Tuesday, November 30, 2010

Tempat Jatuh Lagi Dikenang



Musim cuti sekolah, saya teringat kenangan ketika kecil-kecil dulu di kampung saya, Kampung Rahmat, Setiu,Terengganu. Pada sijil beranak saya tertulis tempat lahir Kg.Rahmat, Besut. 1985 daerah Setiu diwujudkan, jadi Kg.Rahmat diletakkan di bawah pentadbiran daerah Setiu pula.

Kat sebelah ni peti surat rumah saya. Abang Li saya buat dengan kayu terpakai. Inilah laluan untuk naik ke halaman rumah saya. Ada beberapa pohon limau langkap di belakang peti surat ini. Sekarang pokok limau ini sudah tiada..mati kerana serangan penyakit kulat pokok dan pokok duit-duit yang menjadi parasit di pokok limau tersebut. Pokok limau ini sangat mempunyai sentimental value bagi saya. Bila selesai mengaji Quran, saya dan rakan-rakan sepengajian akan berada di bawah pokok limau ini, meninjau buah-buah yang sudah matang dan mengaitnya. Kadang-kadang buah-buah limau yang masam dan masih mudapun kami petik dan cicah dengan kicap campur gula, sedapnya!

Di hadapan peti surat ini ada satu parit. Che saya buat satu jambatan kayu kecil merentangi parit tersebut. Bila musim bah, selalu saya dan adik-adik memancing ikan atas jambatan kayu tersebut. Pancing kayu saja, umpan cacing kami cari sendiri kat tanah lembap tepi telaga tak jauh dari pokok limau. Selalu kami dapat anak-anak ikan haruan atau keli..parit kecik saja, jadi ikan paling besar pun hanya sebesar dua jari saja! Kat dalam parit itu juga banyak daun kesum, selalu emak suruh saya ambik bila mak masak laksa, laksam, kerabu, bubur lambuk, gulai kunyit kuah ikan keli dan lain-lain. Kadang-kadang Kak Long saya jadikan daun kesum tu ulam cicah budu saja.

Inilah rumah tempat saya dan adik beradik saya dilahir dan dibesarkan. Nampak tak sabut-sabut yang bersusun di hadapan rumah tu? Asalnya rumah saya tu di tepi tebing bukit. Emak saya gunakan kreativiti menyusun sabut-sabut kelapa selapis demi selapis. Bila hujan, pasir dan tanah tersangkut pada sabut itu. Begitulah proses tersebut berulang sehinggalah sabut itu menjadi setinggi itu. Susunan sabut-sabut ini menjadi satu benteng yang teguh, juga mewujudkan satu pemandangan yang cantik bagi kami sekeluarga.

Di hadapan beranda rumah saya pula ada sepohon pokok macang. Bila musim buah macang, kami makan colek macang muda cicah cuka campur belacan. Kadang-kadang sampai berkudis kena getah macang. Bila macang tua, selalu buahnya gugur atas atap zink beranda tersebut. Selalunya buah macang gugur waktu malam. Bila macang gugur, kami bergegas-gegas turun ke tanah mengutipnya. Selalu sayalah tukang kupas, adik-adik berceratuk di sekeliling tunggu saya kupas macang. Potong satu..za ambik, dua..Judin ambik, tiga..Na ambik, empat..Imah ambik, lima..saya ambik. Kemudian rotate semula..habis dua pusingan habislah sebiji macang. Lepas tu berebut pula biji macang. Biji macang kami campak atas bukit belakang dapur. Lama-lama macang tu bertunas, kami ambik pula biji macang tu buat mainan pula. Zaman sekarang budak-budak tidak pandang lagi buah macang, padahal ibu bapa mereka membesar dengan buah-buah macang itulah!

Ini rumah saya dari sudut atas. Belakang rumah ada pokok-pokok rambutan benih pejabat. Yang paling dekat dengan rumah rambutan anak butir. Rambutan ini sangat sedap, kulitnya nipis dan kalau jatuh dari dahan yang tinggi, kulitnya akan pecah. Rutin kami adik beradik 2, 3 hari sekali kena menyapu halaman rumah yang penuh dengan daun macang dan daun rambutan dengan penyapu lidi atau manggar kelapa. Kadang-kadang pakai 'ggerak' besi, tapi ggerak ni kurang bersih sangat. Dia cuma sesuai untuk daun-daun yang besar saja.

Masa berlalu..tidak lama selepas che meninggal dunia, rumah yang banyak jasanya inipun dirobohkan. Gambar di bawah di ambil pada tahun 1986. Pada asalnya tapak rumah sekarang merupakan kawasan berbukit yang sudah diratakan. Urusan meratakan belakang rumah ini diuruskan oleh che tidak lama sebelum meninggal.

Ini adalah sebahagian daripada rumah asal sebelum dirobohkan. Bahagian dapur telahpun diruntuhkan untuk proses menaikkan tiang rumah baru. Bahagian dapur ini asalnya berlantaikan batang pinang sahaja, sebelum dinaik taraf kepada lantai papan. Bumbung pun pada asalnya beratapkan daun nipah, kemudian ditukar kepada atap zing.





Inilah rumah yang didirikan bagi menggantikan rumah asal saya dan keluarga. Rumah inipun telah berusia 24 tahun. Bahagian dapur telah bertukar menjadi bahagian hadapan, begitulah sebaliknya. Pokok-pokok limau telah tiada, rambutan benih pejabat, rambutan anak butir, rambutan perak, pokok ciku mahupun pokok macang semuanya telah tiada.


Rumah bercat hijau ini masih berdiri teguh, namun warna terbarunya sudah bertukar menjadi jingga. Biar apa bentuk dan warnanya, inilah rumah yang sangat mendamaikan dan penuh nostalgia bagi kami sekeluarga. Inilah rumah yang menurut emak, saya terjun hampir semua pintu dan tingkap...ah, tentu saja saya tidak lupa sebab tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat lahir, membesar dan perkahwinan sayapun berlangsung di sini.
Baca lagi>>

Wednesday, November 24, 2010

Konvokesyen OUM kali ke 9 2010

Sabtu 21 Nov 2010, saya sekeluarga berangkat ke Kuala Lumpur untuk urusan konvokesyen OUM. Pada mulanya saya rasa tidak bersemangat saja. Namun mengenangkan inilah majlis konvokesyen untuk ijazah pertama saya, maka saya kumpulkan kekuatan yang ada untuk ke majlis tersebut. Tambahan pula suami saya berulang kali berkata,"Pergilah, bukan selalu. Sekali seumur hidup."Anak no 2 saya, Atiqah Nadzirah tidak dapat turut serta kerana ada kelas. Jadi kami cuma berlima saja, saya, suami, Faiz, Aimi & Idris.

Kami bertolak jam 11.00 pagi. Kami hanya berpandukan signboard saja untuk ke OUM untuk ambil jubah konvo. Alhamdulillah, selepas berpusing-pusing beberapa kali..sampailah saya ke OUM yang terletak di Jalan Tun Ismail,KL itu. Rasa pelik juga, dah habis belajar..baru tau OUM kat mana..

Ini anak-anak yang kebosanan menunggu si emak berurusan di kaunter OUM.

Dah selesai kami round-round KL dulu. Nampak Muzium Negara, saya sekeluarga singgah membuat lawatan sambil belajar memandangkan anak-anakpun belum pernah ke muzium tersebut. Dah puas ronda-ronda, Idris buat kesimpulan,"Besar lagi Muzium Terengganu!"


Idris tunjuk kuat kat depan Muzium Negara!

Kami kemudiannya ke rumah adik saya, Tajuddin di Taman Cempaka, Ampang. Kami bermalam di sana. Esoknya barulah kami ke PWTC dengan menaiki LRT. Mulanya rasa segan nak bawa jubah dalam LRT, rupanya ada juga graduan lain naik LRT di stesen Cempaka macam saya. Sedihnya kamera saya kehabisan bateri, jadi gambar-gambar hanya menggunakan telefon bimbit saja. Mari tengok gambar seterusnya:


Inilah orang-orang di belakang saya, yang sering membantu dan memberi sokongan
sehingga saya berjaya menggenggam segulung ijazah.

Sebelum masuk Dewan Merdeka PWTC

Menjelang 1.30 tengah hari kami para graduan OUM berkumpul di Aras 4 PWTC sebelum perarakan masuk para graduan. Pada waktu itu saya tidak rasa apa-apa..hanya seronok untuk menyertai acara itu sahaja. Jam 2.00 petang graduan mula berarak memasuki Dewan Merdeka PWTC yang gah itu. Ini kali kedua saya masuk ke dewan tersebut. Kali pertama pada Julai 1987 selaku peserta jemputan Musabaqah Membaca Al Quran Peringkat Antarabangsa.

Sebaik sahaja melangkah masuk, terdengar bunyi gamelan dimainkan. Tiba-tiba saya terasa satu perasaan yang sukar hendak digambarkan. Rasa terharu..sedih..bercampur baur. Saya bukanlah pelajar yang rajin, tapi syukur alhamdulillah saya dapat juga CGPA melepasi target awal saya 3.0 ke atas. Saya terbayangkan pembelajaran saya selama di OUM. Pembelajaran secara PJJ, berinteraksi dengan rakan dan tutor melalui online, menghadiri tutorial di IPGM kampus Tengku Ampuan Afzan,K.Lipis dan macam-macam lagi. Saya suka belajar di OUM kerana subjek yang saya pelajari adalah subjek yang saya minati..Pendidikan Seni Visual( tapi bukanlah berbakat sangat..hehe). Pembelajarannya fleksible, tutornya yang hampir semuanya pensyarah IPGM KTAA begitu sporting dan muda-muda sedangkan saya dan rakan-rakan yang lain sudah hampir senja belaka, pembelajarannya berasaskan modul dll.

Saya teringat, bila keluar soalan tugasan, saya akan ke perpustakaan Awam Jerantut untuk mencari bahan. Saya menghabiskan berjam-jam masa melayari internet untuk mendapatkan jawapan tugasan saya. OUM mengajar saya yang tidak berapa tahu komputer menjadi lebih baik dari dulu, saya menjadi lebih tahu bagaimana untuk menghantar e-mel termasuklah menghantar e-mel yang bersaiz dan berkuantiti besar! Saya juga menjadi lebih celik menghasilkan powerpoint yang berkualiti kerana setiap semester terpaksa membuat pembentangan di dalam kelas.

Inilah hasil yang sangat manis. Teringat lagi saya memandu kereta kadang-kadang dengan rakan, kadang-kadang bersendirian dua minggu sekali menghadiri tutorial di Kuala Lipis. Saya jadi lebih mahir memandu kereta dalam situasi jalan raya yang bengkang-bengkok dan berbukit-bukau. Ah..banyak yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata..

Diperarakan masuk graduan ini saya cuba menahan air mata..namun akhirnya ia gugur jua. Maklum sajalah saya wanita yang mudah beremosi..(macam wanita2 lain spt adik2 dan adik ipar saya juga!). Sebenarnya saya sangat bertuah kerana mendapat sokongan dari suami dan anak-anak yang sudah besar-besar belaka. Adik2 sayapun turut membantu terutama ketika melibatkan tugasan bahasa inggeris. Tentu saja saya rasa terharu kerana saya tidak pernah bermimpi untuk menerima ijazah lebih-lebih lagi dalam usia seperti ini,43 tahun!

Ini suami dan anak no3, Aimi yang ikut serta masuk ke dewan menyaksikan saat-saat bersejarah seorang graduan OUM.

Tulang belakang yang tidak jemu-jemu memberi sokongan.

Terima kasih suamiku, anak-anakku, ibu tersayang yang tidak putus mendoakan kejayaan ini, adik-adikku Azimah & Tajuddin yg menolong membuat terjemahan dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu, adik-adikku yang lain, rakan2 sejawat dan semua yang telah memberikan sokongan moral secara langsung dan tidak langsung selama 4 tahun bergelar pelajar OUM. Atas sokongan kalianlah saya dapat naik ke pentas konvokesyen ini untuk menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Pengajaran (Pendidikan Rendah) ini. Jasa & bakti kalian semua hanya Allah sahajalah yang dapat membalasnya. Jazakallahukhairankathira.










Baca lagi>>
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH