Wednesday, May 15, 2013

Hari Guru

Saya tidak begitu ingat sejak bila saya mula menyambut hari guru. Seingat saya cuma ada jamuan masa sekolah rendah. Kuih bawak sendiri dari rumah sepinggan seorang. Kuih bubuh dalam pinggan, kemudian dibungkus dengan sapu tangan. Ada bawa agar-agar, karipap, pulut lepa dsb. Saya pula selalunya bawak biskut kering seperti biskut marie ataupun biskut jagung saja.Air pun bawak sendiri. Selalunya aiskrim soda dalam botol kaca. Lepas  minum, balik sekolah pulangkan semula botol kat kedai. Bagi-bagi hadiah tak ada, cuma kalau musim buah bawaklah buah jambu ke, buah rambutan ke seikat dua untuk cikgu. 

1980, bila saya mula bersekolah menengah di SMTI barulah ada sambutan. Selalunya sambutan dimulakan dengan perhimpunan khas, nyanyian lagu 'Guru Malaysia' dan bacaan perutusan dari Menteri Pelajaran dll. 
Kemudian, acara sukan cikgu lawan murid. Selalunya saya jadi penonton saja..maklumlah si kaki bangku. Lepas rehat acara makan-makan. Tiap-tiap kelas ada jamuan. Cikgu-cikgu akan round dari kelas ke kelas menikmati jamuan yang disediakan. Masa tu semua kelas berlawan-lawan menghias kelas dan memilih menu yang terbaik! Hadiah pulak kongsi sikit-sikit, bagi satu hadiah saja untuk guru kelas.

Bila saya mula jadi guru pada 1989, sambutan hari guru jadi semakin meriah. Budaya memberi hadiah pada guru semakin berkembang. Waktu itu hadiah-hadiah berbentuk sabun mandi, tisu, pen, buku tulis dan sebagainya. Maklum saja murid-murid saya kebanyakannya anak-anak orang kampung dan anak-anak peneroka saja. Bila saya mula bertukar ke kawasan bandar, pemberian hadiah-hadiah mula mengalami transformasi. Menjelang 16 Mei, kedai-kedai buku dan alat tulis, pasaraya penuh dengan anak-anak membeli hadiah untuk guru-guru. Nilai hadiah pun meningkat seiring dengan kawasan dan taraf ekonomi penjaga. Era milenium hampir tiada lagi yang memberi sabun mandi pada cikgu. Hadiah simple pun dibungkus dengan cantik untuk memberi nilai tambah pada hadiah tersebut.

Sebagai guru, saya tidak pernah mewar-warkan tentang budaya memberi hadiah kepada guru. Saya sedar bukan semua ibu bapa mampu membeli hadiah untuk guru, sementelahan pula hari guru jatuh tengah bulan. Kalau dulu hadiah cuma untuk guru kelas, sebab guru kelas ajar semua mata pelajaran kecuali PAI dan  BI, namun sekarang banyak hadiah perlu dibeli sebab banyak guru mengajar dalam satu kelas. Guru PSV la, Sivik la, PJ lagi dll. Namun, walaupun tidak diberitahu kebanyakan murid memang telah bersedia dengan hadiah-hadiah mereka. Hari inipun sudah ada murid prasekolah saya yang bawak hadiah, disorok bawah meja sebab tak mahu cikgu tahu. Nak bagi cikgu esok, tapi budak-budak lain sibuk mengadu domba..dan saya buat-buat tak tahu saja..hehe.

Masa anak-anak kecik dulu, diaorang la yang paling seronok buka hadiah. Sekarang semua dah besar-besar, murid saya pula semakin kecik. Pada hari guru semua seronok memberi hadiah. Ada seorang murid perempuan tahun 1 moyok saja..tentu dia sedih sebab tidak dapat memberikan sesuatu untuk cikgu. Namun, agak lama kemudian dia datang pada saya dan memberikan satu kerongsang yang sudah berkarat! Entah kat manalah dia jumpa. Saya ambil dan ucap terima kasih lalu terus memakai pada tudung saya. Budak itu kelihatan sangat gembira. Itulah satu kenangan yang sangat menyentuh hati saya.

Budaya memberi hadiah baik untuk mendidik murid menghargai guru. Namun saya selalu beritahu murid saya hadiah yang paling bernilai bagi seorang guru ialah doa. Doakanlah guru..dan kitapun jangan lupa doakan guru yang telah mengajar kita. Bukan saja guru di sekolah, bahkan guru-guru mengaji, guru memasak, guru menjahit dsb...

Selamat Hari Guru 2013.

GURU MALAYSIA: 1 ASPIRASI, 1 AGENDA




Baca lagi>>

Hari Jadi lagi....

15 Mei 2013. Hari ini saya genap berusia 46 tahun. Sudah senior. 10 tahun lagi saya akan bersara wajib, insyaAllah...itupun jika saya masih ada di atas bumi Allah ini.

Saya mengisi rutin harian saya seperti biasa. Ke sekolah seperti biasa. Minum di kantin sekolahpun menu biasa, nescafe panas dan nasi lemak (khusus utk menambah lemak..haha). PdP sayapun macam biasa, ajar murid macam biasa. Hari ini murid saya buat kad sempena hari guru yang akan disambut esok. 

Menjelang tengah hari, satu perjumpaan diadakan khusus untuk acara hari esok. Saya dikhabarkan akan diadakan latihan bagi acara pentas. Senyap-senyap saya berlalu sebab pada sebelah petang saya akan menghadiri bengkel Verifikasi Sistem Kualiti Prasekolah Kebangsaan di PPD Jerantut.

Sekarang, 3.53 petang...saya sedang berbengkel di PPD. Oleh kerana semua urusan bengkel saya telah selesai, saya pun mengarutlah kat blog ni. Sambil tu saya bayangkan masa hari jadi saya yang masih berbaki beberapa jam lagi. Rasa-rasanya tiada apa-apa yang istimewa.

Tahun lepas en.suami belikan kek Hello Kitty ala-ala ini lah untuk saya sempena hari jadi ke-45. Tapi saya punya lagi best sebab ada payung kecik, bola, gula-gula..hehe.

Okeylah..entry mengarut kali ni saya tamatkan di sini. Sesiapa tersinggah di sini, tolong doakan Allah memberkati hidup saya yang sudah semakin singkat ini. Amin


Baca lagi>>

Saturday, May 4, 2013

PRU 13...

Saya tidak tahu di mana mahu bermula...yang pasti saya memasang impian ini sejak lima tahun dulu! 

Saya menunggu detik-detik indah itu datang kembali. Saya merangka rancangan dalam akal saya..saya  menyusun strategi dan pelan. Nampak semuanya begitu cantik dan tersusun..namun, perancangan kita kadang-kadang tidak sama dengan perancangan Allah, kita merancang, Dia menentukan.

Sebaik sahaja PM membubarkan parlimen, saya sudah terbayangkan saya sedang berbaris di Saluran 2 SKKR. Ah, saya ternampak-nampak sekolah tempat saya mula bersekolah sejak 1974-1979. Saya termimpi-mimpi bertemu rakan-rakan sebaya yang sama-sama berbaris di Saluran 2 itu..tentu mereka juga rindukan saya sebagaimana saya juga merindukan mereka. Kami pasti sibuk bertanyakan tentang diri dan keluarga masing-masing, tentu petugas pilihan raya akan bagi isyarat agar kami tidak berbuat bising..
"Weh, mu ni maintain macam dulu."
" Bakpo mu gemuk gini semo ni?"
 "Anak dah berapa?"
"Kerja kat mana sekarang?"
Soalan-soalan ramalan telah berlegar-legar di fikiran saya. Angan-angan ini terkadang membuatkan saya tersenyum sendiri. Beberapa orang sahabat yang sepatutnya berada di barisan Saluran 2 telah pergi menemui Ilahi, antaranya Arwah Sarimah, Fadzilah, Malik, Mat Ropi dan Za, adik saya sendiri. Saya bercadang lepas mengundi saya akan menziarahi pusaranya yang terletak di atas bukit, belakang SKKR.

Kemudian, saya bagai ternampak rakan saya, Siti Hajar di pondok panas parti bulan..pasti pula kelibat jiran saya si Ani dan Mok Jang di pondok dacing. Saya juga hampir pasti menolak kerusi roda emak saya masuk ke Saluran 1 pusat mengundi yang sama.

Bila SPR mula menetapkan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi impian saya semakin hampir jadi nyata. Saya lega..sangat lega bila en.suami memberikan keizinan untuk saya balik menunaikan tanggungjawab  memilih kerajaan di tempat tumpah darah saya..dek kesibukan kerja, saya terlambat untuk mendapatkan tiket bas mahupun kereta api. Harapan agak kelabu, namun kembali cerah bila en.suami mengizinkan saya memandu kereta balik ke kampung halaman. Kebetulan anak bongsu saya juga akan balik asramanya di Kelantan, jadi saya akan bawa dia terus balik ke kampung saya sebelum saya hantar dia naik bas ke Kota Bharu. 

Sambil balik mengundi, saya dapat jenguk emak saya. Emak tidak sihat akhir-akhir ini, bahkan terpaksa berkerusi roda di dalam rumah. Dapat pula jumpa anak saya yang belajar kat sana. Jumpa adik-adik, abang dan kakak serta anak-anak saudara yang turut balik mengundi. Wah, meriahnya! Kiranya sambil mengundi dapat jumpa mak dan waris warah..

Saya dan Idris sangat gembira. Hati saya berbunga riang. Saya orang pertama menghantar borang cuti  pada majikan saya. Saya dijadualkan bercuti sehari saja sebelum menyambung sehari lagi cuti umum negeri Pahang, Hari Hol. Saya bayangkan perjalanan kami dua beranak selama lebih kurang 5/6 jam. Tentu banyak yang dapat kami bualkan. Kami boleh berbual tentang poster dan bendera di kiri kanan jalan. Tentu banyak yang menarik dan kreatif. Saya lebih teruja bila Idris kata kat Jerantut tak banyak bendera. Kat Pasir Mas sampai tak nampak rumah kerana banyaknya poster. Agaknya kalau nak tengok rumah kena selak poster dan bendera dulu. Tak sabar rasanya menunggu Sabtu. En. suami cadangkan kami balik hari Sabtu pagi supaya tidak terperangkap dalam kesesakan. 

Jumaat pagi, Idris dengan penuh semangat mencuci kereta. Saya pula siapkan kerja-kerja di sekolah sebelum bercuti. Namun, separuh Jumaat itu impian yang telah dipasang sekian lama hancur berkecai.... Saya tidak jadi balik, saya tidak jadi balik...hati saya luluh. Saya tidak pernah gagal mengundi sejak PRU 8 tahun 1990..dan di PRU 13 ini saya gagal balik. Hati saya pilu, bertambah pilu bila calon-calon DUN tempat saya mengundi menghantar sms merayu undi.mana la diaorang dapat nombor telefon saya...maaflah tuan-tuan, saya tak balik mengundipun!

Sabtu, saya keluar ke bandar Jerantut. Wah, banyak juga konvoi pilihan raya ke sana-sini.maklum pertandingan 4 penjuru.,.siap bunyikan hon. Meriah dan membingitkan, serta melambatkan orang-orang yang banyak urusan di jalanan. Wajah-wajah penuh pengharapan agar parti sokongan mereka beroleh kemenangan, sedang saya bermonolog sendiri..berkempenlah kalian..saya tak balik mengundi..

Malam ini saya akan menempek inai di jari..kelak bila rakan-rakan ada kesan calitan dakwat kekal di jari telunjuk..saya juga akan tunjukkan calitan di jari saya. Bukan 1, tapi sepuluh jari! ..dan pasti kekal berminggu-minggu!

Tap..tap..la, mata saya basah!


Baca lagi>>
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH