Saturday, November 3, 2012

Aktiviti Membakar Lemak..

Pagi-pagi lagi, encik suami ajak pergi Temerloh untuk servis kereta. Kan dekat nak cuti ni. Keluarga besar saya bercadang nak buat percutian keluarga ke Taiping. Wah, semua orang teruja dan tidak sabar. Jadi, untuk memastikan rancangan kami berjalan lancar, kereta perlu diservis supaya ia dapat memberikan khidmat yang terbaik untuk kami.

Namun, saya tidak mahu ke sana (Temerloh). Tentu bosan menunggu kereta diservis, lebih baik saya duduk di rumah saja, banyak lagi urusan rumah tangga yang belum beres. Oleh kerana anak dara saya ada bercuti di rumah, dia saya amanahkan untuk menyapu, membasuh dan menjemur kain dan kemas apa2 yang patut. Saya pula memikul tangga dan disandarkan di tingkap rumah. Berbekalkan sebilah parang panjang yang boleh tahan jugala tajamnya saya melangkah berhati-hati ke kawasan 'hutan dara' belakang rumah.

Saya turun melalui tingkap yang muat-muat badan saya. Dengan bakat menebas hasil pengalaman lalu, saya menghayun parang dengan penuh semangat. Beberapa perdu pokok senduduk dan kapal terbang yang bersaiz besar rebah ke bumi. Aroma semak-samun yang terbit dari hasil tebasan saya tadi membangkitkan nostalgia yang indah.  Saya teringat aroma yang sama bila saya dan adik-adik..arwah Za & Judin membersihkan kebun kelapa sawit bersama-sama emak. Emak, (dah balu masa tu) mengarahkan kami mencabut anak-anak pokok kayu. Kata emak, kalau tebas sekejap saja pokok akan bertunas semula. Jadi kamipun menggunakan semua kudrat yang ada mencabut anak-anak pokok sampai melelas tapak tangan...saya tak pasti adakah anak-anak saya boleh buat apa yang saya dan adik2 dulu buat dengan rela dan senyuman. 

Lega rasanya melihat kawasan belakang rumah sudah terang.Sebelum ni Encik suami sibuk nak upah orang  orang..ha, tengok..dengan tenaga wanita yang dah berumur ni, pokok-pokok semak itu telah tumbang menyembah bumi. Peluh keluar mencurah-curah.

Harap-harap selepas ini saya boleh menebas dengan kawasan yang lebih luar lagi dan dengan itu lebih banyak lagi lemak yang cair...ringan sikit badan.
Baca lagi>>

Saya & Kg. Mela

Selalu saya bercerita tentang kampung halaman saya, tanah tumpah darah saya di Terengganu..tapi hari ini saya ingin bercerita tentang saya dan Kg. Mela.

Pada suatu hari yang tenang, komputer saya baharu saja diperbaiki setelah diserang virus yang menyebabkan ianya langsung tidak dapat dibuka..saya dengan rasa teruja melayari internet. Tiba-tiba mata saya 'tertangkap' satu laman facebook Anak Mela di Perantauan.

Eh, blog saya dilinkkan ke situ! Selama ini saya menyangka tidak ada yang membaca blog saya kecuali adik-adik saya saja. Anak-anak saya selalu bertanya," Mak, ada orang baca ke blog mak ni?" dan saya jawab," Mak tulis blog bukan untuk dibaca oleh orang lain..ia adalah catatan2 kenangan dan peristiwa yang terlintas di fikiran untuk syok sendiri saja."...dan sudah menjadi kebiasaan pula untuk saya mengulang-ngulang kembali membaca catatan yang telah saya buat..hehe, kiranya saya yang tulis dan sayalah yang membacanya! Menulis untuk diri sendiri!

Kg.Mela (lebih dikenali sebagai Mela), sebuah perkampungan tradisi yang terletak dalam daerah Kuala Lipis tetapi bersempadan dengan daerah Jerantut, bahkan bandar Jerantut lebih dekat berbanding Kuala Lipis. Saya mula kenal Mela bila saya menjadi menantu orang Pahang. Ibu mertua saya merupakan anak jati Mela, tetapi berhijrah ke Kg.Sepial yang juga merupakan jiran Mela apabila berkahwin dengan bapa mertua saya. Walaupun tinggal di Kg.Sepial, mertua saya menyekolahkan beberapa orang anaknya di Mela kerana kesukaran ke sekolah di Kuala Tembeling, maklum sajalah sekitar tahun 60an dan 70an, tiada kemudahan pengangkutan dan jalanraya yang baik.

Mela, kampung yang agak 'happening' dan juga pusat aktiviti masyarakat setempat. Pekan seharinya pada setiap Sabtu sangat meriah. Ketika saya berulang alik belajar di Kuala Lipis beberapa tahun lepas, saya dapati sepanjang jalan dari Lipis ke Mela sentiasa ada warga tua menunggu bas untuk ke pekan sari tersebut seawal jam 7.00 pagi lagi..ada juga sesekali saya menumpangkan beberapa orang dari Kg.Serdang ke Mela.

Hampir semua warga Mela ada pertalian darah sama ada jauh atau sekadar bau-bau bacang. Maklumlah zaman dahulu penduduk lebih senang mengahwinkan anak mereka dengan masyarakat setempat. Hanya pada era globalisasi ini barulah orang Mela mula melebarkan tali silaturrahim dengan orang-orang jauh. Ramai anak-anak orang Mela tinggal di luar dan menyandang jawatan tinggi dan bergaji besar .

Nota: Maaf, cerita saya tergantung. Saya dah tulis post ni lebih 2 tahun lalu..lama kan? Dah agak basi dan berkulat..alah, kalau berkulatpun x mengapa. Tiba2 hari ni baru rasa nak publish draf yang tersimpan lama ni..
Baca lagi>>
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH