu disayangi Allah..tapi, sejujurnya sangat malu kerana saya sendiri selalu alpa dan terleka. Untuk mendapat rahmat dan kasih sayang Allah, tunaikan semua kewajiban padaNya, jauhi segala larangannya! Dan itulah yang selalu diabaikan. Rukun Islam yang lima itupun belum dapat saya sempurnakan, saya masih melakukan banyak dosa. Ya Allah, aku tidak pinta hadiah menimbun di harijadi ini. Berikan aku taufik dan hidayah, berikan aku kekuatan dan keteguhan iman, campakkan rasa taqwa dalam diriku ini. Amin..
Saya bersyukur kerana 45 tahun ini saya masih sihat..sesekali adalah saya dimasukkan ke wad hospital kerana penyakit biasa..pernah juga akibat batuk. Kad rawatan saya di hospital sudah boleh dijadikan buku, sebahagian besarnya angkara batuk. Anehnya meskipun kadang-kadang paru-paru agak bengkak kerana batuk, ujian sampel kahak menunjukkan hanya batuk biasa..walaupun ianya agak luar biasa kerana berlarutan berbulan-bulan..dan penyakit saya yang utama ialah obesiti melampau! Ya, ini kenyataan bahawa obesiti ini mengundang pula penyakit-penyakit lain. Mujur, saya masih bebas dari diabetes, darah tinggi dan lain-lain. Sekarang saya sedang mendapatkan rawatan pakar, tidak lama lagi saya akan menjalani MRI scan pula. Saudara-saudaraku dan sahabat handaiku, di setiap penghujung doa kalian semua, titipkan doa semoga kesihatan saya akan kembali pulih. Saya ingin menyempurnakan semua kewajipan saya, menyelesaikan semua hutang-piutang saya sebelum saya dipanggil menemuiNya pula.