Tuesday, January 27, 2009

Cikgu Shuaib

Anda kenal Cikgu Shuaib? Cikgu Shuaib tu guru saya, masa saya kecik-kecik dulu. Saya tidak pernah lupa pada Cikgu Shuaib, tapi saya sudah tak ingat siapa ayah Cikgu Shuaib. Cikgu Shuaib ni orang Kedah, tapi tang mana tak tau la plk. Cikgu Shuaib mula mengajar saya pada tahun 1976, masa tu saya dalam darjah 3 di SK Kg Rahmat,Felda Chalok,Terengganu.( Masa tu dalam daerah Besut, sekarang dah dalam daerah Setiu). Saya sekolah sesi petang, saya cukup takut dengan Cikgu Shuaib sebab dia garang dan ada misai tebal ! Mula-mula masuk dia susun murid ikut nombor yang kita dapat masa peperiksaan akhir tahun darjah 2. Saya dapat no.3, dapat duduk baris depan...yang dapat no. last duduk belakang sekali. Saya suka bercakap, tapi masa kelas Cikgu Shuaib saya duduk diam-diam....takut!

Baru sebulan mengajar, Cikgu Shuaib kena mengajar sesi pagi, darjah 5. Masa tu kan ada peperiksaan penilaian darjah 5. Saya rasa lega...tak takut lagi. Tapi rupa-rupanya Cikgu Shuaib tahu saya takut pada dia, jadi dia terus menakutkan saya...

Begini, setiap petang semasa balik dari sekolah, dia akan berada kat pintu pagar sekolah dengan motosikalnya. Lupa lak motor jenis apa, tapi ala-ala RXZ gitu, model 70 an la. Saya lupa macamana ianya bermula, yang pasti setiap petang dia akan mengejar saya dengan motosikalnya itu! Saya lari..lari..lari.. dan lari, orang kata sampai kecik kepala-kepala! Lari laju-laju macam x cukup tanah! Bila nampak saja kelibat Cikgu Shuaib, saya terus campak beg sekolah saya yang berambu-rambu pada kawan saya," Tolong bawa beg aku!" dan sayapun mulalah berlari-lari ikut jalan shortcut, di belakang rumah orang-orang kampung saya. Cikgu Shuaib kejar ikut jalan biasa, bila dengar ngauman motornya hati saya jadi kecut bukan kepalang! Bila dia x dapat kejar saya, dia kejar pula kawan saya, Siti Hajar Abd.Rahman. Rumah kami jauh, sekolah di tengah-tengah. Siti Hajar di Kg.Teluk, saya pula di 'Lik Jatuh',tepi jalan besar K.Trg-K.Bharu dekat dengan Bukit No.1.

Tiap-tiap hari Cikgu Shuaib kejar kami berdua, tapi tak pernah kena tangkap pun! Tak tau lah kenapa dia mengejar kami dan sayapun tak tau kenapa saya mesti lari, yang pasti saat nak balik dari sekolah adalah masa yang paling menakutkan. Mata saya tercari-cari kelibat Cikgu Shuaib..kadang-kadang kawan saya bagitau,"Najmiah, tu Cikgu Shuaib!!". Apa lagi, lari lah! Semasa melarikan diri saya merempuh pelbagai onak dan duri, saya lari ikut padang yang penuh dengan kemuncut, saya menyorok di belakang gok(reban) ayam orang kampung...hatta di belakang tandaspun! Siti Hajarpun menempuh situasi yang sama jg.

Saya pernah mengadu perihal ketakutan saya dan perlakuan Cikgu Shuaib pada emak saya. Tapi emak saya buat tidak kisah dan anggap tiada apa-apa. Jadi, saya tidak mengadu lagi. Akhirnya tahun 1976 pun berlalu.

Pada 1977, saya masuk darjah 4 dan sekolah sesi pagi. Cikgu Shuaib masih mengajar di sekolah saya tapi dia sudah tidak mengejar saya lagi. Hidup saya aman dan tenteram. Sesekali terserempak dengan Cikgu Shuaib dan dia hanya tersenyum. 1978, Cikgu Shuaib jadi guru kelas saya, darjah 5A. Hari pertama di darjah 5, saya terkejut Cikgu Shuaib jadi guru kelas saya. Bila dia masuk ke kelas, terus dia tanya," Najmiah, tak takut saya lagi?"."Tak," saya jawab dalam takut-takut. Selepas itu Cikgu Shuaib terus mengajar saya seperti murid-murid yang lain. Sayapun belajar macam biasa seperti tiada apa-apa berlaku 2 tahun sebelumnya.

Tahun 1980, saya ke sekolah menengah...selepas itu saya dapat berita Cikgu Shuaib sudah bertukar balik ke Kedah.Saya rasa kehilangan...

Saya tidak tahu di mana Cikgu Shuaib sekarang. Dah lebih 30 tahun, saya agaknya beliau telah pencen. Sayapun telah jadi seorang guru...menyambung legasi Cikgu Shuaib! Kalau Cikgu Shuaib terbaca blog ni, saya ingin khabarkan bahawa kawan saya, anak murid cikgu dulu..Sarimah Harun telah pulang ke rahmatullah. Rosniah Ibrahim dah kahwin dengan W.Mohd Aidil. Abidin dah jadi ustaz, Jazlan dah jadi pegawai besar kat Petronas, Yusnah Yusuf pun jadi guru . Sekadar menyebut nama..biarpun sekampung,saya dah lama lost contact dengan mereka. Sesungguhnya saya tidak pernah lupa jasa dan bakti Cikgu Shuaib. Terima kasih cikgu.
Baca lagi>>

Friday, January 16, 2009

Aktiviti hari ini...

Hari ini saya dapati Nazrah asyik update gambar anak-anaknya. Sayapun cubalah update gambar-gambar saya pula...alamak, ilmu saya masih cetek! Saya belum belajar cara-cara nak update gambar! Tanya Idris, dia pun belum sampai lagi tahap tu! Yang tahu cuma Faiz, tapi dia dah di Ipoh sekarang ni. Saya rasa frust dan hampa. Tak apa..saya kan masih 'budak baru belajar', jadi tolonglah ajarkan saya macamana nak update gambar.

Hari ini saya mesyuarat pengurusan guru prasekolah daerah Jerantut, sehari suntuk! Saya dah mula rasa nak stress bila tengok senarai tugas yang agak panjang. Yang paling pening tentang rekod-rekod, buku stok-stok, fail-fail dan macam-macam lagi. Esok dah nak balik kampung, tentu banyak urusan yang akan tertunda! Tak apa, saya akan cuba buat sikit-sikit. Mujur juga banyak urusan rumah tangga saya 'sub' pada anak dara saya, Atiqah Nadzirah yang tengah tunggu result SPM sekarang ni. Jadi kuranglah sikit beban tugas saya.
Baca lagi>>

Tuesday, January 13, 2009

2, 3 hari ini saya agak sibuk ke hulu ke hilir. Sabtu 10 Jan saya, suami dan ibu mertua ke KLIA menjemput bapa mertua yang baru balik dari mengerjakan fardu haji.Alhamdulillah, bapa mertua saya sihat-sihat saja dan dapat mengerjakan semua rukun dan wajib haji dengan sempurna walaupun usianya hampir menginjak 80 tahun. Ahad 11 Jan, saya dan keluarga mengadakan sedikit kenduri kesyukuran dan doa selamat. Bersyukur kerana bapa mertua sudah selamat kembali ke tanah air, syukur juga kerana anak sulungku Ahmad Faiz dapat ke Politeknik Ungku Omar dan doa selamat semoga dia berjaya dalam pengajiannya, juga doa selamat semoga anakku yang ke 3, Aimi Najihah berjaya dalam temuduga sbpnya minggu depan.

Isnin, 12 Jan, selepas tamat sesi persekolahan saya dan suami ke Ipoh pula untuk urusan pendaftaran PUO. Kami ikut laluan Genting Highlands - Batang Kali.Hampir senja baru sampai.Hujan lebat masa kami tiba, berpusing-pusing sekitar Simpang Pulai mencari hotel. Alhamdulillah, dapatlah satu hotel yang tengah buat promosi.Kami menginap di tingkat 5. Selesalah kami bertiga kat situ dengan bilik yang agak besar dan lengkap dengan pelbagai kemudahan spt tilam yang best utk 3 orang, aircond, tv dll dengan kos tak sampai RM 100!

...dan hari ini 13 Jan, bermulalah kehidupan anak saya di kampus PUO dalam jurusan kejuruteraan perkapalan.Selesai pendaftaran, kami cari rumah sewa pula kerana asrama telah penuh. Syukur, dapat rumah yang dekat dengan PUO dan ada kemudahan asas secukupnya termasuk katil, tilam, mesin basuh, peti sejuk dll. Pendek kata macam duk kat rumah sendiri la.Saya meninggalkan anak saya tengahari itu dengan harapan agar dia berjaya dengan cemerlang dan dapat menyesuaikan diri dan selesa dengan persekitaran baru...

Saya sampai ke rumah ketika azan Maghrib sedang berkumandang di surau hadapan rumah saya. Rasa penat dan mengantuk, tapi bila saya buka blog adik saya..amie, rasa tercabar la pulak. Tapi tak dapat nak update gambar lagi sebab nak buat rancangan mengajar untuk esok dan bermacam lagi hal-hal berkaitan sekolah...tunggu!
Baca lagi>>

Monday, January 5, 2009

Tahun Baru 2009

Assalamualaikum, selamat tahun baru 2009 untuk semua umat di atas muka bumi ini.Sebenarnya saya tak tahu apa yang hendak ditulis di sini. Seumur hidup saya tidak pernah bermimpi untuk menjadi penulis blog atau mempunyai blog sendiri...tidak pernah! Menulis e-mail pun tak pernah.Komputer dan internet ni pun tahu sikit-sikit saja.( Terukkan?)
Sebenarnya saya dipaksa menulis oleh anak bongsu saya, Muhammad Idris yang baru masuk tahun 5 hari ini...tak tahulah di mana dia belajar benda-benda ni semua. Tiba-tiba balik dari sekolah, lepas makan dia terus mengadap komputer, pastu panggil saya untuk menulis kat blog ni. Lain-lain dia buat semua.
Saya ada berhajat untuk mencari kawan-kawan yang terpisah lepas tamat belajar di MPTAA 20 tahun dulu. Rasa baru lagi, tapi rupanya dah 20 tahun! Ke mana agaknya menghilang Mimi Shahrizad Ahmad, Nasriah Yusoff, Marhaini, Mazlina....depa ni semua orang Kedah. Rindu juga pada Miskiah Budarto (Sabak Bernam), Norlida Abd Jalil (Trg) dll.
Sebab itu bila anak saya suruh menulis kat sini, saya pun cuba-cubalah. Mana tahu yang jauh boleh didekatkan, yang hilang boleh bertemu kembali.
Baca lagi>>
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2009 - 2013 © NAJMIAH DOLLAH